SEARCH

5 Filem Terbaik Untuk Kamu Tonton Bersama Sempena Hari Bapa

5 Filem Terbaik Untuk Kamu Tonton Bersama Sempena Hari Bapa

Hari Bapa, hari sambutan tidak rasmi yang meraikan bapa-bapa di seluruh dunia. Ia hari yang memberi kita peluang untuk menghargai segala pengorbanan yang telah mereka lakukan untuk kita. Pengorbanan yang sedikit sebanyak membentuk siapa diri kita pada hari ini.

Bapa mana yang tidak sayangkan anak, bukan? Cuma caranya tidak seperti ibu-ibu, bapa selalunya tidak menunjukkan kasih sayang mereka kepada anak-anak secara terang-terangan. Selain pemberian hadiah, saya cadangkan ini masanya kamu menzahirkan pula rasa cinta pada bapa kamu.

Kebetulan Hari Bapa tahun ini jatuh pada Ahad (18 Jun 2017), apa kata kamu luangkan masa dan tonton bersama bapa tersayang kamu 5 filem terbaik untuk kamu tonton sempena Hari Bapa, seperti di bawah:

2

 1 – The Godfather (1972)

Normal apabila ayah dan anak lelaki mempunyai hubungan yang agak kompleks dalam sesebuah keluarga. Namun tidak setegas hubungan ayah-anak dalam filem legenda, ‘The Godfather’ arahan sutradara Francis Ford ini.

Vito Corleone (Marlon Brando) hanya mahukan satu iaitu anak lelakinya, Michael (Al Pacino) mewarisi harta dan perniagaan keluarga. Namun ia bukanlah satu perniagaan biasa-biasa seperti yang dilakukan oleh rakyat marhaen sehari-hari, ia perniagan yang melibatkan jenayah terancang.

Sebuah filem saga yang bertemakan keluarga dan erti kesetiaan, ‘The Godfather’ tercalon untuk 11 Academy Awards, punya dua pelakon lelaki terhebat dalam sejarah Hollywood dan boleh juga bergelar filem terbaik sepanjang zaman.

1

2 – PAPERMOON (1973)

Tidak semestinya filem Hari Bapa mesti berkisahkan tentang bapa kandung semata-mata. Moses Pray (Ryan O’Neal), seorang lelaki penipu bertemu seorang gadis berusia 9 tahun, Addie Looggins (Tatum O’Neal) di majlis pengebumian ibu Addie.

Entah bagaimana jiran tetangga merasakan Moses adalah bapa kandung kepada Addie dan berkeras supaya Moses membawa pulang dan menjaga Addie sebagai anak kandungnya.

Tak terduga mereka berdua menjadi pasangan anak-bapa yang sangat serasi. Bersama-sama mereka berdua melakukan siri penipuan di seluruh Amerika Syarikat. Walaupun darah mereka tidak sama, tetapi ikatan pertalian mereka benar-benar serupa.

Saksikan siri perjalanan mereka yang lucu namun menyentuh perasaan. Siapa sangka pertemuan seorang lelaki penipu dengan anak perempuan yatim ini melahirkan perasaan kebapaan yang besar dalam diri Moses. Sedikit trivia, mereka berdua adalah pasangan anak-bapa sebenar di dunia realiti.

 5

3 – MRS. DOUBTFIRE (1993)

Sebuah filem komedi, filem arahan Chris Columbus ini mengangkat Robin Williams sebagai pemeran utama. Selepas perceraiannya bersama isteri, Daniel Hillard (Robin Williams) sanggup menyamar sebagai seorang pengasuh tua untuk meluangkan masa bersama anak-anaknya. Saksikan adegan lucu dan mesej filem ini yang saya kira cukup menyentuh sanubari.

3

4 – FINDING NEMO (2003)

Seorang bapa akan lakukan apa sahaja demi anak-anaknya. Peranan ini tidak hanya termaktub pada manusia sahaja, ia juga boleh dilihat dalam filem animasi keluaran Disney dan Pixar ini.

Saya yakin semua orang mengetahui filem animasi yang satu ini. Ia berkisahkan perjalanan Marlin (disuarakan oleh Albert Brooks), bapa ikan badut yang sanggup merentas lautan terbuka demi mencari dan menyelamatkan anak jantannya, Nemo (disuarakan oleh Alexander Gould) yang terjatuh dan sesat dari kediaman Great Barrier Reef mereka.

4

5 – NEBRASKA (2013)

Sebuah filem asam garam kehidupan atau drama thriller – yang berkisahkan perhubungan seorang lelaki dewasa dengan bapanya yang tua.

Terkenal membawa watak-watak yang lucu sebelum ini, Will Forte sebagai David Grant memberikan persembahan lakonan yang mantap dan Bruce Dern sebagai Woody Grant tidak lain memberikan persembahan lakonan hebat setaraf Oscar.

‘Nebraska’ dirakam dalam warna-warna hitam putih serta palet-palet warna yang suram, landskap yang gersang sangat menghidupkan suasana semu. Hasilnya sebuah filem sentimental yang sangat kuat, melihat lelaki yang kamu paling sayang makin menua dan rapuh perasaan.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE