SEARCH

Slam – Gerakan Kugiran Pop Malaysia & Mengapa Mereka Satu Antara Yang Terbaik

Slam – Gerakan Kugiran Pop Malaysia & Mengapa Mereka Satu Antara Yang Terbaik

Bermula dengan hit Tak Mungkin Berpaling sehingga yang terakhir Syair Si Pari-Pari sebelum Gerimis Mengundang, Jika Kau Rasa Getarnya, Malam Ku Kesiangan, Kita Terpaksa Bermusuhan dan Kembali Terjalin – Slam saya kira satu gerakan kugiran Pop paling meninggalkan kesan selain Exist.

Muzik mereka mendominasi radio 90-an dengan hit-hit hebat tulisan Saari Amri dan Johari Teh khususnya. Kesan Terbukti yang diedarkan pada 1995 menjadi naskhah yang mencuri perhatian umum dengan hit Tak Mungkin Berpaling dan Nur Kasih setelah album pertama sedikit perlahan dalam mencuri pendengaran kita semua.

Bermula di awal 1992, kugiran ini dianggotai Zamani (Vokalis), Shah (Gitar), Lili (Bass), Eddie (Keyboard), Razak (Gitar) dan Osman (Dram). Di bawah naungan Johan Aziz enam anak muda ini bergerak sebagai sebuah kugiran Pop yang paling disenangi.

Suara Zamani ketika itu menjadi kegilaan semua gadis. Melodi-melodi tulisan Saari Amri yang kebanyakannya disusun indah Ramli M.S (terutama dalam album Kembali Merindu) menjadikan bunyian tipikal Saari lebih indah dan keindahan lagu-lagu yang dicipta ini sudah tentu diberi justifikasi oleh vokal tinggi Zamani.

Kesan Terbukti terjual lebih 300,000 unit seluruh Malaysia dan sambutannya lebih hebat di Indonesia apabila album ini mendapat jualan sehingga 500,000 unit. Dan hal ini bagi saya menjadi bukti bahawa Slam antara khazanah muzik Malaysia yang harus dikenang dan sentiasa diingat momennya.

Mereka ada enam album penuh keseluruhannya sehingga yang terakhir Menggapai Langit (2007). Selepas itu Slam senyap dengan kemunculan genre-genre lain yang mengusai radio ketika itu. Kegilaan terhadap kugiran indie antara salah satu punca Slam semakin malap dalam menyinari industri muzik Malaysia. Trak paling berhantu mereka Gerimis Mengundang berjaya mendapat nominasi Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik dan berjaya ke final Juara Lagu.

Meraikan segala kejayaan yang mereka ada ketika itu, satu konsert istimewa untuk penggemar Slam bakal diadakan pada 14 Mei ini yang bakal berlangsung di StarXpo Centre, Kenanga Mall (KWC).

Dalam satu temu bual yang dilakukan Budiey.Com Shah menyatakan, “Konsert Kurnia Slam nanti bukan hanya akan dinikmati peminat lagu-lagu kami tetapi peminat muzik masa kini. Biarpun Slam dikenali sebagai kumpulan muzik Pop tetapi saya berjanji bahawa Slam akan mencurahkan segala pengalaman dan skil yang dikutip sepanjang bergelar pemuzik.”

Lebih dua dekad dalam bidang ini, biar ada pasang surutnya kami percaya Slam akan sentiasa ada pengikutnya. Berikut dua album terbaik pilihan kami sepanjang karier kugiran Pop ini mewarnai industri muzik tempatan.

SLAM KESAN TERBUKTI STAILMYAlbum: Kesan Terbukti (1995)
Penerbit: Slam
Penerbit bersama: Saari Amri / Kid Search / Samad / Samsuddin
Susunan muzik: Slam / Kid / Samad / Samsuddin / KRU

Seawal pembukaan Tak Mungkin Berpaling sehingga trak penutup Kembali Terjalin tulisan Habsah Hassan saya sebetulnya hanya terbuai dengan vokal Zamani yang sangat sedap. Clarity dalam vokalnya antara yang saya tidak mampu nafikan kehebatannya.

Album ini bagi saya sebuah naskhah yang cukup tinggi nilai komersilnya. Lagu-lagu seperti Manisnya Rindu (Saari Amri / Azam Dungun) dan Nur Kasih (Saari Amri / Zur Ain) umpamanya antara trak yang cukup tinggi value for radio. Penciptaan melodi yang mudah dengan korus catchy yang senang diikuti dan dinyanyikan bersama.

Bukan Niat Membalas Derita (Sahdek / Johan Aziz) pula antara alasan mengapa Slam digilai. Namun pendengaran saya juga tertarik dengan lagu Biarkannya (Yusry / Edry / Norman KRU) dan Warisan Kita (Lili / Johan Aziz) yang lari sedikit daripda tipikal Pop Slam.

kembali merindu slam stailmyAlbum: Kembali Merindu (1996)
Penerbit: Slam
Penerbit bersama: Saari Amri / Ramli M.S / Johari Teh
Susunan Muzik: Ramli M.S / Shah / Eddie / Yan

This is a killer album! Trak-trak dalam album ini sempurna membentuk arah muzik Slam yang lebih kemas dari segi penciptaan, susunan muzik hebat Ramli M.S dan penyampaian Zamani yang lebih beremosi.

Album ini dibuka dengan trak Malam Ku Kesiangan (Saari Amri) dan apa yang saya sukakan tentang trak ini adalah corak penulisan lirik Saari yang seiring denga melodi yang dicipta. Ceritanya seperti biasa tentang putus cinta tetapi pemilihan kata-katanya dalam lagu ini  cocok sekali dengan melodi yang diucap Zamani.

Kita Terpaksa Bermusuhan (Saari Amri) dan Jika Kau Rasa Getarnya (Johari Teh) adalah dua lagu terbaik album ini. Tidak salah jika saya label dua trak ini sebagai naskhah malar segar yang masih diulang pasang di radio. Kuasa melodi, feel dan listrik lirik menyatu dalam satu persembahan muzikal yang maha hebat.

Sehingga hari ini saya tidak punya masalah untuk mengulang dengar album ini dan enjoy lagu-lagu lain seperti Kembali Merindu umpamanya kerana kuasa Pop dalam album ini saya kira adalah kiblat atau rujukan terbaik muzik Pop 90-an.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE