Posted on January 6, 2020
Vogue Italia mencurahkan segala idea ideal pada kesempatan memulihara bumi. Melahirkan adicita di luar jangkaan, menampilkan cover ilustrasi sebagai pembuka tahun 2020!
Dalam kita memulakan agakan, “Apakah usaha pertama sekali industri fesyen untuk memelihara dan memulihara isu iklim sedunia?” Vogue Italia seakan-akan mewadahi kita satu ‘alegori’. Ia mengembalikan nostalgia kita pada Vogue zaman dahulu kala, menyemat idea ilustrasi ke atas cover atau wajah hadapan untuk isu Januari 2020. Ekoran isu yang berbangkit masa kini, berkaitan dengan perubahan iklim, dunia yang hampir tenat serta kemunculan Greta Thundberg menjunjung idea menjaga bumi, Vogue Italia sederap melangkah, menjadi sebahagian daripada famili sustainability.
Tidak membabitkan produksi besar-besaran, tidak menggunakan khidmat model (secara fizikal) juga artis mekap serta pendandan rambut, tidak mengupah mana-mana penata gaya, tidak ada fotografer dan tidak membazirkan masa mana-mana pihak ketiga. Hanyalah tim Vogue Italia dan pengilustrasi fesyen. Itu sahaja.
Yang penting sekali adalah matlamat Vogue Italia tercapai, yakni ia tidak membazirkan wang dan tenaga. Dalam erti kata lain, isu Vogue Italia kali ini mesra ekonomi dan mesra alam. Dan sememangnya itulah tujuan utama Vogue Italia yang dipimpin oleh Emanuele Farneti, selaku ketua pengarang. Ia mengalih kesemua tenaga yang ada untuk disalurkan pada arah kebaikan – atas tujuan melestarikan hijau dan mengumpul wang untuk didermakan kepada badan amal yang membaik pulih Fondazione Querini Stampalia yang dilanda banjir besar di Venice.
Jenama Gucci menghiasi tujuh karya seni cover Vogue Italia isu Januari 2020 daripada tujuh pengilustrasi dan artis. Kesemua helaian Gucci diolah dalam gambaran atau bayangan pengilustrasi dalam stail dan jati diri kesenian masing-masing. Seperti Delphine Desane yang melakarkan imej Assa Baradji; Milo Manara melukis Olivia Vinten; David Salle mengilustrasi Lili Sumner; Cassie Namoda mengilustrasi Ambar Cristal Zarzuela; manakala Paolo Ventura memilih Felice Nova Noordhoff sebagai subjek utamanya; Yoshitaka Amano pula melukis Lindsey Wixson; dan Vanessa Beecroft hanya melakarkan subjek manusia – yang dianggap sebagai model (tidak ada individu spesifik).
Delphine Desane yang memilih Assa Baradji dalam ceraian jaket organza Gucci sebagai subjek, mengilustrasikan Assa dalam medium akrilik di atas kertas cat air dan berukuran 56 X 76 cm. Bilang Assa tentang pengalamannya menjadi subjek Delphine dan Vogue Italia isu Januari 2020, “Having my first Vogue cover, on the firsts days of 2020 I’m speechless, so happy to have a cover without having to work, the set felt like my bed wow 😭!” Milo Manara yang sangat dikenali dengan ilustrasi yang sedikit provokatif, melakar model Olivia Vinten dengan merujuk model hasilan Michaelangelo, yakni David. Milo mengolah Olivia yang menggayakan helaian renda Gucci, mengikut susuk jijak ala David namun bersendikan fizikal wanita. Jelas Milo, objektif Vogue Italia ini memberi ruang kepada pengilustrasi sepertinya untuk berkarya semula seraya membantu mengangkat aspek sustainability yang amat dituntut sekarang.
Idea serba ringkas tetapi punya daya inovasi tertinggi yang terbit daripada tim Vogue Italia ini harus dipuji. Apatah lagi ia merawat kelompangan dunia ilustrasi fesyen yang sudah lama ditinggalkan. Tambahan pula, dengan bantuan media sosial yang terlihat sekarang dibanjiri kreativiti pengilustrasi fesyen – seperti @meliquestreet, @nam.felixchen, komuniti @illustratorgirls and a few – barangkali kita akan menyaksikan kebangkitan ilustrasi fesyen dijulang semula!
KESEMUA 7 COVER ILUSTRASI FESYEN VOGUE ITALIA JANUARI 2020
https://www.instagram.com/p/B60aAAPKGcl/
https://www.instagram.com/p/B60hf8LqEQV/
https://www.instagram.com/p/B60oTM0K42I/
https://www.instagram.com/p/B60vKxcqI81/
https://www.instagram.com/p/B602AOPK0LH/
https://www.instagram.com/p/B608lXWqYol/
https://www.instagram.com/p/B61ASr2q8c5/
Apa pandangan anda?