Posted on January 23, 2020
Pentas Dior couture musim bunga panas 2020 menggerakkan hati kita tentang konsep wanita! Dalam buku tulisan Mohamed Noor Othman berjudul ‘Seni Visual Ceritera Berzaman’, saya membaca bab ‘Feminis Bukan Untuk Kuasa’ yang menyingkap reformis feminis dalam bidang seni. Menukilkan salah satu perenggan yang berbunyi, “Peranan kaum wanita bukan hanya memberikan kasih sayang dan seks tanpa melihat kebajikan yang dilakukan. Prejudis ini menjadi pembakar semangat dalam berkarya.”
Ia bukan bertujuan untuk menista lalu mendinginkan pandangan kita fasal wanita atau bercerita tentang wanita yang gila menagih kuasa, tetapi merencanakan satu persepsi bahawa “seni mampu menguasai minda”. Di mana seni feminis wanita menitipkan kasih sayang, dikongsi untuk kita menyayangi dan menghargai kaum wanita.
Inilah yang barangkali berbegar dalam jiwa Maria Grazia Chiuri. Dia yang dilihat mahu menjadi pejuang barisan hadapan dan tak putus-putus menjadi pemartabat kewanitaan dalam berkarya, bukannya untuk membangkitkan kesumat sehingga memagut kita. Tidak. Maria hanya mahu menjadi pendorong atau pencetus yang melahirkan penghargaan dan hal menghormati kaum wanita.
Segala aspek menjadi perkiraannya. Tema, rekaan, pentas… semuanya bersifat holistik. Merai artis-artis serta pemuisi wanita sebagai sendi ilham, bahu-membahu dengan tenaga kerja wanita dalam merealisasikan matlamatnya, malah menjadikan model-model sebagai medium untuk melaung kenyataan politik. Dan sekali lagi, untuk pentas couture musim bunga panas 2020, Maria memenangkan wanita. Bukan sahaja pada inspirasi rekaannya yang bertunjangkan dewi pujaan, bahkan juga set pentas pertunjukan yang direka khas oleh artis Judy Chicago.
Judy Chicago – seorang artis feminis serta penulis asal Amerika – bersama-sama Maria mengukuhkan satu ideologi yang menghubungkan kewanitaan dan menuntut hak persamaan wanita. Judy memunculkan idea yang diberi julukan ‘The Female Divine’ yakni struktur ruang atau monumen berketinggian lebih 45 kaki, yang terletak di halaman Rodin Museum – lokasi pertunjukan Dior – dan seolah-olah mereplikakan bentuk vulva. Maria membangkitkan lagi persoalan, “What if the women ruled the world?” yang benar-benar melangkaui penerokaan konsep wanita.
Struktur ruang pertunjukan yang didirikan oleh Judy ini sepertikan ada hal tersirat di sebaliknya. Apa yang bisa difahami, ia membawa kita masuk ke dalam ‘rahim’, memaksudkan perihal dunia wanita. Barangkali ia adalah satu kiasan, di mana ‘rahim’ wanita itulah tempat asal semua manusia. Tempat lahirnya semua manusia.
Maria mendekati lagi tema goddess atau dewi pujaan sebagai pangsi ilhamnya. Dia melaksanakan seni Hellas, menjejaki bumi orang Yunani dan ‘memuja’ Athena. Kerana bagi Maria, Athena adalah lambang yang mengharmonikan kewanitaan, kecerdikan dan kecantikan dalam satu esen. Pabila menggabungkan keseluruhan fahaman ini – struktur berupa ‘rahim’ dengan konsep rekaan yang mengagungkan Athena – bagai kuat pengaruh kewanitaan. Makanya, Judy dan Maria mahu menyedarkan audiens tentang kuasa matriark.
Lantas, menyentuh hal rekaan-rekaan Dior couture musim bunga panas 2020 pula, Maria menyoroti bentuk, kraf serta siluet yang dikaitkan dengan dewi pujaan Yunani ini. Siluet Grecian, teknik draping, butiran rumbai, – key look musim ini – volume serta banyak bermain dengan kelembutan. Bar Jacket Dior yang ikonik turut diberi treatment baharu dengan rona-rona logam dan juga tambahan perincian, dalam memperbaharui gayanya.
Namun, dalam kejiwaan Maria yang beria-ia menggoncang dunia dengan idea feminis atau kewanitaan, saya setuju juga dengan apa yang ditulis oleh Sara Radin dalam Refinery29 yang megupas fasal perjuangan Maria di Dior. Dia mengakhiri bicaranya dengan “…her couture is still only ever donned by young, thin, and able-bodied models.” Di mana Sara mencadangkan agar Dior merujuk jenama seperti Chromat atau Savage X Fenty, yang merai semua wanita, tak kira saiz, rupa dan latar belakangnya. Jika benarlah Dior mengamati dunia wanita – daripada ruang pentas berbentuk ‘rahim’ ke merayakan Athena – mengapa tidak memberatkan konsep kewanitaan secara menyeluruh?
Apa pandangan anda?