Posted on April 3, 2020
Siapa di sini sudah tonton siri Netflix Self-Made inspirasi kehidupan Madam C J Walker ini? Jika belum, saya sarankan kamu tonton drama empat episod ini. Mengisahkan kehidupan seorang wanita kulit gelap bernama Sarah yang bersusah-payah membina empayar produk penjagaan rambutnya yang diberi nama Madam C J Walker ini untuk membantu komuniti wanita-wanita kulit gelap di bandarnya.
Bukan itu sahaja, drama ini turut menceritakan bagaimana dia menjadi seorang perintis kemudian bertukar mogul, melalui persaingan epik bersama pengusaha produk rambut yang lain. Ditambah pula, dengan kisah percintaan dan keluarga besarnya. Kamu dapat saksikan kesusahan serta ketegasan wanita ini dalam meniti untuk menjadi wanita Amerika berkulit gelap pertama yang menjadi jutawan hasil usaha sendiri.
Selepas menonton drama ini, pastinya kamu tertanya-tanya siapakah Madam C J Walker yang sebenar ini? Wujudkah dia?
Sememangnya wanita ini wujud. Sarah Breedlove pemilik empayar Madam C J Walker dilahirkan pada 1867. Dia anak sulung daripada enam orang adik-beradik. Kemudian dikurniakan seorang cahaya mata bernama A’lelia hasil perkahwinan bersama suami pertama.
Dan yang menariknya, nama perusahaan ini berasal daripada nama suami ketiganya, Charles Joseph Walker, seorang jurujual pengiklanan surat khabar.
Jika hendak diceritakan semula tentang kisah sebenar Sarah, sebenarnya sedikit-sebanyak sama seperti apa yang dilakonkan semula oleh Octavia Spencer ini. Bermula sebagai seorang wanita yang pergi rumah ke rumah, mengambil upah membasuh baju. Dan pada ketika itu, kebanyakan wanita kulit gelap di eranya mengalami masalah rambut seperti masalah kelemumur dan rambut menipis. Kerana kerja yang tidak menentu, jarang mandi, pemakanan yang tidak seimbang serta kesihatan yang tidak menentu, menyebabkan masalah rambut ini sebagai satu masalah biasa yang terjadi di kalangan wanita kulit gelap di Missouri.
Mengikut cerita sebenar, Sarah sebenarnya banyak belajar tentang penjagaan rambut menerusi adik-adik lelakinya yang juga penggunting rambut di St. Louis. Dan kemudian, dia mengambil keputusan untuk menjadi agen produk rambut milik Annie Malone. Daripada situ Sarah mencedok ilmu untuk mencipta produknya sendiri. Pada Julai 1905, Sarah bersama anaknya berpindah ke Denver, Colorado untuk menjual produk millik Annie Malone dan dalam masa sama, membangunkan perniagaan produk rambutnya itu.
Memang kontroversi dan pergaduhan di antara Annie Malone serta Sarah yang mana Malone menuduh Sarah mencuri resipi dan formulanya itu wujud. Pergaduhan dan ketidaksefahaman itu berlangsung lebih ratusan tahun.
Hendak tahu lanjut tentang kisah ini dan apa lagi yang terjadi pada Sarah, saya sarankan untuk kamu tonton drama ini cepat! Saya bagi 5 bintang!
Apa pandangan anda?