Posted on April 27, 2020
Mungkinkah Anna Wintour dibelenggu oleh isu dirinya terancam dengan orang yang lebih berkuasa atau yang sama-sama berkuasa sepertinya? Tak mustahil juga. Hal inilah yang terungkai dalam memoir terbaru Andre Leon Talley – yang telah membuka mata kita fasal perangai sebenar Anna Wintour?!
Seandainya masih ingat, dalam dokumentari The September Issue, kita boleh lihat bagaimana hubungan Anna Wintour dengan Grace Coddington. ‘Rentak’ mereka tak selalu ‘sedegam’. Anna digambarkan sebagai sosok yang dingin, seperti selalu sahaja ada ketegangan antara dia dengan Grace. Anna adalah seorang editor atau businesswoman yang amat disegani, manakala Grace pula adalah – seperti yang digambarkan dalam dokumentari tersebut – “world’s greatest stylist”, maka jelaslah mengapa ada sengketa yang menggelegak.
Kami membuat anggapan bahawa semua itu berpunca daripada jiwa yang dijajah oleh kuasa, lalu ‘menggamit’ ego masing-masing. Makanya, mereka berdua seakan-akan tak sebulu atau senada. Namun, hubungan mereka umpama love-hate relationship. Benar mereka berdua seperti selalu ‘tegang’, tetapi semuanya berkaitan dengan kerja sahaja.
Gambar daripada The New York Times
Perkara yang hampir sama ini tercetus antara Anna dan teman rapatnya, Andre Leon Talley – mantan editor-at-large untuk majalah Vogue. Andre yang bakal melepaskan memoir terbaru, The Chiffon Trenches : A Memoir, pada bulan September nanti ada mengupas tentang hubungannya dengan Anna. Rata-rata orang seperti sudah dihidangkan oleh ‘kisah hangat’ Andre dan Anna, sungguhpun memoir tersebut belum dipasarkan secara rasmi lagi – kami pun belum membacanya lagi. Heboh jugalah pabila Andre mendedahkan yang Anna bersikap tidak berasas terhadapnya lagi-lagi setelah sudah lanjut usia.
Andre bilang, Anna “not capable” of “human kindness” dan dia dumped Andre hanya kerana dia “too old, too overweight, too uncool.” Dalam The Chiffon Trenches : A Memoir, Anna disifatkan sebagai seorang yang mengusir temannya sendiri dan tidak berhati perut. Malah Anna adalah seorang yang pemilih dalam bab berkawan – hanya mahu berkawan dengan orang-orang yang cool. “She is immune to anyone other than the powerful and famous people who populate the pages of Vogue.”
Agak mengejutkan juga. Tetapi, pabila mengenangkan realiti dunia fesyen, hal seperti ini bukan satu perkara baharu pun.
Andre membetulkan keadaan dengan menjelaskan bahawa memoir tersebut bukanlah tentang Anna sahaja. Ia sebenarnya adalah memoir yang merencanakan perjalanan hidup Andre dalam dunia kewartawanan atau penulisan serta lapangan fesyen dan… seperti yang dijelaskan oleh WWD, “I do not consider this to be a vengeful, bitchy tell-all. When the galleys were finalized and printed, the first person I gave the galley to was Anna Wintour.”
Di mana memoir itu ditulis bukan untuk merendah-rendahkan, menjatuhkan atau berbentuk dendaman ke atas Anna. Ia hanyalah memoir yang menceritakan kebenaran dan lebih condong kepada sudut pandangan kemanusiaan. Yang menyingkap asam garam atau pahit manis karier Andre sahaja. Malah Andre ada mengatakan yang dia dan Anna sebenarnya sudah berdiskusi sesama sendiri terlebih dahulu tentang menghasilkan memoir tersebut. Jika betul apa yang ditulis oleh Andre itu mendapat persetujuan daripada Anna, sekurang-kurangnya Anna tidak gentar dalam bersikap jujur dan telus tentang dirinya, bukan?
Apa pandangan anda?