Posted on August 17, 2020
Walter Van Bierendonck tidak alang-alang mengecam Virgil Abloh yang didakwa meniru rekaan-rekaannya untuk himpunan Louis Vuitton menswear musim bunga panas 2021 baru-baru ini. Walter tidak menyembunyi perasaan, meluahkan rasa ketidakpuasan hati dengan mengatakan, “This is not just copying, this is using my world, ideas, colors, signature, cuts, shapes as his collection moodboard.”
Oh snap! Mendenging telinga mendengarnya. Yalah, siapa suka karyanya disalin atau ditiru. Apalagi seandainya bertahun, malah juga berabad mengepal keras identiti rekaannya, tetapi dengan senangnya ‘diculik’ untuk keuntungan berjuta-juta orang lain.
Rasa tidak puas hati Walter Van Bierendonck terhadap hasilan tiru oleh Virgil Abloh
Namun, Virgil tidak diam membatu. Dia membalas semula dakwaan Walter, dengan mengatakan bahawa rekaan-rekaan Louis Vuitton menswear-nya adalah asli dan dicedok daripada rekaan Louis Vuitton menswear tahun 2005. Virgil tidak mahu membiarkan tindakan Walter mendurjanakan himpunan Louis Vuitton baharunya itu sementelahan mencemarkan kredibilitinya sebagai seorang pereka fesyen. Dalam kekalutan itu, Virgil membalas, “This is yet another instance of false equivalence to try to discredit me as a designer,” – sumber daripada Highsnobiety.
Kenyataan balas daripada Virgil Abloh & Kanye West
Beransur kembali ke masa Louis Vuitton menswear musim bunga panas 2021 yang dipersembahkan di dok atau galangan kapal di Shanghai, China pada awal Ogos lalu. Segalanya ditampilkan gah. Virgil mengintegrasikan pertunjukan fesyen fizikal – pertunjukan fesyen lazim yang memperagakan model-model berjalan di atas pentas – dengan persembahan maya – di mana Virgil tidak berada di Shanghai ‘secara fizikal’ (kerana perintah kawalan COVID- 19) dan menyampaikan mesej di hujung pertunjukan secara maya sahaja.
Berlatarkan susunan kontena yang selalu diangkut dengan kapal kargo, berona merah dan tertera besar parap ‘LV’ padanya. Belon kembung yang memimik karakter-karakter kartun bersaiz gergasi terlihat menghiasi kontena-kontena tersebut. Seperti mana yang dinyatakan di atas, segalanya ditampilkan gah. Memulihkan rindu kita pada pertunjukan fesyen tradisional yang ‘terisi’ dengan showspace luar biasa dan seting menarik.
Himpunan Louis Vuitton menswear kali ini memperbaharui yang lampau serta menjulang upcycle fashion. Virgil masih lagi memenangkan aspek tailoring, namun disuntik dengan keunikan motif, rona terang bertenaga dan mengasyikkan mata kita pada perincian ‘nakal’ pada badan baju – patung-patung lembut plush menyerupai bentuk udang karang, teddy bear, naga dan kala jengking. Virgil mencemerlangkan corak-corak psikedelik pada motif damier Louis Vuitton dan mengolah semula corak monogram. Dia juga seakan-akan berseronok dengan rekaan-rekaan klasik lelaki seperti menerbalikkan kolar lapel sut, menambah pad bahu tajam dan meluarbiasakan rekaan aksesori seperti kaca mata hitam asimetri.
Aspek-aspek inilah yang membarai hati Walter, dan bertambah ‘panas’ pabila disedar oleh fashion watchdogs yang membuat perbandingan antara rekaan Virgil dengan Walter. Walter menyamakan rekaan musim luruh dingin 2016-nya dengan rekaan Louis Vuitton musim bunga panas 2021. Apalagi perincian-perincian figura plush pada badan baju Louis Vuitton yang dikatakan sama dengan perincian-perincian figura plush yang direka oleh Walter. Aksesori kaca mata asimetri Louis Vuitton oleh Virgil pula diserupakan dengan rekaan kaca mata Walter musim luruh dingin 2018. Mengenali Walter, yang sejelas-jelasnya mengatakan “I Hate Fashion Copycats” pada rekaan kemeja T musim luruh dingin 2020… membuatkan kita mengerti benar falsafah Walter.
Himpunan Walter Van Bierendonck musim luruh dingin 2016 (kiri) disamakan dengan himpunan Louis Vuitton musim bunga panas 2021 (kanan)
Memanglah menjadi mangsa yang ditiru dalam hal sebegini menggundahkan hati. Tambahan pula, karya asli yang datangnya daripada kegeligaan otak si pengkarya, ditiru sebulat-bulatnya. Tetapi itulah seni. Berdasarkan pandangan peribadi kami, seni bergerak mengikut putaran. Putaran yang ada peringkat-peringkatnya seperti penglahiran, kematangan, peniruan, pembesaran, pengubahsuaian dan penamatannya. Setiap seni itu, baik seni lukis, seni arca mahupun fesyen sekalipun, ada imitasi dan stylization – aspek yang pernah ditegaskan oleh kami sebelum-sebelum ini. Lantaran, perkara tiru-meniru dalam fesyen bukanlah sesuatu yang mengejutkan pun.
Mengenali Virgil pula, dia menculik atau merujuk rekaan-rekaan yang sedia ada, mahupun rekaan-rekaan lama, menginterpretasikan ia kepada sesuatu baharu. Atau sesuatu yang cocok dengan masa kini. Bagi Virgil, itulah caranya untuk merai karyanya. Justeru, ia menjelaskan tanda pembuka kata pada jenama “Off-White”. Walau apapun, perkara ini agak subjektif. Ada pros dan cons. Sakit hati dengan konsep tiru-meniru, tetapi begitulah dinamik seni bergerak.
Himpunan Walter Van Bierendonck musim luruh dingin 2014 yang dianggap apropriasi budaya, menggunakan war bonnet Native Americans sebagai hiasan kepala dan dipakai oleh model berkulit putih
Jika mahu bercakap fasal meniru, Walter pun pernah mencedok budaya native Americans untuk himpunan musim luruh dingin 2014. Menggunakan war bonnet yang sinonim dengan kaum native Americans sebagai hiasan kepala himpunan menswear, meletakkan kata-kata yang melaungkan ‘STOP RACISM’ dan ia dipakai oleh model berkulit putih. Hmm. Seandainya, dunia fesyen nak sangat bercakap fasal tiru-meniru, bukankah apa yang Walter buat ini dikira apropriasi budaya? Apropriasi budaya yang boleh dianggap ‘mencuri’ atau ‘meniru’ orang lain? Malah, himpunan Walter untuk musim luruh dingin 2019 pula ada persamaan sedikit dengan rekaan pereka muda lokal kita, yakni Zuusaha yang mengeluarkan himpunannya pada 2018. Dengan adanya akses teknologi yang bisa menghubungkan dunia luar dengan kita, apa-apa pun boleh jadi. Kan?
Himpunan Zuusaha pada tahun 2018 (kiri) & himpunan Walter Van Bierendonck musim luruh dingin 2019 (kanan)
Apa pandangan anda?