Posted on February 5, 2021
Sedia terima vaksin COVID-19 Februari ini? Banyak persoalan dan perbincangan serta keraguan tentang vaksin ini sebenarnya. Apa yang kamu perlu tahu?
Kita semua sudah sedia maklum bahawa kerajaan Malaysia masih sedang menunggu vaksin virus korona baharu (COVID-19) yang bakal dihantar oleh syarikat pengeluar Pfizer-BioNTech.
Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah meluluskan penggunaan vaksin tersebut secara bersyarat selepas penelitian dan semakan mendalam dibuat.
Pada suku pertama yang dijangka bermula pada Februari, 1 juta dos akan diberikan dan ia dikhususkan terutamanya kepada petugas barisan hadapan.
Kemudian, secara beransur-ansur, prosedur suntik vaksin akan dibuat secara berperingkat mengikut jumlah yang ada pada setiap suku.
Fasa yang bakal dilalui oleh semua rakyat Malaysia apabila vaksin sudah diberikan amat penting dan ia bakal mengubah corak kehidupan kita pasca wabak.
Sedia terima vaksin COVID-19? Kelulusan bersyarat menjaga kemaslahatan rakyat
Kelulusan bersyarat yang dikeluarkan oleh NPRA terhadap penggunaan vaksin mempunyai tujuannya yang tersendiri.
Seperti negara lain yang turut mengeluarkan persetujuan bersyarat, kebajikan rakyat menjadi fokus utama dalam usaha untuk membasmi wabak pandemik.
Salah satu daripada perkara positif yang berjaya dicapai oleh Badan Kesihatan Global sepanjang pandemik ini berlaku adalah penghasilan vaksin berkesan dan selamat dalam masa yang singkat.
Dengan maklumat wabak yang dikongsi di seluruh dunia, vaksin yang dihasilkan oleh syarikat pengeluar seperti Pfizer-BioNTech, Moderna, AstraZeneca dan banyak lagi mempunyai tahap keberkesanan yang tinggi.
Setiap pengeluar menggunakan teknik berbeza dan bagi syarikat Pfizer-BioNTech, vaksin ciptaan mereka menggunakan maklumat genetik virus yang dikenali sebagai asid ribonukleik pengutus (mRNA).
Teknik ini berjaya mempercepatkan proses pembuatan vaksin dengan tahap keberkesanan yang tinggi (sekitar 94 hingga 95%).
Proses pemantauan bagi kesan sampingan vaksin serta kesan teruk tidak terhenti setakat kajian klinikal fasa ke-3 sahaja.
Ia akan terus dipantau dari masa ke masa selepas suntikan vaksin untuk memastikan kebaikan penggunaannya mengatasi kesan sampingan yang mungkin dialami oleh segelintir golongan.
Dalam masa sama, jika terdapat laporan berkenaan kesan serius atau alergi, protokol pemberian akan dilaraskan mengikut kesesuaian situasi oleh badan yang bertanggungjawab.
Bagaimana penggunaan vaksin mRNA boleh menghalang jangkitan virus korona?
Tujuan pemberian vaksin adalah untuk melatih sistem imun badan mengenal pasti dan membasmi virus apabila berlaku proses jangkitan kelak.
Bagi mencapai matlamat tersebut, vaksin menggunakan komponen virus yang menjadi punca kepada penyakit.
Sebagai contoh, kebanyakan vaksin diperbuat daripada virus lemah (tidak berupaya menyebabkan penyakit), virus mati atau protein virus.
Namun, pendekatan yang digunapakai dalam mencipta vaksin Pfizer-BioNTech lebih tertumpu kepada maklumat genetik virus (bukan virus itu sendiri) yang dikenali sebagai mRNA.
mRNA adalah stran maklumat yang bertanggungjawab mencipta protein virus.
Apabila ia disuntik masuk ke dalam lengan, sel otot akan menterjemahkan maklumat tersebut untuk menghasilkan protein virus.
Ia tidak mencipta keseluruhan virus, tetapi hanya komponen kritikal sahaja. Tanpanya, virus tidak dapat berfungsi dengan baik.
Ini memberikan ruang kepada sistem imun untuk mempelajari virus tanpa menyebabkan sebarang proses penyakit.
Antibodi akan tercipta hasil daripada pendedahan tersebut dan jika virus sebenar cuba menjangkiti kelak, ia boleh dibasmi sebelum ia menyebabkan penyakit.
Kenapa penghasilan vaksin mRNA jauh lebih cepat berbanding dengan vaksin lain?
Walaupun metod lama pembuatan vaksin dilakukan dengan sangat terperinci, ia memerlukan masa yang sangat lama.
Tahap keberkesanan terhadap jangkitan baharu seperti COVID-19 juga mungkin memerlukan masa dan ia tidak semestinya berkesan serta-merta.
Berbanding dengan vaksin mRNA, proses pembuatan vaksin yang menggunakan virus lemah atau protein turut melibatkan pelbagai jenis prosedur.
Sebagai contoh, bagi masalah selesema bermusim, saintis memerlukan kira-kira 6 bulan untuk mengenal pasti strain virus untuk menghasilkan vaksin.
Virus tersebut kemudiannya akan dikulturkan selama 3 minggu untuk menghasilkan virus hibrid yang kurang berbahaya dan lebih mudah untuk dibiakkan di dalam telur ayam.
Proses pembiakan virus akan mengambil masa beberapa hari. Kemudian virus tersebut akan dibunuh dan proteinnya akan diproses untuk membentuk protein tulen dalam masa beberapa hari.
Melalui penggunaan vaksin mRNA, ia boleh melangkaui banyak prosedur yang memerlukan penciptaan virus dan protein pada tahap ketulenan tertentu.
Malah, mRNA adalah molekul yang lebih ringkas berbanding dengan protein virus.
Pembuatannya menggunakan kaedah kimia (bukan biologikal) membuatkan ia lebih mudah dan cepat untuk dihasilkan dalam kuantiti yang banyak.
Sedia terima vaksin COVID-19?
Kita masing-masing sedang menunggu saat untuk sedia terima vaksin COVID-19 baharu yang tiba Februari ini.
Namun, ia juga bergantung kepada jadual penghantaran yang ditetapkan oleh Pfizer.
Dengan kehadiran vaksin, dijangka keadaan akan beransur-ansur pulih namun ia akan memakan masa yang lama sebelum kita boleh kembali kepada kehidupan seperti sedia kala.
Untuk lebih banyak artikel sebegini, lawati Hello Doktor
Apa pandangan anda?