Posted on February 17, 2021
Alessandro Michele memesani kita yang konsentrasi Gucci kini adalah menjadikan denim sebagai staple dan sebahagian daripada gerobok Epilogue. Michele tidak mahu denim Gucci itu bersifat ekahala. Maka, dia memperbaharui denim dengan menggunakan material jacquard dan garapan Michele bertunas pula ke pertambahan corak rumah fesyen Gucci yakni corak GG pada denim tersebut. Kesatuan ideanya dikembangsuburkan lagi dengan teknik washed atau memudarkan ia, agar denim Gucci kelihatan natural dan ada efek vintaj.
Bermain dengan kualiti atau mutu membuktikan kebijaksanaan Michele. Dia tidak mengabaikan perkara seperti penggunaan material yang punya daya tahan atau rintang air serta kekotoran. Lantas membuatkan denim Gucci itu bersifat praktikal.
Dan, terhasilnya GG Denim jacquard!
Semuanya bermula daripada perihal pergerakan pembebasan era 70an sebagai benih ilhamnya. Gaya Michele yang lebih cenderung menuju ke arah sentimental, menajamkan kehendak untuk berkongsi pengalamannya menerusi himpunan Gucci Epilogue kali ini. Jutaan kenangan ketika masih kecil lagi sekitar era 70an, dicungkil olehnya sebagai ‘esen’ utama. Siluet pakaian 70an, rona-rona terang yang penuh bertenaga serta corak-corak yang memahatkan ingatannya pada suatu waktu dahulu… semua unsur itu disalin bagi memenuhi cita-citanya dalam menghasilkan Gucci Epilogue. Barangkali (berdasarkan pemahaman kami) Michele mendewasa bersama-sama alam ‘The Golden Age of Denim’ pada era 70an dan dia menyaksikan sendiri bagaimana denim atau jean pada masa itu dihasilkan secara besar-besaran.
Ahli-ahli politik, bintang-bintang rock, malah juga orang-orang umum di jalanan semuanya mencemerlangkan gaya memakai denim. Sehinggakan denim mencapai status sofistikasi tersendiri. Jadi, pengalaman itu telah mewadahi buah fikiran Michele, menjadikan denim sebagai staple dalam Gucci Epilogue!
UNAPOLOGETICALLY GUCCI GG DENIM
Himpunan pakaian lelakinya mengunjungi semula siluet sartorial 80an. Seperti jaket bomber serta seluar denim yang nampak smart, yang kesemuanya dihiasi corak GG Denim dan disempurnakan lagi oleh perincian panel material kulit. Contohnya, jaket denim lelakinya yang memimik siluet jaket 80an, padat dengan corak GG Denim dan berpotongan besar daripada saiz tubuh – umpama menenggelamkan tubuh. Jaket tersebut dilengkapi perincian material kulit pada piping kolar, kepingan penutup poket, pergelangan tangan malah juga sebagai butang, yang bertujuan untuk membangkitkan gaya vintaj.
Seluar jean GG Denim pula menyalin siluet jean 70an yakni potongan bootcut yang seringkali terlihat pada gaya-gaya bintang rock. Apa yang membuatkan seluar jean ini unik dari aspek karakter, adalah perincian panel material kulit yang digunakan untuk menghasilkan poket belakangnya. Di samping seluar jean, Gucci juga membariskan sekali seluar Bermuda yang turut menggunakan fabrik GG Denim jacquard untuk si lelaki.
Himpunan pakaian perempuannya umpama bertumpu pada konsep tailoring. Jaket blouson serta top berlengan pendek, yang kedua-duanya dihasilkan dengan menggunakan material GG Denim dan (sama seperti pakaian lelaki) disempurnakan oleh perincian material kulit. Contohnya, jaket ala jaket safari GG Denim perempuannya dilengkapi perincian panel material kulit di bahagian yoke atau garis pelepah mendatang – di bahagian badan baju hadapan. Panel tersebut dikemaskan lagi dengan butang loyang, seakan-akan menghidupkan nada gaya ala-ala seragam serdadu pun ada.
Penggunaan GG Denim tidak terhambat di situ sahaja. GG Denim jacquard itu malah berkembang rancak ke aksesori-aksesori seperti sniker genderless, – Gucci Tennis 1977 – kasut slip-on, beg tangan Dionysus dan Jackie 1961.
Apa pandangan anda?