Posted on August 5, 2021
Banyak pusat pengedar (dealership) kereta bersaiz kecil dan sederhana di Malaysia sudah hampir-hampir lingkup memandangkan aktiviti perniagaan terpaksa dihentikan akibat lanjutan demi lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serta Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Malah melalui temuramah dengan WapCar.my, mungkin tujuh pengedar kereta tutup menjelang Ogos jika mereka masih tidak dibenarkan beroperasi.
“Situasi terkini jauh lebih teruk berbanding tahun lepas. Ingat tak semasa PKP tahun lepas, kami tutup kedai hanya untuk 1.5 bulan. Tapi tahun ini, kami tiada jualan langsung selama dua bulan, ditambah lagi dengan kerugian yang masih ditanggung dari tahun lepas,” ujar seorang pengedar Honda kepada kami.
Pengedar prinsipal (dealer principal) menjelaskan yang dia menggaji sekitar 100 orang kakitangan – termasuk kakitangan jualan dan selepas-jualan. Setakat ini, dia belum lagi memotong gaji mahupun melepaskan mana-mana kakitangannya.
Dia menjelaskan yang gaji pokok seorang penasihat jualan (SA) bukannya tinggi, kerana mereka bergantung kepada komisyen. Memandangkan sudah dua bulan tanpa satu pun jualan kereta, mereka tidak akan mampu bertahan lagi.
Bagi pusat pengedarnya pula, penasihat jualan selepas-jualan (SVA) pun dibayar insentif berdasarkan prestasi kerja mereka. Tapi, memandangkan pengambilan servis kini sangat-sangat berkurang, ramai SVA juga terpaksa bergelut mencari punca pendapatan.
“Orang dah kurang berjalan, maka jumlah kereta masuk jauh lebih rendah. Jualan kini hanya lebih kurang 30 peratus daripada jumlah biasa. Lagipun, ramai pelanggan tetap kami sedang bergelut dengan masalah kewangan dan telah menangguhkan janji-temu servis kereta mereka,” kata pengedar prinsipal itu.
“Kami tak untung banyak dari operasi jualan, dan selepas-jualanlah yang ‘mensubsidikan’ bahagian jualan. Tapi, dengan situasi sekarang, kami beroperasi sambil menanggung rugi selama hampir 2 tahun dan kami tak dapat bertahan lama lagi,” katanya.
Pengedar Kereta Tutup Ogos Ini…?
Apabila ditanya samada pusat pengedar tersebut boleh bertahan sehingga hujung tahun ini, dia membalas, “Tidak, kami hanya boleh bertahan selama satu atau dua bulan saja lagi, jika kami anggap yang kami masih tidak dibenarkan untuk meneruskan operasi perniagaan seperti biasa.”
Dia juga berkata yang pusat pengedarnya sedang dalam perbincangan dengan bank untuk penstrukturan semula pinjaman mereka.
Tapi, melangkaui aspek perniagaan, seorang pengedar Honda yang mengusahakan perniagaan bersama keluarga berkongsi tentang kos kemanusiaan iaitu maruah kakitangannya yang dihargai.
“Empat orang SA saya terpaksa berbaris di food bank hanya untuk mendapatkan beras. Situasinya amat menyedihkan. Mereka ialah golongan berumur lingkungan 40-an dan 50-an, mereka telah bersama saya sekurang-kurangnya 20 tahun. Mana boleh kita anggap yang dalam masa sehari, mereka boleh tukar kerja jual mi, kan? Staf admin saya juga dah telefon saya untuk pinjam duit, beli makanan untuk keluarga. Dia seorang saja yang bekerja dalam keluarganya,” ujarnya.
Pengedar itu berkata SA-nya masih lagi dibayar gaji pokok. Tapi, ini tidaklah semestinya satu norma, kerana banyak pusat pengedar melantik SA berasaskan kontrak. Maknanya, gaji pokok mereka memang lebih rendah daripada kadar gaji minimum.
“Macam mana mereka boleh bertahan kalau kami tak benarkan mereka jual kereta?” tanyanya secara retorik.
Pengedar itu juga menambah yang isu ini akan membentuk efek ‘trickle down’ atau merebak dengan lebih serius. “Saya ada sekitar 200 orang staf, 70 antara mereka ialah penasihat jualan. Tapi, saya juga ada 10 orang juruteknik PDI (pemeriksaan pra-penghantaran) yang juga dibayar dengan insentif berdasarkan jumlah kereta dihantar.
“Oleh itu, impak pada pekerjaan bukannya pada SA saja,” katanya, sambil menambah yang dia sedang berusaha sebaik mungkin untuk membantu kakitangannya melangsungkan kehidupan di waktu sukar ini. Tapi, dengan 200 orang dalam senarai gajinya, kemampuannya juga ada had.
Pengedar Kereta Tutup, Sales Assistant Hilang Kerja…?
Di samping itu, seorang pengedar Mazda yang kami hubungi lagi kurang bernasib baik, kerana mereka juga tidak dibenarkan untuk membuka pusat servis mereka.
“Saya ada sekitar 30 staf dalam senarai gaji saya, tiada seorang pun yang dipotong gaji atau dilepaskan. Tapi, dengan perbelanjaan bulanan sekarang, saya hanya mampu bertahan kurang dari enam bulan,” kata pengedar Mazda itu.
“Lebih memburukkan keadaan, MITI tidak membenarkan bengkel kami untuk beroperasi. Kami hanya boleh menerima kereta yang ditunda masuk, tapi kerja-kerja pembaikan serta tuntutan insurans tidak boleh dijalankan. Seperti yang ramai sedia maklum, kami amat bergantung kepada servis selepas-jualan sebagai punca pendapatan kami,” tambahnya.
Pemeriksaan yang kami lakukan ke atas bengkel-bengkel lain juga mendedahkan yang kelulusan kerajaan untuk pembukaan semula bengkel – walaupun tersenarai sebagai ‘essential services’ – tidak konsisten kerana bengkel yang beroperasi di kawasan PKPD tidak dibenarkan untuk buka.
Seorang pengusaha kedai tayar memberitahu kami yang mereka sudah mendapatkan kelulusan dari MITI, tapi tetap juga dikompaun oleh penguatkuasa tempatan.
“Ya, kami sememangnya sudah sedia maklum tentang betapa seriusnya penyebaran varian Delta. Ia boleh menjangkiti kamu dengan pantas sekali, tapi pada masa sama, apa yang kami dapat lakukan? Orang perlukan duit untuk makan dan bayar sewa,” adu peniaga itu.
Perlu diingatkan yang pusingan moratorium terkini daripada bank hanyalah untuk peminjam persendirian dan ‘perusahaan mikro’. Ia tidak merangkumi perniagaan kecil dan sederhana seperti pengedar-pengedar kereta.
Pada tahap lebih rendah dalam spektrum harga kereta, seorang pengedar Perodua pula memberitahu kami semakin banyak pengedar kereta tutup menjelang Ogos teruatamanya segmen kereta bajet.
“Situasinya amat getir. Ia akan jadi lebih teruk bagi pengedar yang terpaksa membuat pinjaman dari bank untuk ‘floor stocking’ mereka,” kata pengedar Perodua berkenaan.
‘Floor stocking’ ialah kaedah pembiayaan yang selalunya digunakan oleh pengedar-pengedar kereta untuk membeli kereta dari pengilang. Secara tipikalnya, pengilang tidak akan menghantar kereta kepada pengedar melainkan ia sudah dibayar habis secara tunai.
Pengedar Kereta Tutup Kerana Beban Pinjaman
Pengedar yang berhemah dan sihat kewangannya akan membayar stok baru secara tunai. Tapi, pengedar yang berani dan merancang untuk mengembangkan perniagaannya dengan pantas selalunya akan membuat pinjaman dari bank bagi membiayai penstokan semula kereta mereka.
Secara tipikalnya, perjanjian dengan bank membolehkan bayaran semula tanpa faedah selama 21 hari. Ini bermakna jika pengedar tersebut berjaya menjual kereta dalam masa 21 hari – selalunya satu perkara mudah sebelum pandemik – mereka tidak akan dikenakan sebarang faedah. Sebagai pulangan, pengedar juga akan menyarankan bank tersebut kepada pelanggan mereka yang perlukan pembiayaan untuk membeli kereta.
Namun, dalam situasi pandemik COVID-19, kadar faedah untuk ‘floor stocks’ sudah mula bertimpa-timpa dan banyak pengedar mula tertunggak dalam pembayaran balik pinjaman mereka.
Jenama yang mempunyai pesanan tinggi seperti Perodua ada cabarannya yang tersendiri. Pada 31 Mei – sehari sebelum negara dikenakan ‘lockdown’ PKP Penuh pada 1 Jun – banyak pengedar Perodua telah memesan kereta dalam jumlah yang besar. Ini kerana ibu pejabat Perodua menggesa mereka untuk mengejar sasaran jualan tahunan sebanyak 240,000 unit (sehingga ke hari ini, Perodua masih menganggap ia boleh dicapai).
Beberapa pengedar, walaupun sudah ada surat kelulusan MITI untuk beroperasi, diberitahu untuk tidak beroperasi oleh penguatkuasa tempatan dan polis.
Menurut satu lagi kisah tragik yang tak masuk akal, seorang pengedar Perodua menceritakan sebuah treler penuh dengan kereta (yang sempat dihasilkan sebelum kilang Perodua diarah tutup) telah tiba ke pusat pengedarnya, tapi polis datang dan mengarahkan pemandu treler tersebut untuk berhenti menurunkan kereta.
Pengedar juga berkata simpanan tunai mereka sudah terlalu sedikit.
“Walaupun kami boleh mendaftarkan dan menghantar kereta kepada pelanggan, ia tidak bermaksud yang kami akan dibayar oleh bank serta-merta. Banyak prosedur perbankan tidak boleh dilaksanakan jika pegawai pinjaman bekerja dari rumah. Dalam situasi terkini, kami amat-amat memerlukan bayaran itu untuk membayar gaji staf,” kata seorang lagi pengedar Perodua.
Bilik Pameran Sepatutnya Dibenarkan Beroperasi
Seorang pengedar Subaru (perusahaan keluarga) yang kami temuramah memberi satu titik tolak kepada kerajaan, menggesa yang bilik pameran kereta bukanlah tempat untuk berkumpul beramai-ramai. Risikonya juga rendah, oleh itu ia sepatutnya dibenarkan untuk beroperasi.
“Walaupun pada hari biasa, kami hanya ada sekitar 2 ke 3 orang SA di dalam bilik pameran. Pelanggan yang ‘walk-in’ tak ramai, hanya 2 ke 3 orang sehari. Berbeza dengan restoran dan kedai-kedai runcit, tiada orang awam yang perlu berbaris di luar untuk masuk ke bilik pameran.
“Banyak peralatan servis kami yang berkos tinggi disewa, dan ini masih lagi perlu dibayar secara bulanan. Saya juga ada sekitar 50 orang staf semuanya, pada kadar kerugian sekarang, saya hanya boleh bertahan lagi 3 bulan,” kata pengedar Subaru tersebut.
Kami juga difahamkan yang beberapa pengilang senyap-senyap dalam proses untuk mengambil-alih pemilikan beberapa pengedar yang sudah tidak mampu bertahan, manakala yang lain melonggarkan syarat bayaran penuh bagi stok baru.
Ramai juga yang telah masuk campur dan berunding untuk pengurangan faedah bagi ‘floor stocks’ sebagai wakil kepada pengedar mereka, dan mempercepatkan program imunisasi melalui PIKAS.
Pada Jun 2021, satu kumpulan terdiri daripada 14 organisasi perniagaan dan konsumer, disokong oleh 125 persatuan, menjalankan satu sidang media virtual bertajuk “Moratorium Untuk Rakyat”.
Kumpulan tersebut meminta kerajaan untuk meluaskan moratorium bagi merangkumi pengecualian faedah sepanjang tempoh moratorium; serta melibatkan semua fasiliti pembiayaan termasuklah fasiliti perdagangan, kredit, dan sewa.
“Bank mampu,” kata kumpulan itu. “Moratorium baru ini besar kemungkinannya akan ‘memakan kos’ hanya RM 6.4 bilion, iaitu hanya 7% daripada keuntungan tahunan 3 tahun bagi 8 bank tempatan teratas, atau 20% daripada keuntungan tahun 2020 mereka.
“Kami rasakan industri perbankan mesti mengambil langkah bermoral dan tampil ke hadapan semasa negara bergelut dalam krisis.
“Kerajaan Malaysia menjamin keluar sistem kewangan (termasuk bank) dengan dana RM 70 bilion, lebih sedikit daripada 10% dari GDP pada 2008/9. Penerima utamanya ialah sistem perbankan yang pada masa itu dibebani oleh pendedahan kredit tinggi serta hampir-hampir runtuh sepenuhnya,” tambah kumpulan itu.
Beberapa pengedar yang berbual bersama kami juga berpendapat bahawa untuk mendapatkan sebarang pemulihan ekonomi bermakna dari mana-mana pakej rangsangan ekonomi, bantuan kewangan perlu dilanjutkan sehingga ke tahun 2022.
“Pelanjutan bagi pengurangan cukai jualan amat dialu-alukan, tapi sekarang kami tak boleh jual kereta pun. Kalau dibandingkan dengan kerugian ditanggung selama hampir 2 tahun, bantuan yang ada terlalu sedikit untuk menyelamatkan perniagaan. Kalau nak betul-betul merangsang pemulihan, kerajaan perlu mengkaji struktur duti eksais kita, iaitu punca utama harga tinggi bagi kereta-kereta di pasaran Malaysia,” ujar pengedar berkenaan.
Pengedar Kenderaan Komersial Selamat?
Namun, pengedar kenderaan komersial tidak begitu terjejas. Seorang pengedar Isuzu berkata yang jumlah tempahannya kekal stabil, tapi masalahnya ialah penghantaran trak kepada pembeli.
Juga perlu diingatkan yang Isuzu menjual bermacam jenis kenderaan selain daripada D-Max – antaranya ialah lori seperti siri Elf, Forward, dan Giga.
Peningkatan dalam trend pembelian atas-talian juga telah merangsang permintaan untuk trak penghantaran dan sektor logistik.
Walau bagaimanapun, kenderaan komersial (termasuk trak pikap), menyumbang kurang daripada 10 peratus kepada jumlah jualan tahunan kenderaan bermotor di Malaysia.
Jika dikecualikan trak pikap (hampir separuh daripadanya dibeli oleh individu persendirian), sumbangan oleh kenderaan komersial jadi lebih rendah – kepada hanya 3 peratus.
Sebahagian besar daripada pewujudan kerja dan sumbangan ekonomi datang daripada sektor kereta penumpang.
Dan kami belum pun kupas lagi tentang perusahaan kecil keluarga yang lain – pusat penjagaan kanak-kanak, kedai makanan dan minuman, serta perniagaan kecil oleh orang tua kita yang lain.
Oleh itu, kami ingin ambil kesempatan ini untuk menggesa orang ramai supaya melawati laman kitajaga.co dan lihat jika ada jiran tetangga anda yang memerlukan bantuan, kerana kerajaan kita terlalu sibuk memperjuangkan matlamat politik mereka sehingga menjejaskan fokus utama dalam pemulihan negara.
Artikel ini ditulis oleh Mersita untuk WapCar
Apa pandangan anda?