SEARCH

10 Acara Menarik Di George Town Festival 2017 Yang Menanti Kamu 28 Jul – 3 Sept ini

10 Acara Menarik Di George Town Festival 2017 Yang Menanti Kamu 28 Jul – 3 Sept ini

George Town Festival 2017 Intro

George Town Festival 2017 (GTF 2017) bakal berlangsung selama sebulan, merayakan budaya, tradisi, seni dan warisan Pulau Pinang.

GTF 2017 akan merubah bandar berusia 231 tahun ini menjadi bandar festival terbesar Malaysia dengan persembahan-persembahan seni, muzik, teater, fotografi dan artisan yang bertaraf dunia.

Dengan lebih 100 program-program unik dan persembahan kebudayaan yang bakal dijalankan, GTF 2017 menghubungkan antara tradisional dan kontemporari, masa silam dengan masa hadapan.

Festival tahunan yang bermula 2010 sempena pengiktirafan George Town sebagai Tapak Bersejarah Dunia UNESCO ini juga memberi pengiktirafan kepada sumbangan seni rakyat Pulau Pinang terhadap negeri.

Kendatipun festival ini sudah mencecah lapan tahun penganjuran, GTF 2017 kembali lagi dengan lebih banyak kejutan dan acara menarik, bermula tanggal 28 Julai hingga 3 September di seluruh Pulau Mutiara.

Baiklah tanpa membuang masa, saya senaraikan 10 acara menarik di George Town Festival 2017 yang menanti kamu, seperti di bawah:

1 – SVARA ASEAN
Tarikh: 28 & 29 Julai
Tempat: Dewan Sri Pinang
Tema: Muzik

GTF 2017 dimulakan dengan persembahan seni suara, SVARA ASEAN sebagai konsert pembuka. SVARA ASEAN sebagai wadah menyatukan muzik-muzik di Asia Tenggara. Pentas muzik yazng menyatukan Asia Tenggara ini membawa sambutan muzik dan sentuhan artistik daripada negara masing-masing ke pentas Dewan Sri Pinang. Berlangsung selama satu jam setengah, sedia terbuai dalam larut melodi dan suara ASEAN yang mengasyikkan.

 

2 – MACAM – MACAM ASEAN
Tarikh: 29 & 30 Julai
Tempat: Muzium Negeri
Tema: Adibudaya ASEAN

Rantau Asia Tenggara memang penuh dengan budaya yang berwarna, sambutan yang terang dan bahasa yang pelbagai. Berselari dengan fokus Asia Tenggara bagi tahun ini, GTF 2017 menganjurkan sebuah mini festival yang bertemakan ASEAN. Ia memapar hasil-hasil seni dan kreatif ASEAN yang terbaik di bawah satu bumbung dengan sedikit sentuhan moden.

 

3  – OF THIS PLACE by Cheryl Hoffmann
Tarikh: 28 Julai - 3 September
Tempat: Persatuan Kantonis Jalan Chulia
Tema: Pameran Fotografi

Dalam budaya Melayu, gelaran “Datuk” merujuk kepada pangkat penghormatan atau sekadar panggilan hormat kepada mereka yang lebih berusia daripada kedua ibubapa. Imigran awal mengangkat falsafah ini dalam memberi penghormatan kepada adat setempat dan semangat alam sekitar. Pada hari ini terdapat beberapa tokong yang memuja semangat “Datuk” serta berhala-berhala kecil, hasil pertembungan antara dua budaya besar ini.

 

4 – MALAY MAGIC AND DIVINATION
Tarikh: 29 Julai 2017
Tempat: Black Kettle
Tema: Sastera

Di sesetengah rantau Nusantara, kepercayaan kepada kuasa ghaib dan semangat memang tidak dapat dipisahkan. Nun jauh dari wilayah Selatan Thai hingga ke wilayah Timur Indonesia, kepercayaan-kepercayaan mistik masih lagi diamalkan. Dr Farouk Yahya (PhD SOAS University of London, 2013) mengupas lanjut soal sejarah dan berkongsi penemuannya tentang mistik, sihir dan ritual keramat yang berusia lebih ribuan tahun dalam budaya orang Melayu di seluruh wilayah Nusantara.

 

5 – IKAT
Tarikh: 11 & 12 Ogos
Tempat: Loft 29 @ Gat Lebuh Gereja
Tema: Teater

IKAT membawa kisah-kisah kehidupan harian manusia daripada pelbagai latar bandar dan negara. Masalah-masalah yang ditempa, konflik sosial dan perhubungan serta kesan kepada kehidupan mereka yang pantas berubah. Masa tidak pernah mencukupi. Sedang jam berdetik semakin laju dari hari ke hari. Teater ini kolaborasi antara empat negara – Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina.

 

6 – HAKANAÏ – Adrien M & Claire B
Tarikh: 18 & 19 Ogos
Tempat: Loft 29 @ Gat Lebuh Gereja
Tema: Tarian

Mempersembahkan hubungan antara manusia dengan realiti dan mimpi. HAKANAÏ ialah persembahan tarian solo yang menari dengan rentak muzik dan intalasi digital yang unik. Di Jepun, HAKANAÏ merungkai sesuatu yang rapuh dan sementara. Seperti mimpi, ia cepat berlalu pergi sesudah tiba realiti.

 

7 – EURASIAN HERITAGE FIESTA
Tarikh: 26 & 27 Ogos
Tempat: Pulau Tikus
Tema: Sejarah

Sejarahnya, Pulau Tikus sudah sebati dengan populasi besar keluarga berketurunan Eurasian yang menetap di Pulau Pinang. ‘The Eurosian Heritage Fiesta’ dianjurkan bersama Persatuan Eurasian Pulau Pinang akan memperlihatkan budaya minoriti yang buat julung kalinya dipersembahkan kepada umum.

Kenali budaya, makanan tradisi, muzik, tarian, pameran gambar serta hikayat komuniti Eurasian yang sangat istimewa ini. Terdapat juga sesi “Poke & Probe” di mana pengunjung boleh bertanyakan apa sahaja soalan tanpa tapisan tentang komuniti ini dan mendapatkan jawapan tentang komuniti Eurasian di Malaysia tanpa sebarang kekangan.

 

8 – ANTHAR AGNI
Tarikh: 30 & 31 Ogos 
Tempat: Dewan Sri Pinang
Tema: Muzik

Anthar Agni dikemudi oleh Nawaz Mirajkar dari Temple of Fine Arts adalah persembahan budaya, muzik dan tarian tradisional yang memberi penghormatan kepada Api Suci (Agni). Anthar Agni meraikan nilai muzik dan spiritual yang tinggi dan merangkumi variasi budaya. Kombinasi bunyi dram Cina yang beralun sempurna bersama rentak klasikal India. Di sebalik penyanyi Sufi yang lunak melantunkan suara merdu serta menyanyi dengan harmoni lagu-lagu berunsurkan ketuhanan.

 

9 – BORN INTO BROTHELS
Tarikh: 31 Ogos 2017
Tempat: Black Kettle
Tema: Filem

Penyandang Anugerah Academy 2014 bagi kategori Dokumentari Terbaik, ‘Born into Brothels’ menjejaki anak-anak luar nikah yang dilahirkan oleh pelacur-pelacur di Sonagachi, Kolkota, India. Pengarah, Zana Briski berkawan rapat dengan anak-anak malang ini dan memberi mereka kamera tersembunyi supaya dapat merakam kehidupan di dalam rumah sundal ini secara langsung dan tanpa sebarang suntingan.

 

10 – ORANG ORANG DRUM THEATRE & JB DRUM TEAM
Tarikh: 1 & 2 September 2017
Tempat: Gat Lebuh Macallum (shows)
Tempat: The Whiteaways Arcade (talks)
Tema: Muzik dan Bual bicara

Dipersembahkan oleh ‘Orang Orang Drum Theather’ dan ‘JB Drum Team’, persembahan mereka berdasarkan kisah perjalanan epik nenek moyang yang berpindah dari Tanah Besar China menuju ke selatan (Asia Tenggara) dalam mencari keselamatan dan kehidupan baru.

Kronologi persembahan selari dengan rentetan kisah pergolakan dan kebahagian yang melanda sepanjang perjalanan mereka. Memelihara sedaya upaya adat dan tradisi serta cerita dedikasi melayari sumadera ganas untuk sampai ke bumi Asia Tenggara, hari ini.

 

Layari laman sesawang rasmi GTF 2017 untuk sebarang maklumat lanjut.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE