SEARCH

10 Soalan Bersama Kodaline – Tentang Malaysia, Di Sebalik ‘All I Want’ & Muzik-Muzik Kehidupan

10 Soalan Bersama Kodaline – Tentang Malaysia, Di Sebalik ‘All I Want’ & Muzik-Muzik Kehidupan
Kodaline Intro Pic stail.my
Kodaline – foto oleh All is Amazing

 

Kodaline senang menyua tangan untuk bersalaman dengan semua pengamal media yang sedang duduk-duduk santai di bilik media serba putih itu. Empat pemuda Irish ini sangat sopan dan tinggi-tinggi belaka.

Kugiran asal Ireland ini mula mendapat perhatian dunia pada 2012 melalui lagu “All I Want” yang dimainkan dalam siri “Grey’s Anatomy” musim ke-9 dan “The Vampire Diaries” musim ke-5. “All I Want” juga sempat dijadikan sebagai lagu latar “2012: Year in Review” oleh Google.

 

Akhirnya pada April 2014, populariti lagu yang bertajuk “All I Want” ini tidak berakhir begitu sahaja. Ia dijadikan pula sebagai lagu tema “The Fault in Our Stars” lakonan Ansel Elgort dan Shailene Woodley.

Lagu-lagu lain Kodaline yang turut terkenal seperti “Pray“, “Love Like This”, “Perfect World” dan “High Hopes” turut mendapat tempat di hati peminat.

Sempena Good Vibes Festival 2017 ini, saya diberi kesempatan menemuramah Steve Garrigan, 29 (vokalis), Mark Prendergast, 28 (Gitar), Vincent May, 27 (Drum) dan Jason Boland, 30 (bass) – bertanyakan pada mereka 10 soalan tentang Malaysia, kisah di sebalik “All I Want” dan muzik-muzik kehidupan.

1 – LAGU KODALINE YANG PALING ISTIMEWA?

“All I Want”.

Walau ke mana sahaja kami pergi, peminat-peminat pasti mahu kami nyanyikan “All I Want”. Mereka mengingati lagu ini. Ia sebuah lagu yang sangat emosi. Semua tersentuh mendengarnya dan menyanyi bersama. Jadi, ya kami boleh katakan “All I Want” ialah sebuah lagu yang terlalu istimewa.

2 – KALIAN BERMULA DENGAN NAMA ’21 DEMAND’. LALU MENGAPA MENUKARNYA KEPADA KODALINE?

Kami mengenali antara satu sama lain semenjak kecil. Kami membesar bersama sejak berusia lapan tahun lagi. ‘21 DEMAND’ adalah kugiran kami di sekolah tinggi.

Ketika itu kami tidak menulis sebarang lagu. Kemudian kami menukar nama kepada ‘Kodaline’ kerana merasakan kami sudah cukup dewasa untuk menulis lagu dan bermain muzik sendiri.

Kami mula menulis lagu dan mencipta muzik ketika Kodaline terbentuk. Ahli kumpulan juga ada yang sudah berubah, muzik juga sedikit berbeza. We’re still learning in making music.

3 – INSPIRASI KAMU KETIKA MENULIS LAGU?

Tentang manusia. Tentang diri sendiri. Sebenarnya tergantung pada keadaan. Apa jua yang terjadi di persekitaran sosial dan kehidupan peribadi kami. Selalunya kami menukarnya menjadi bait-bait lirik dalam lagu-lagu Kodaline. Ia boleh jadi apa sahaja. Tentang kehidupan, amnya.

Semua lagu-lagu kami hadir daripada pengalaman hidup, persahabatan dan perhubungan. Ia tentang kehidupan.

4 –  JADI, ADAKAH ‘ALL I WANT’ ini BERDASARKAN SEBUAH KISAH CINTA SEBENAR?

Ya. Ia berdasarkan kisah cinta saya (Steve Garrigan). Saya harap dia (bekas kekasih) tidak membaca artikel ini (ketawa). Sewaktu itu saya muda, ia adalah pengalaman cinta pertama, tetapi putus dengan kecewa. Saya hanya mahu luahkan emosi dan perasaan saya dalam sebuah lagu. I express what I felt at the time.

5 –  PANDANGAN TERHADAP MALAYSIA?

Gemalai dan menakjubkan. Kami membuat persembahan di tengah-tengah hutan hujan Malaysia buat julung kali. Good Vibes Festival 2017 sangat menarik. Kuala Lumpur dan orang-orangnya sangat cantik.

6 –   PERKARA PERTAMA YANG MENANGKAP PERHATIAN KETIKA BERADA DI MALAYSIA?

Ribut petir! Ia luar biasa dan berlangsung selama kira-kira setengah jam sebelum berakhir. Satu perkara yang paling membuat kami tertanya-tanya, bagaimana hujan yang sebegitu lebat boleh kering dalam sekelip mata? Kalau di Ireland, seluruh negara kami sudah tenggelam… (ketawa). That was a surreal experience, up all the way to the festival.

7 –  APA YANG KALIAN HARAPKAN DI MALAYSIA?

Ini kali pertama kami di Malaysia. Kami tidak tahu apa yang Malaysia bakal tawarkan. Kami tidak pernah menjejakkan kaki di sini. Kami rasa gembira dan teruja. Tak sabar untuk merasa budaya Malaysia.

8 –  ITEM MESTI ADA SETIAP KALI FESTIVAL?

Wellies, Vans dan baju hujan.

9 – LAGU KODALINE PALING TERBAIK yang KALIAN RASAKAN SESUAI untuk dimainkan di GOOD VIBES FESTIVAL 2017

Kodaline bakal keluar dengan lagu terbaru berjudul “Brother” dan masih lagi belum dilepaskan. Kami gementar setiap kali mengeluarkan lagu dan muzik baru. Namun ketika kami mempersembahkan “Brother” di Jakarta, peminat di sana ternyata suka.

Di Itali, “Love Like This” lebih mendapat sorakan. Maka ia berubah-ubah. Kita tidak dapat menjangka lagu apa yang tiap negara kami kunjungi itu suka. Harapnya, peminat Malaysia suka semua lagu kami (ketawa).

10 – APA YANG PEMINAT BOLEH JANGKA UNTUK ALBUM KETIGA KODALINE?

Untuk album studio ketiga ini, kami tukarkan sedikit bunyi pada muzik kami. Namun kamu masih boleh lagi mendengar dan merasa vibe Kodaline dalam album ini. We’re very excited and can’t wait to release this album (senyum).

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE