SEARCH

10 Soalan Bersama Pastel Lite Sebagai Kugiran Elektro Retro di #GVF2018

10 Soalan Bersama Pastel Lite Sebagai Kugiran Elektro Retro di #GVF2018

Good Vibes Festival 2018 baru sahaja melabuhkan tirainya. Dalam sekalian persembahan, saya tertarik dengan muzik kugiran yang bernama Pastel Lite ini. Muzik mereka kedengaran segar dan lain daripada yang lain. Tambah pula, saya tidak sangka yang kumpulan gitar rancak ini asal Malaysia.

Dianggotai dua anak muda, Pastel Lite menongkah arus dengan membawa genre yang boleh diklasifikasikan sebagai elektronik + retro. Ya kamu dengar saya. Pertembungan muzik baru dengan baju dan melodi lama yang membuat muzik mereka unik dan berada di persada yang tersendiri.

Ikuti temubual saya bersama Eff Hakim dan Mohd Faliq, di belakang pentas, merungkai Pastel Lite dan muzik mereka sebagai satu-satunya kugiran elektro-retro di #GVF2018, seperti berikut:

Pastel Lite good vibes festival 2018 stail.my 1 eff hakim
1 – Boleh terangkan maksud Pastel Lite?

Eff: Pada mulanya, kami tidak pernah bercadang untuk menamakan nama kugiran kami sebagai Pastel Lite. Mungkin kerana lagu-lagu kami yang bernada lembut dan cerah serta vibe yang ceria, Pastel Lite kedengaran sesuai buat masa ini.

2 – Buat masa ini? Maksudnya?

Eff: Mungkin akan menukar nama kugiran kami di masa hadapan kerana tidak pasti berapa lama lagi kami akan membawa genre ini. Sebenarnya, terlalu banyak fasa-fasa muzik yang telah kami lalui sebelumnya. Antaranya, ‘dark wave’, ‘pop’, malah pernah juga ‘post punk’.

Faliq: Buat masa ini, kami di fasa di mana kami suka membikin lagu-lagu yang ceria dan bahagia seperti ‘nostalgia pop’ yang sangat bertemakan ‘80’s dance’. Kami bercadang akan membikin lagu-lagu yang lebih rancak selepas ini.

3 – Terangkan muzik kamu kepada mereka yang tidak pernah mendengarnya?

Eff & Faliq: Nostalgia pop balada electronic.

Yang pasti apa yang Pastel Lite lakukan, bukan muzik yang baru. Muzik-muzik kami mendapat inspirasi daripada muzik-muzik lewat 70’an dan awal 80’an. Artis-artis era terdahulu seperti Sheila Majid, Francisca Peter dan Roslan Aziz pernah membawa genre ini.

Pastel Lite good vibes festival 2018 stail.my mohd faliq

4 – Bagaimana kamu berjumpa? Ada kisah disebaliknya?

Eff: Faliq adalah seorang penerbit. Kebetulan Faliq mencari artis baru untuk menubuhkan band. Jadi saya berjumpa dengannya di studio miliknya dan mula sesi jamming. Kami serasi bermain muzik bersama. Bukan senang untuk berjumpa orang yang kamu selesa berkarya. Jadi kami mengambil keputusan untuk menubuhkan Pastel Lite pada 2012.

5 – Pendapat kamu tentang industri muzik Malaysia?

Eff: Bertambah baik. Saya melihat genre-genre muzik sekarang sudah mula berkembang. Sudah banyak variasi selain pop dan rock. Mereka (pendengar) mula menerima muzik-muzik baru seperti kami. Kami bermula pada 2012, jadi agak lambat sedikit memasuki arena muzik arus perdana. Muzik kami mungkin diterima atau mungkin tidak oleh mereka, saya tidak boleh jamin. Namun sejak 2014, ramai artis dan pemuzik di Malaysia sudah mula mengadaptasi muzik-muzik dan instrument yang baru seperti kami.

Faliq: Muzik kami sama sahaja dengan genre muzik yang lain. Seperti kamu mendengar muzik asli, tetapi dimainkan dengan instrumen yang berbeza. Oh bercakap soal muzik asli, saya bersama Monoloque sedang melancarkan kempen “Mencari Nusantara”, di mana kami akan experiment dan gabungkan bersama instrumen moden untuk muzik-muzik asli seperti Dondang Sayang, Ghazal, Dikir Barat dan lain-lain muzik asli yang terdapat di Malaysia.

6 – Sambutan penggiat muzik asli? Apakah positif atau negatif?

Faliq: Memang tidak dinafikan ada yang menentang. Namun ada juga penggiat seni asli yang terbuka untuk menerima perubahan. Misalnya, Dondang Sayang yang melibatkan biola. Biola itu sebenarnya bukan alatan muzik asli budaya kita, tetapi di masa lalu ia masih diterima masyarakat Baba dan Nyonya. Mereka lebih terbuka untuk menerima sesuatu yang baru seperti pengenalan instrumen-instrumen muzik elektronik yang dibawa kami. Perlahan-lahan kami akan usahakan untuk perkara ini (muzik asli yang diberi nafas baru) diterima oleh masyarakat Malaysia, umumnya.

A post shared by STAIL.MY (@stail.my) on

7 – Terangkan fesyen dan stail kamu?

Eff: Stail kami adalah experimental. Klasik pada masa sama elegan. Kami suka mencuba perkara baru. Fesyen lebih kepada suatu persalinan yang selesa. Yang mencerminkan Pastel Lite. Sederhana dan retro.

8 – Perasaan membuat persembahan di Good Vibes Festival 2018?

Eff & Faliq: Gembira! (ketawa). Namun kami perlu akui banyak lagi yang perlu kami pelajari untuk membuat persembahan berskala besar seperti ini. Mungkin selepas ini kami akan mengeluarkan lagu-lagu yang lebih rancak bagi menambah hype untuk muzik-muzik yang lebih mesra festival.

9 – How to feel the good vibes in life?

Dengan menjadi minimalis. Kami pelajari sehingga sekarang, selalunya kita tidak perlukan semua benda dalam satu-satu masa. Jika kita menghargai, nikmat akan lebih terasa.

10 – Good Vibes Festival 2019 dalam perkataan kamu sendiri.

Fun. Music & Muddy

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE