SEARCH

12 Rakaman Cover Version Terbaik Tempatan

12 Rakaman Cover Version Terbaik Tempatan

remake

Cover version pernah jadi trend satu ketika dulu apabila Innuendo dengan sangat berjaya mengembalikan gemilang melodi Belaian Jiwa diikuti Indigo (Suraya) Ferhad (Kasih Berubah) dan lebih menghangatkan trend remake lagu-lagu lama apabila syarikat rakaman SRC dengan berani keluar dengan produk yang diberi nama 2by2, kumpulan pop yang hanya menghasilkan album penuh lagu-lagu rakaman semula.

Dan sesungguhnya mereka berjaya (sangat berjaya mungkin) pada ketika itu dengan lagu-lagu seperti Mawarku, Tiga Malam dan Pak Pung Pak Mustafe. Namun trend ini tidak lama sehingga trend muzik ketika itu beralih ke irama nasyid, dangdut dan indie.

Dalam sejarah penerbitan lagu-lagu rakaman semula ini beberapa rakaman semula yang benar-benar bagus adalah album Legenda oleh Sheila Majid. Album ini hadir dengan kualiti rakaman yang hebat sekali sekalipun ia tidaklah terjual begitu banyak berbanding album diedarkan sama tahun dengannya namun masih diingati sehingga hari ini.

Liza Hanim juga antara yang pernah merakamkan album dengan lagu-lagu P.Ramlee namun sayang tiada apa yang terlalu istimewa dengan album tersebut selain menjual suara hebat milik Liza. Kemudia Laguna Records mengumpulkan beberapa bakat hebat indie seperti Hujan, Yuna, Najwa, Meet Uncle Hussein dan lain-lain dalam album P.Ramlee Satu Indiepretasi yang saya kira masih menjadi album remake terbaik sehingga hari ini.

Ajai & Nurul melalui Seiring Sejalan serta Sean Gazi juga pernah mengeluarkan album yang memuatkan lagu rakaman semula dan masih ingat Syafinaz dikritik oleh Dato’ Ahmad Nawab kerana keberaniannya memberi rendisi baru dalam karya maestro muzik itu?

Susunan muzik moden dan urban dalam kebanyakan trak bagai membunuh melodi asal lagu-lagu ciptaan Ahmad Nawab but to be frank Shhh… is one of the innovative remake ever made. Namapun Berkeley’s project! Maestro-maestro yang menjadi tunjang adalah graduan-graduan institut muzik paling handal dunia itu. Yang terakhir saya kira adalah Dayang Nurfaizah menerusi album Kasih – sebuah pengalaman muzik yang cukup berbeza dengan rendisi baru yang begitu luar biasa sekali.

Namun tidak semua album remake dilakukan dengan justifikasi yang bagus. Saya masih ingat Saleem pernah merakam album rakaman semula lagu popular seperti Gelombang (Salamiah Hassan) yang hancur sekali hasilnya. Berikut beberapa lagu yang kami senarai pendek sebagai remake terbaik sepanjang zaman.

stailmy CollageBelaian Jiwa – Innuendo (1997)
Nyanyian Asal: Carefree
Lagu & Lirik: Simon Justin Leo / Md Noordin Wan Chik
Susunan semula: Ahmad Izham Omar / Innuendo

Antara remake paling berjaya dan diingati. Lagu yang membuka mata ramai peminat muzik tempatan terhadap band R&B Soul ini. Dipetik daripada debut Inuuendo. Susunan yang berbeza dengan versi asal dibantu harmoni vokal Innuendo buat kita semua melayang dengan versi ini.

Kasih Berubah – Ferhad (2000)
Nyanyian Asal: Flybaits
Lagu & Lirik: Flybaits
Susunan Semula: Azlan Abu Hassan

Azlan Abu Hassan is always my favorite composer and arranger. Dia bikin setiap trak yang dicipta begitu personal sekali dengan pengaruh soul serta R&B. Trak ini antara yang cukup berhantu 1ketika Ferhad mula diperkenalkan sekitar awal tahun 2000.

Rindu Bayangan – Syafinaz (1999)
Nyanyian Asal: Carefree
Lagu & Lirik: Omar Taib / Siti Maria Jasman

Pernah dengar versi ini? Rasanya siapa yang ada album ini sahaja yang pernah dengar trak rakaman semula ini. Susunan piano dan soprano vokal milik Syafinaz beri justice kepada remake ini!

Saat Yang Bahagia – Dayang Nurfaizah (2005)
Nyanyian asal: P.Ramlee / Saloma
Lagu & Lirik: P.Ramlee
Susunan semula: Zailan Razak

Ini antara remake terbaik dalam album Kasih. Susunan muziknya begitu moden sekali dan saya letakkan ini antara album terbaik sepanjang karier Dayang. Melodi asal dikekalkan cuma perubahan pada mood dan feel dimodenkan mengikut keupayaan Dayang.

Suratan Atau Kebetulan – Camelia (1999)
Nyanyian Asal: Kenny Remy Martin
Lagu & Lirik: Kenny Tay / Habsah Hassan
Susunan Semula: Ahmad Izham Omar / Illegal

Lagu berhantu Kenny Remy Martin yang dirakam semula oleh Camelia dengan muzik akustik ballad yang merdu. Susunan dalam lagu ini benar-benar beri mood berbeza berbanding versi asal. Antara trak yang masih saya ulang dengar sehingga ini.

Rindumu Rinduku – Syafinaz (2001)
Nyanyian Asal: Broery Ramantika
Lagu & Lirik: Ahmad Nawab / Broery
Susunan Semula: Ahmad Izham Omar / Illegal / Eka Shereen

Keberanian Izham Omar menyusun semula lagu yang asalnya ballad menjadi R&B dengan tempo yang lebih laju buat saya benar-benar kagum! Hasil yang nyata berbeza berbanding versi asal dan paling berani mati.

Sepi Sekuntum Mawar Merah – V.E (2008)
Nyanyian Asal: Ella
Lagu & Lirik: Fauzi Marzuki / Lukman S

Semuanya tentang trak ini adalah satu perasaan yang cukup hebat sekali. V.E meletakkan trak Pop Rock ini pada satu tahap yang tinggi – very deep and soulful. Harmoni vokal mereka adalah kunci kehebatan trak ini. Selain trak ini, ada sebuah trak Pop Yeah Yeah berjudul Tak Mengapa juga antara remake terbaik yang pernah mereka rakamkan.

Tentang-Tentang / Butterfingers (2007)
Susunan Semula: Butterfingers

Mengambil melodi asal lagu rakyat Gelang Si Paku Gelang, dengan bijaksana Loque membikin semula lagu ini dengan acuan Butterfingers, sangat refreshing dan kreatif! Sebuah remake yang bukan sekadar mengubah melodi asal namun mengubah lirik asal lagu ini. Percubaan yang benar-benar berani.

Ikan Di Laut Asam Di Darat – Adibah Noor (2005)
Lagu & Lirik: Copyright Control
Susunan Semula: Azlan Abu Hassan

Mood bossa dalam lagu ini sangat cool! Dengarkan susunan vokal dalam lagu ini sangat harmoni, blend vokal Adibah dan acapella bersama Azlan yang saya sifatkan sebagai gabungan yang amat baik. Lagu ini turut mendapat pencalonan AIM bagi kategori untuk susunan muzik yang disusun indah oleh Azlan Abu Hassan.

Sayang Disayang – Ning Baizura (1997)
Lagu & Lirik: Copyright Control

Dipetik daripada album Ke Sayup Bintang, Ning mengejutkan banyak pihak dengan remake klasik ini. Dengan imej rambut pendek dan blonde penuh gaya Ning dengan deep vokal miliknya melantunkan irama klasik ini, Nora juga pernah merakamkan semula lagu ini namun impak yang diberi Ning dalam lagu ini memberi kesan sehingga hari ini!

Malam Ku Bermimpi (2005)
Lagu: P.Ramlee / S.Sudarmaji
Susunan semula: Jenny Chin / Mac Chew

Lagu asalnya cukup rancak bikin kita menari mendengarnya diubah menjadi ballad yang cukup menyenangkan. Trak ini diterbitkan dalam album terbitan semula Legenda dengan judul Legenda XV XX. Hasilnya cukup berbeza dengan versi asal tanpa mengubah melodi asal.

Tangisan Semalam – Aishah (1998)
Lagu: Ahmad Nawab
Lirik: Jamil Sulong
Susunan semula: Jenny Chin

Jenny Chin memberi sentuhan cukup romantis dalam trak asal ciptaan Ahmad Nawab ini. Lagu ini cukup senang sekali didengar dengan lontaran vokal merdu Aishah yang memberi justifikasi pada penciptaan melodi.

 

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE