SEARCH

5 Drama Melayu Paling Popular 2018 – Teka Drama Yang Mengalahkan ‘Nur’

5 Drama Melayu Paling Popular 2018 – Teka Drama Yang Mengalahkan ‘Nur’

Drama Melayu paling popular 2018 jatuh kepada “Jangan Benci Cintaku” lakonan Saharul Ridzwan dan Zahirah Macwilson yang berada di tempat pertama dengan jumlah tontonan terkumpul sebanyak 12 juta tontonan, mengalahkan drama popular yang paling banyak memenangi anugerah di Anugerah SKRIN 2018 (#ASK2018)- “Nur” yang berjaya mengutip sebanyak 11 juta tontonan terkumpul dan agak mengejutkan berada di tempat keempat di carta drama Melayu paling popular 2018 ini.

Saya kira mungkin sebab utama “Jangan Benci Cintaku” menjadi tular, bukan sahaja kerana penonton tidak menyukai watak Husna, malah warganet turut geram dengan sikap Shah (Saharul Ridzwan) yang tidak tegas, Fika (Zahirah Macwilson) yang mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan kemunculan watak si pelakor, Husna (Niena Baharun) dan ditambah dengan kehadiran Nek Pah (Azizah Mahzan) yang kuat ‘membawang’! Kombo kontroversi berikut sudah cukup membuat warganet ‘panas hati‘ sepanjang menonton “Jangan Benci Cintaku” ini.

Baiklah, tanpa membuang masa, saya senaraikan 5 drama Melayu paling popular 2018 (berdasarkan jumlah tontonan terkumpul yang tertinggi), seperti yang tertera:

 

Terbaik Dariku Drama Melayu Paling Popular 2018


5 – TERBAIK DARIKU  (10 juta tontonan)
SLOT: Samarinda
TARIKH TAYANGAN: 14 Nov – 18 Dis 2018
ATAS TALIAN: 4.2 juta tontonan

Mengisahkan wanita yang tersepit antara impiannya untuk memiliki cinta suami dan menerima realiti suaminya mencintai wanita lain. Aisyah (Zara Zya) mengahwini Taufiq (Syazuwan Hassan) kerana menyangkakan cinta suaminya itu ikhlas terhadapnya. Namun sebenarnya, Taufiq tidak pernah mencintai Aisyah. Sebaliknya Taufiq hanya mempergunakan Aisyah atas desakan ibunya, Saodah (Fadilah Mansor) yang mahu menumpang kesenangan yang dimiliki Aisyah.

Dalam diam, Taufiq mempunyai seorang isteri lain bernama Suraya (Azar Azmi) yang dikahwininya sebulan selepas pernikahannya dengan Aisyah. Taufik bijak menyembunyikan perkahwinannya itu sehingga tidak langsung dihidu oleh Aisyah. Taufiq sering memburukkan Aisyah di hadapan Suraya. Dia sering mengadu dia tidak bahagia dengan Aisyah dan betapa dia cuba menjaga hati Aisyah tetapi Aisyah tidak menghormatinya sebagai suami malah katanya, Aisyah memperkecilkan dirinya sebagai lelaki yang berasal dari kampung dan miskin. Semua rekaan cerita ini menyebabkan Suraya membenci Aisyah. Seringkali Suraya mendesak supaya Taufiq menceraikan Aisyah tetapi Taufiq masih lagi tidak mahu melepaskan Aisyah kerana tamak wang dan harta.

Pelakon: Zara Zya, Syazuwan Hassan, Azar Azmi, Hanna Aqeela, Azri Iskandar, Adam Corrie

 

Sinopsis Nur Drama Melayu Paling Popular 2018


4 – NUR  (11 juta tontonan)
SLOT: Samarinda
TARIKH TAYANGAN: 12 Mei – 13 Jun 2018
ATAS TALIAN: 500 ribu tontonan

Mengisahkan Ustaz Adam (Syafiq Kyle), anak kepada penceramah selebriti terkenal iaitu Datuk Ayah Haji Mukhsin (Datuk Jalaluddin Hassan). Adam menjadi harapan untuk meneruskan legasi dakwah keluarganya. Sebaik sahaja dia tamat pengajiaan di timur tengah dalam jurusan Usuluddin, Aisyah (Norkhiriah), kakak sulung Ustaz Adam memaksa Adam untuk terus muncul sebagai tetamu jemputan dalam program dakwah di televisyen seperti ayahnya. Namun, Adam menolak dan mahu mencari pengalaman dengan mula berdakwah di masjid milik ayahnya. Sejak memulakan tugasnya sebagai pendakwah, Ustaz Adam sering menerima soalan daripada individu misteri. Soalan itu hanya disampaikan melalui sekeping kertas tanpa nama. Ustaz Adam ingin mengenali siapakah individu yang mengajukan soalan yang menguji ilmu agamanya sebagai seorang pendakwah.

Suatu hari, ketika Ustaz Adam hendak keluar dari masjid, dia bertembung dengan seorang wanita yang sedang menulis sesuatu. Malangnya, wanita misteri itu melarikan diri sebaik sahaja disapa Ustaz Adam dan meninggalkan sekeping kertas dengan soalan yang tidak sempat disudahkan. Sejak hari itu, wanita misteri itu tidak lagi muncul di masjid. Hati Ustaz Adam terdetik dan ingin mengetahui siapakah wanita misteri itu. Ustaz Adam memulakan pencariannya dengan niat mahu membantu wanita itu. Pencarian Ustaz Adam berakhir di lorong gelap. Ustaz Adam akhirnya menemui Nur (Amyra Rosli), seorang pelacur yang ingin keluar dari kancah kehidupan yang kotor namun tidak berdaya.

Pelakon: Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Noorkhiriah, Raja Atiq, Datuk Jalaluddin Hassan

 

Teratai Kemboja Drama Melayu Paling Popular 2018

3 – TERATAI KEMBOJA (12 juta tontonan)
SLOT: Zehra
TARIKH TAYANGAN: 13 Apr – 8 Jun 2018
ATAS TALIAN: 100 ribu tontonan

Fikri (Adi Putra) seorang usahawan, tetapi merasa hidupnya kosong tanpa anak kerana keengganan isterinya, Hanani (Elly Mazlein) untuk hamil. Pada satu hari Fikri diserang sakit jantung ketika memandu dan telah melanggar Taufiq (Hasnul Rahmat) seorang guru agama yang berasal dari Kemboja. Selama mereka dirawat di hospital, Taufik sering melawat Fikri di wadnya. Taufiq menceritakan tujuannya datang ke Malaysia adalah untuk berjumpa dengan pihak NGO yang telah banyak menyumbang kepada perkembangan Islam dan pendidikan kanak-kanak di kampungnya. Dalam masa sama, Taufiq juga sedang mencari seseorang.

Fikri tertarik dengan cerita Taufiq dan mahu mengikut Taufik pulang ke Kemboja. Melihat kehidupan yang daif di kampung Taufik, Fikri tersentuh dan ingin menetap lebih lama di situ. Fikri juga tertarik dengan peribadi Nurhidayah (Fasha Sandha) yang juga anak kepada Taufik. Namun, statusnya yang sudah berkahwin menghalang niat. Tanpa diduga, Taufik melamar Fikri untuk menjadi suami kepada anaknya itu. Fikri bingung tetapi dia akhirnya bersetuju kerana mahukan zuriat sebagai pewaris keturunan.

Pelakon: Fasha Sandha, Adi Putra, Elly Mazlein, Hasnul Rahmat, Fauzi Nawawi, Noralbaniah

 

Andainya Takdir 2 Drama Melayu Paling Popular 2018

2 – ANDAINYA TAKDIR 2 (12 juta tontonan)
SLOT: Samarinda
TARIKH TAYANGAN: 13 Jun – 2 Ogos 2018
ATAS TALIAN: 1 juta tontonan

Airil (Syukri Yahya) yang sudah bercerai dengan Fatihah (Nina Iskandar) berusaha untuk menyatukan semula keluarga mereka termasuk menjalani rawatan dengan doktor psikiatri. Airil masih tidak berputus asa memujuk Fatihah untuk rujuk semula walaupun setelah tiga bulan bercerai. Dia merasakan hidupnya tidak sempurna tanpa Fatihah dan Aleeya (Puteri Balqis) di sisi. Namun Fatihah masih trauma dan makin membenci Airil apabila Airil masih mencampuri urusan hidupnya hingga Fatihah terpaksa berpindah ke Terengganu bersama Aleya.

Pabila berjauhan barulah Fatihah terasa sukarnya hidup tanpa Airil dan terpaksa berdikari. Apatah lagi Aleeya kini sudah pandai memberontak dek kerana merindukan Airil dan tertekan kerana Fatihah lebih banyak meluangkan masa di tempat kerja baharu daripada bersama anak sendiri. Pelbagai ujian melanda termasuklah desakan cinta dari Nizam (Mas Khan) sebagai bos tempat kerja barunya, masalah Aleya terpengaruh dengan budak nakal dan cinta baru dengan Hafiz (Syazuwan Hassan). Airil berusaha membantu Fatihah dalam diam, sehingga dia sanggup mencari kerja di Terengganu. Akhirnya pengorbanan Airil disedari Fatihah.

Pelakon: Shukri Yahaya, Nina Iskandar, Puteri Balqis, Syazuwan Hassan, Mas Khan

 

Jangan Benci Cintaku Drama Melayu Paling Popular 2018

1 – JANGAN BENCI CINTAKU (12 juta tontonan)
SLOT: Akasia
TARIKH TAYANGAN: 29 Jun – 7 Ogos 2018
ATAS TALIAN: 5 juta tontonan

Perkahwinan Fiqa (Zahirah Macwilson) dan Shah (Saharul Ridzwan) adalah aturan keluarga ketika usia mereka masih muda. Fika langsung tidak bersedia untuk memberi komitmen sepenuhnya dan sering menganggap bahawa perkahwinan itu adalah satu beban. Lantas, Fiqa tidak teragak untuk melanjutkan pelajaran ke Sunderland, Australia tanpa menghiraukan perasaan suami yang mencintainya. Lima tahun kemudian, Fiqa kembali ke Malaysia dan menyedari dia mula merindui suaminya dan bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri. Namun, Shah sudah mempunyai kekasih hati iaitu Husna (Niena Baharun) dan Fiqa berjanji pada diri akan memenangi hati suaminya semula.

Pelakon: Saharul Ridzwan, Zahirah Macwilson, Niena Baharun, Daler YusofAmelia Henderson

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE