SEARCH

5 Filem Malaysia 2018 Harus Kamu Tonton Pilihan STAIL.MY

5 Filem Malaysia 2018 Harus Kamu Tonton Pilihan STAIL.MY

Jika sebelum ini saya senaraikan 12 filem Hollywood pilihan sepanjang 2018 serta 10 filem Disney, juga 10 filem adaptasi novel yang bakal ditayangkan tahun ini, sudah sampai masanya pula untuk kamu mengetahui perihal filem Malaysia 2018. Filem-filem terbitan tempatan ini (juga yang punya kolaborasi bersama negara jiran) saya pecahkan mengikut genre-genre yang menarik untuk tontonan kamu kelak.

Dari genre remaja kepada cinta, sampailah seram dan aksi, berikut 5 filem Malaysia 2018 pilihan STAIL.MY:

1 – BUSKER

Pengarah: Syed Khairul Fariz  Pelakon: Hafeez Mikail, Daiyan Trisha, Mas Khan  Penerbit: AstroShaw  Genre: Remaja  Tayangan: 11 Januari 2018

‘BUSKER’ membuka tirai filem tempatan untuk 2018. Menampilkan wajah-wajah baru sebagai peneraju, ia turut menampilkan 15 buah lagu yang boleh dilayari di Spotify, Joox, Yonder dan iTunes. Lagu tema utama filem berjudul “Atma Jiwa” nyanyian Simfoni Dalam Poket dan lirik dan muzik pula dihasilkan oleh Loque. ‘BUSKER’ mengisahkan perjalanan sekumpulan remaja yang sangat meminati muzik. Berdepan dengan konflik persahabatan, cinta dan impian.

 

Filem Malaysia 2018 by STAIL.MY 1

2 – Bukan Cinta Malaikat

Pengarah: Aziz M. Osman  Pelakon: Fachri Albar, Donita, Nora Danish, Ashraf Muslim  Penerbit: Ganesa Perkasa Films & Ace Motion Pictures  Genre: Cinta  Tayangan: 25 Januari 2018

Filem kolaborasi antara Malaysia dan Indonesia. ‘Bukan Cinta Malaikat’ berkisahkan tentang Reyhan (Fachri Albar) sebagai sukarelawan yang bertugas di wilayah konflik Timur Tengah. Suatu hari saat dia bertugas di Madinah, Reyhan menolong seorang gadis Malaysia yang sedang dalam kesusahan bernama Dewi (Nora Danish). Pertemuan ini mengubah takdir cinta antara mereka berdua. Lokasi penggambaran dilakukan di Arab Saudi, Malaysia dan India.

 

Filem Malaysia 2018 by STAIL.MY 2

3 – KL Special Force

Pengarah: Syafiq Yusof  Pelakon: Datuk Rosyam Nor, Syamsul Yusof, Fattah Amin  Penerbit: SKOP Production  Genre: Aksi  Tayangan: Mac 2018

Tarikh rasmi bagi filem ini masih lagi belum diputuskan, tetapi khabarnya ‘KL Special Force’ akan ditayangkan pada Mac. Menelan belanja sebanyak RM2.5 juta, nampaknya Polis Evo 2 bakal mendapat saingan yang hebat.

‘KL Special Force’ seperti gabungan dua filem, antara “Gerak Khas” dan “KL Gangster”. Syamsul Yusof kembali sebagai penjahat, sementara Fattah Amin sebagai Zul dan Datuk Rosyam Nor sebagai Roslan. Kedua-duanya memegang peranan sebagai pegawai polis.

 

Filem Malaysia 2018 by STAIL.MY 3

4 – Lee Chong Wei: Rise of Legend

Pengarah: Teng Bee  Pelakon: Tosh Chan, Jake Eng, Datuk Rosyam Nor  Penerbit: Mahu Pictures  Genre: Autobiografi  Tayangan: TBA

Kisah perjalanan hidup jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei. Bermula sepenuhnya mengenai penglibatan awal dia dalam arena badminton sehingga menjadi jaguh terkemuka dunia. Datuk Rosyam Nor memegang watak sebagai jurulatih badminton kebangsaan, Datuk (Dr) Misbun Sidek. Filem biografi ini turut memaparkan hubungan erat antara Chong Wei dan Misbun yang diibaratkan seperti anak dan bapa daripada dua bangsa yang berbeza.

 

Filem Malaysia 2018 by STAIL.MY 4 Abuja Munafik 2

5 – Munafik 2

Pengarah: Syamsul Yusof  Pelakon: Syamsul Yusof, Maya Karin, Mawi, Nasir Bilal Khan  Penerbit: SKOP Production  Genre: Seram . Tayangan: TBA

Menampilkan Maya Karin sebagai Sakinah. Seperti Maria (Nabila Huda), Sakinah adalah gadis desa yang sering diganggu makhluk halus. Sebelum kamu keliru, Sakinah ialah watak baru dan tiada kena mengena dengan watak Maria.

Kalau kamu sudah biasa melihat watak Tok Adi, seorang alim dan beriman yang dibawakan Nasir Bilal Khan dalam “Tanah Kubur”, ‘Munafik 2’ pula menampilkan sisi yang berbeza. Kali ini, Nasir Bilal Khan akan memegang watak antagonis sebagai Abuja.

Buat masa ini, jalan cerita dan sinopsis ‘Munafik 2’ belum lagi dikeluarkan. Cuma yang ada hanyalah Syamsul Yusof mendedahkan secara berkias di dalam kapsyen Instagramnya yang berbunyi,

Di dalam Al-Quran, antara golongan yang paling teruk dikeji Allah ialah ulama yang tidak amanah & mengharapkan habuan dunia. Golongan inilah yang bakal ditentang Ustaz Adam di dalam filem “Munafik 2”. Bismillah…” – Syamsul Yusof.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE