SEARCH

5 Kisah Benar Yang Mempersona Dalam ‘Victoria and Abdul’

5 Kisah Benar Yang Mempersona Dalam ‘Victoria and Abdul’
Victoria and Abdul STAIL.MY INTRO
Judi dan Ali sebagai ‘Victoria and Abdul’

Judi Dench menyarung sepatu Ratu Victoria dalam Victoria and Abdul. Sedang tidak banyak yang diketahui tentang Abdul Karim (dimainkan oleh Ali Fazal), filem biografi ini memberi pencerahan kepada hubungan rapat antara pembantu peribadi berbangsa India dengan ratu empayar terbesar dunia itu.

Hubungan rapat ini boleh dibilang janggal dan aneh pada era tersebut. Siapa sangka seorang pelayan dari rakyat kelas bawahan boleh menjadi guru kepada Ratu Victoria? Ia kisah benar yang luar daripada kebiasaan. Pun begitu, persahabatan mereka tidak disukai segala isi Istana Buckingham malah dibantah keras oleh Mahkamah di-Raja British.

Victoria & Abdul STAIL.MY
KIRI : Gambar Sebenar Victoria & Abdul
Teruskan membaca 5 kisah benar dan fakta-fakta yang mempersona tentang ‘Victoria and Abdul’, seperti yang tertera:

 

1 – Pertemuan Yang Tak Terduga

Menurut Shrabani Basu, sejarawan yang menemui buku harian Abdul, kedua-dua figura ini bertemu buat pertama kali ketika Upacara Jubli Emas 1887. Semasa istiadat itu, Abdul dikehendaki sebagai pelayan untuk mempersembahkan ufti berupa syiling Moghul dari India kepada Ratu Victoria. Dalam jurnal Maharani India itu pula, baginda menyifatkan Abdul sebagai “Si tinggi dengan air muka tenang yang serius” pada pertemuan pertama mereka.

 

2 – Awal Persahabatan

Setelah istiadat selesai, Abdul dan seorang lagi pelayan berbangsa India, Mohamed Buxshe berangkat bersama rombangan di-Raja ke kubu mahligai musim panas Victoria di Isle of Wight. Di sanalah Abdul memukau ratu dengan kemahiran memasak kari ayam dan dal.

Menurut penulis Victoria Wilson, baginda sangat menyukai makanan India tersebut sehingga menambahnya ke dalam menu santapan di-Raja. Ternyata, makanan benar-benar jalan menuju ke hati.

Baginda juga amat tertarik dengan budaya India. Ratu Victoria berkenan melantik Abdul sebagai mushi atau guru bagi mengajarnya tulisan dan bahasa Urdu. Pelajaran mereka segera berkembang menjadi sesi balas-membalas surat peribadi antara satu sama lain.

 

3 – Semakin Akrab

Semakin banyak bantahan yang datang dari Mahkamah di-Raja, semakin kuat persahabatan mereka. Ratu Victoria nekad menganugerahi Abdul dengan darjah terhormat “Munshi dan Panitera di-Raja British”.

Ini bukan kali pertama hubungan akrab antara Ratu Victoria dengan pembantu peribadi. Selepas kemangkatan suami pada 1861, baginda rapat dengan pelayan berbangsa Scottish bernama John Brown.

Perhubungan ini mencetuskan khabar angin yang kurang enak dalam kalangan istana. Sehingga mereka menggelar baginda sebagai “Mrs Brown” secara rahsia. Tegar memperolok Ratu Victoria sebagai “isteri tidak rasmi” kepada John Brown.

Sementara perhubungan Victoria dan Abdul lebih bersifat platonik, baginda sering kali menurunkan tandatangan dengan nota ringkas berbunyi “your loving mother” atau “your closest friend”. Yang kemudiannya sahih menjadi bukti perhubungan akrab antara mereka.

Baginda bukan sahaja mengizinkan Abdul membawa isteri dan keluarga untuk tinggal di Windsor Castle, malah sering melawat mereka. Sesuatu yang luar biasa bagi ratu menziarahi kamu. Baginda juga memberi Abdul beberapa bidang tanah di Agra, India.

 

4 – Penyudah Yang Tragis

Lembaga Mahkamah di-Raja, terutama waris tahta, Putera Edward VII menentang dengan sesungguhnya persahabatan antara dua darjat itu sehingga kemangkatan baginda pada tanggal 22 Januari 1901.

Walaupun baginda putera mematuhi permintaan terakhir baginda ratu untuk bersua buat kali terakhir, Putera Edward VII tetap merampas semua gambar, dokumen, buku-buku, surat menyurat dan segala hal yang kena mengena dengan Ratu Victoria milik Abdul untuk dibakar. Abdul dan keluarga turut diusir sebelum meninggal dunia lapan tahun kemudian pada 1909 di Agra, India.

 

5 – Membawa ke persoalan, bagaimana Kisah ‘Victoria and Abdul’ ini akhirnya dijumpai?

Semasa bersiar-siar di dalam kubu mahligai musim panas Ratu Victoria di Isle of Wight, Shrabani Basu terlihat sebingkai lukisan yang memaparkan seorang lelaki berbangsa India tergantung kemas di satu sudut.

“Dia tidak kelihatan seperti pelayan,” ujar Basu kepada The Telegraph. “Dia dilukis seperti sarjana. Memegang buku, sambil memandang ke sisi. Sesuatu tentang gaya dia membuat saya terpaku. Saya terus berjalan dan terjumpa sebuah lagi potret dia dalam sudut yang lebih santai. Ia luar daripada kebiasaan”.

Tertarik, Basu menghabiskan lima tahun mengkaji dan menyambungkan cebisan-cebisan sejarah yang terlupakan ini. Dia berulang alik ke Windsor Castle dan mentelaah jurnal tulisan Urdu milik Ratu Victoria dan buku harian Abdul Karim secara lebih mendalam.

“Tiada siapa yang perasan,” jelas Basu. “Rahsia hubungan antara ratu dan pembantu yang tersimpan selama lebih 100 tahun dalam jurnal ini tidak dapat dirungkai oleh cendekiawan British dan penulis novel biografi kerana mereka semua adalah orang Barat dan tidak mampu mentafsirkan Urdu,” bingkas Basu menutup bicara.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE