SEARCH

5 Lagu Baru Dari 5 Penyanyi Lelaki Buat Mulakan Julai Kamu

5 Lagu Baru Dari 5 Penyanyi Lelaki Buat Mulakan Julai Kamu

TGIF! Salam Jumaat kepada pembaca setia STAIL.MY! Sedar tidak sedar, sudah masuk bulan ketujuh untuk tahun ini. Lupakan sudah lagu-lagu raya, sekarang masanya untuk kamu bersantai pula mendengar lagu-lagu Melayu (lagu baru) yang baru sahaja dikeluarkan di bulan Julai 2019 ini.

Tukar mood, bagi memulakan hujung minggu pertama Julai ini, saya senaraikan 5 lagu baru dari 5 penyanyi lelaki untuk menambah meriah #WeekendPlaylist kamu. Seat back, relax and enjoy!

 

1) RATU – FAIZAL TAHIR

Sejak seminggu lalu, Faizal Tahir sudah mula mengacah peminat dengan lagu terbarunya menerusi laman sosial. Bulan ini, Faizal melancarkan lagu terbaru berjudul ‘Ratu’.

Faizal dan pasukan produksi muziknya sememangnya sinonim dengan keberanian bereksperimentasi dalam menghasilkan sajian muzik yang unik.

Kali ini ‘Ratu’ menampilkan gubahan muzik yang  bertunjangkan irama balada piano yang diberi sentuhan elemen kontemporari. Lirik pula berkisar tentang luahan rasa sang lelaki untuk figura wanita yang selayaknya dicintai, dihargai dan diberi penghormatan tertinggi sebagai ratu hidupnya.

‘Ratu’ adalah hasil ciptaan Faizal bersama Mike Chan dan Mage. Dia mengambil masa lima tahun untuk menyiapkan lagu ini dan mengaku pernah menukar gubahan muzik sebanyak enam kali. ‘Ratu’ adalah lagu balada Faizal setelah dua tahun dia tidak pernah menghasilkan lagu seumpamanya.

 

2) DIAM SAJA – FORTEEN

Sebenarnya lagu ini tidaklah terlalu baru, cuma baru-baru ini ‘Diam Saja’ sudah berkumandang di stesen-stesen radio tempatan dan mula mendapat perhatian pendengar muzik tempatan.

Forteen yang kini hanya tinggal tiga ahli iaitu Ariz, One dan Ameer menolak dakwaan yang kononnya ‘Diam Saja’ mempunyai kaitan dengan Izzue Islam yang secara rasmi sudah keluar dari kumpulan ini.

‘Diam Saja’ adalah ciptaan Adam Armin dan Yusuf Khan, manakala liriknya pula ditulis bersama mereka dan ahli kumpulan Forteen. ‘Diam Saja’ dipersembahkan buat pertama kali oleh Forteen ketika majlis resepsi perkahwinan Ameer dan pasangannya Naja.

 

3) YANG MANO – AJAK

Baru sahaja menamatkan tugas sebagai penyampai radio awal tahun lalu, pelawak dan pengacara, Ajak Shiro terus mengatur langkah untuk terjun ke bidang muzik dengan pelancaran lagu kedua berjudul ‘Yang Mano’.

‘Yang Mano’ dicipta oleh komposer dan penyayi rap yang sudah bersara, Altimet bersama rakan baik Hael Husaini, Ezra Kong.

Lagu ini mengisahkan tentang pesanan seorang bapa kepada anak lelakinya dalam memilih pasangan hidup di mana dia berpesan supaya memilih calon yang memiliki sifat penyayang seperti ibu mereka sendiri.

Menariknya, Ajak turut menampilkan kedua-dua anak lelaki di dalam muzik video rasmi ‘Yang Mano’. Saya kira lagu ini senang diterima pendengar muzik arus perdana yang dekat dengan mesej lagu ini. ‘Yang Mano’ menyelitkan unsur komedia selari dengan perwatakan Ajak sebagai pelawak.

 

4) SELAMANYA – USOP

Mula dikenali lewat sebuah rancangan realiti, Usop kembali dengan sebuah lagi persembahan buat peminatnya dalam bentuk lagu terbaru yang berjudul ‘Selamanya’.

‘Selamanya’ adalah kesinambungan dari lagu ‘Aku Yang Bersalah’. Lagu hasil ciptaan dan tulisan Ziin dan Bulan Penuh ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang masih setia dalam percintaan walaupun harapan tidak kesampaian.

Muzik video ‘Selamanya’ diarahkan oleh Elfie Nazarie dan diterbitkan oleh Voxscape Studio. Ia menampilkan Usop sebagai watak utama bersama Shaa Zulaika dan Iman Zulkarnain.

‘Selamanya’ menyambung kisah ‘Aku yang Bersalah’, di mana Shaa Zulaika sudah berkahwin tetapi masih tidak mengecapi bahagia kerana cintanya terhadap Usop. Usop pula tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu melihat dari jauh kesengsaraan emosi kekasih hati yang sudah disunting orang.

5) BUKAN LAGI – AMAN AZIZ

Mohammad Razman Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Aman Aziz hadir pula dengan lagu terbaru berjudul ‘Bukan Lagi’.

‘Bukan Lagi’ memberi nafas baru bagi Aman kerana kali ini dia menyanyikan lagu yang berkonsepkan kekuatan cinta.

Sebelumnya, Naib Juara Akademi Fantasia 2014 ini pernah terkenal dengan lagu yang bertajuk ‘Sulit’ yang bermain dengan tema harapan.

Muzik dan lirik dihasilkan oleh komposer Ikhwan Fatanna dari Nova Music bersama Omar K dari Replay Music, ‘Bukan Lagi’ diterbitkan oleh Warner Music Malaysia sebagai pengedar rasmi.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE