SEARCH

#WeekendPlaylist 5 Lagu Melayu Untuk Ogos Yang Mendayu

#WeekendPlaylist 5 Lagu Melayu Untuk Ogos Yang Mendayu

Ogos pun datang menjelma lagi. Dengarkan 5 lagu Melayu baru berserta muzik video dari industri muzik tempatan untuk hari minggu yang sempurna.

Dari lunak suara suara Misha Omar mendendangkan “Sampai Bila” untuk lagu tema “Jangan Benci Cintaku” lakonan Saharul Ridzwan dan Zahirah MacWilson hinggalah lagu hip hop berentak halus oleh Altimet dan Kidd Santhe dalam “Muda”.

Ogos juga menyaksikan 2 lagu baru dari penyanyi balada seperti Datin Aliyah untuk lagu signature dia yang mendayu bertajuk “Jutaan Purnama” dan “Ini Semua Dunia” nyanyian Awie Rafael.

Akhir sekali, pelawak dan pelakon terkenal Zizan Razak juga pantas mengeluarkan lagu baru bergenre hip-hop sempena bulan Ogos ini seperti yang tertera:

1)  “Sampai Bila” – Misha Omar

Penyanyi wanita bersuara gemersik ini kembali membuat penampilan setelah lama berehat. Senang mendengar vokal Misha Omar yang menyanyikan ‘Sampai Bila’ ini dengan begitu bersahaja. Lirik lagu yang ringkas namun membekas, cocok buat mereka yang sedang lagi putus cinta melayan perasaan yang hiba.

 

2) “Muda” – Altimet & Kidd Santhe

Selepas “Amboi” memenangi Persembahan Terbaik di #AJL32 dan kejayaan “Bunga” menjana lebih 5 juta tontonan di Youtube dalam tempoh hanya tiga bulan, Altimet meneruskan lagi momentumnya dengan single terbaru bertajuk ‘Muda’. Turut menampilkan elemen kontemporari pop dari penyanyi hip hop generasi baru, Kidd Santhe. ‘Muda’ menampilkan melodi yang catchy diiringi rentak lagu yang ceria.

 

3) “Jutaan Purnama” – Datin Aliyah

Hasil ciptaan bersama Hael Husaini, Omar K dan Ezra Kong, ia menceritakan tentang dugaan, ketabahan dan harapan seorang wanita. Itulah tema yang terkandung dalam single terbaru yang berjudul ‘Jutaan Purnama’ oleh penyanyi balada terkenal, Datin Aliyah.

‘Jutaan Purnama’ sarat dengan emosi, antara rasa cinta, rasa rindu dan rasa takut akan kehilangan orang yang tersayang. Lagu ini mula mendapat perhatian apabila ia diangkat sebagai runut bunyi bagi drama bersiri “Red Velvet” lakonan Neelofa dan Alif Satar.

 

4) “Ini Semua Dunia” – Awie Rafael

Dunia hanya bersifat sementara dan segala nikmat di dunia itu tidak bersifat kekal. Ini adalah tema yang cuba diangkat oleh penyanyi dan komposer asal Singapura, Awi Rafael untuk lagu terbarunya yang berjudul ‘Ini Semua Dunia’.

Lagu ketuhanan ini mengajak pendengar untuk memahami hakikat kehidupan manusia di dunia sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Ankabut ayat 64:

“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)”

Lagu ini ciptaan Awi sendiri selaku komposer dan penulis lirik. Awi cuba menyelitkan unsur dakwah menerusi lagu yang disampaikan dalam irama pop yang mesra telinga ini.

 

5) “Kau Takkan Tahu” – Zizan Razak

Masih mengekalkan genre hip hop, ‘Kau Takkan Tahu’ adalah hasil ciptaan sepenuhnya Alif by Magic Potions. Ia kisah sedih menceritakan tentang perihal seorang teman wanita yang bekerja di tempat sama dengan teman lelakinya, tetapi sentiasa mengesyaki yang teman lelakinya itu mempunyai hubungan dengan wanita lain sehingga akhirnya mereka putus.

“Walaupun lagu ini rekaan semata-mata dan tiada kena mengena dengan kehidupan saya (ketawa), namun saya pasti ramai lelaki di luar sana yang pernah mengalami nasib yang sama di mana teman wanita mereka sering mencari kesalahan dan dijadikan alasan untuk meninggalkan kita,” akhiri Zizan Razak bercanda.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE