SEARCH

7 Iklan Raya 2018 Yang Terbaik & Menarik Pilihan STAIL.MY

7 Iklan Raya 2018 Yang Terbaik & Menarik Pilihan STAIL.MY

Seperti menjadi tradisi, acap tahun senang saya senaraikan iklan raya yang terbaik dan paling menangkap perhatian seperti iklan raya 2017 yang lalu untuk tontonan kamu semula secara mudah di atas satu lembaran. Sama halnya juga untuk iklan raya 2018.

Saya melihat banyak iklan raya yang telah pun berevolusi dan lebih panjang durasi. Seperti menonton filem pendek, kebanyakan iklan-iklan raya ini berdurasi hampir lima minit.

Bayangkan usaha dan kesanggupan yang diletakkan jenama-jenama ini bagi menghasilkan iklan raya yang sarat makna dan paling stail-lish, seperti 7 iklan raya 2018 yang terbaik dan menarik pilihan STAIL.MY berikut:

 

iklan raya 2018 by STAIL.MY TNB

1 – Tenaga Nasional Berhad (TNB)

Tajuk: Rumah Epik Fantastik
Produksi: Reservoir Production
Durasi: 4 minit 07 saat
Tema: Cerita Pendek

Tenaga Nasional Berhad sekali lagi membuktikan tempat teratas dalam penghasilan iklan raya di Malaysia. Mungkin sahaja mengambil alih tempat Petronas yang seakan ketandusan idea untuk iklan-iklan raya. Ceritanya ringkas. Tentang perkara-perkara yang sering berlaku saat Hari Raya menjelma. Namun diolah dengan begitu baik, segar dan kreatif sekali. Suka saya melihat penataan warna seperti filem-filem arahan Wes Anderson.

 

2 – Telekom Malaysia (TM)

Tajuk: Mak Long Bawang
Produksi: MFS Production Studio
Durasi: 6 minit 01 saat
Tema: Drama

Membawa tema yang cukup sohor kini yakni fenomena ‘mak cik bawang’. Mulanya seperti biasa drama-drama makcik bawang yang bertanyakan soalan-soalan maut seperti, “Bila Mahu Kahwin?”, “Sudah berapa orang anak?” dan lain-lain soalan yang mencengkam. Akhirnya, TM berjaya memintal pengakhiran iklan dengan satu mesej yang sangat bernas.

 

3 – Touch n Go

Tajuk: #RayaPalingTouching
Produksi: MatLuthfi90
Durasi: 5 minit 66 saat
Tema: Komedi

Jika iklan sebelum ini bertemakan drama, iklan Touch n Go ini pula sedia membuat kamu bergelak ketawa. Siapa tidak kenal dengan sosok yang bernama Mat Luthfi ini? Youtubestar yang kini aktif sebagai pengarah ini mengarah iklan raya ini mengikut acuan komedi yang berbeza dengan skrip yang santai dan bersahaja.

 

4 – Hong Leong Bank

Tajuk: Abah Tak Bagi
Produksi: Fastman Studio Production
Durasi: 3 minit 13 saat
Tema: Keluarga

Comel dan sarat mesej positif. Ia mengisahkan tentang Tina yang tidak berpuas hati dengan sifat bapanya yang kedekut dan sukar berbelanja untuknya. Pada akhirnya, Tina mengerti mengapa bapanya bersifat demikian.

 

5 – Graph Studio

Tajuk: Biru
Produksi: Graph Studio
Durasi: 3 minit 56 saat
Tema: PSA

Bertindak sebagai sebahagian iklan layanan masyarakat yang menyajikan pesan-pesan sosial, yang bertujuan untuk membangkitkan kepedulian masyarakat terhadap isu-isu semasa yang sedang dihadapi rakyat Malaysia. Iklan raya yang satu ini unik dan lain daripada yang lain. Tidak seperti iklan konvensional yang terdapat di dalam senarai ini.

 

6 – ASTRO

Tajuk: Gaya Paling Ori
Produksi: Astro Gempak
Durasi: 5 minit
Tema: Filem Pendek

Wak Nik sentiasa mementingkan imej dan penampilan yang unik atau ‘ori’. Selama ini, Wak Nik sering merasakan yang gaya unik dia mampu membuatkan dirinya gembira, tetapi kegembiraan yang sebenar itu hanya boleh dirasai apabila dia mula berkongsi apa yang dimiliki dengan orang lain.

Juga mengangkat seni Dikir Barat sebagai muzik iringan utama yang dimodenkan untuk menghidupkan jalan cerita secara keseluruhan. Menarik lagi, Sabri Yunus bersama Kumpulan Dikir Barat Arjuna Sukma dijemput khas untuk menjayakan iklan ini. ’Raya Paling Ori’ sesuai dengan tema raya tahun ini yang disambut bersama Piala Dunia 2018.

 

7 – Petrolium Nasional Berhad (Petronas)

Tajuk: Misi Riuh Raya
Produksi: MFS Production Studio
Durasi: 3 minit 42 saat
Tema: Drama

Pastinya saban tahun, Petronas antara syarikat gergasi yang berbelanja besar untuk kempen iklan raya. Tahun ini tidak terkecuali. Cuma saya rasakan iklan raya Petronas tahun ini tidak menarik. Jalan cerita yang biasa sahaja, seperti dalam drama-drama Melayu yang ada. Mujur pengakhirannya yang lucu menyelamatkan suasana.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE