SEARCH

Dari ‘Budak Flat’, Aman RA ‘Bangun’ Menggapai Bintang

Dari ‘Budak Flat’, Aman RA ‘Bangun’ Menggapai Bintang

Dilahirkan dengan nama Aman Bin Jamaluddin, Aman RA bukanlah satu nama asing di dalam dunia hip-hop tempatan. Mula mendalami dunia rap sejak zaman sekolah menengah, bintang berusia 31 tahun ini banyak menimba pengalaman dengan menyertai pelbagai pertandingan rap dan membuat persembahan di pelbagai acara tertutup.

Fasih dalam kedua-dua Bahasa Melayu dan Inggeris, Aman RA selalu bekerjasama dengan beberapa nama besar muzik tempatan seperti Altimet, Dayang Nurfaizah dan Haqiem Rusli. Malah dia terus mengukuhkan kedudukannya dalam arena muzik Malaysia dengan mencipta lagu-lagu hit dan berkualiti setiap kali peluang itu muncul.

Aman RA juga terpilih sebagai penulis lirik dan diberi peluang untuk menyampaikan lagu tema Sukan Paralimpik ASEAN ke-9 berjudul “I Am Here” di Kuala Lumpur. Dia turut muncul dalam klip video lagu tersebut yang penuh dengan semangat untuk mengatasi kekangan dan menekankan kejayaan, selain tampil di acara pembukaan rasmi majlis sukan berprestij ASEAN tersebut di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 September 2017 yang lalu.

Selain beraksi di pentas, penyanyi rap ini juga seorang usahawan dan mempunyai jenama barangannya sendiri iaitu BudakFlat Co dan Boleh Pergi Mampus. Dan setelah agak lama menyepikan diri, Aman RA muncul dengan lagu terbaru berjudul “Bangun” yang diambil daripada album pengenalannya “REBEL”.

‘Bangun’ adalah sambungan lagunya yang terdahulu berjudul “Budak Flat” yang dilancarkan pada 2016. Sungguhpun ‘Budak Flat’ menceritakan tentang kisah yang lebih gelap (pengalaman kehidupan sebenar seorang pemuda yang membesar di hutan konkrit), ‘Bangun’ memberi pandangan yang lebih positif kepada pendengar dalam menyampaikan pesanan motivasi untuk mereka berjuang demi memperbaiki kehidupan.

Aman Ra Budak Flat Bangun by STAIL.MY 1

Aman RA menyeru semua untuk ‘Bangun’ mengejar impian dan tiada apa yang mustahil jika kamu bekerja keras.

Aman RA sendiri mengaku yang dia lah ‘Budak Flat’ yang dimaksudkan di dalam lagu tersebut dan sentiasa mengejar impian untuk berjaya tanpa memikirkan kesusahan yang ada. Buktinya, sekarang dia adalah antara penyanyi rap yang dikenali di negara ini.

Dari hanya ‘Budak Flat’, Aman RA pantas ‘Bangun’ mengejar impian.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE