SEARCH

6 MUZIK VIDEO MODEN YANG BERSIFAT ARTISTIK PILIHAN STAIL.MY

6 MUZIK VIDEO MODEN YANG BERSIFAT ARTISTIK PILIHAN STAIL.MY

MuzikVideoModern2_stailMY

Pembikinan sesebuah lagu tak lengkap tanpa kehadiran muzik video yang kuat. Lagu menjadi lebih bermakna jika video muziknya berjaya mengolah intisari dan maksud sebenar di sebalik bait-bait lirik yang didendangkan. Seraya itu, kami senaraikan enam muzik video moden yang diolah dengan indah lakon layarnya, punya nilai seni dan estika yang tinggi serta yang paling memberi makna.

Blue Jeans – Lana Del Ray (2012)
Antara muzik video ratu muzik Baroque Pop ini yang paling ikonik dan membekas dalam ingatan peminat seluruh dunia. Blue Jeans benar-benar menafsir sebuah muzik video yang berkonsep gelap namun indah. Sepasang kekasih yang sedang hangat berasmara berenang bersama buaya. Babak ini sebenarnya bermaksud Lana sebelum ini yang sanggup jatuh cinta pada teman lelaki yang sama bahaya dengan buaya. Akhirnya Lana lemas tenggelam bersama cinta si buaya darat, simbolis yang kuat antara cinta, kematian dan kehidupan semula.

LOVE – Kazaky (2012)
Kumpulan yang terdiri dari empat lelaki Ukraine bertubuh sasa dan bertumit tinggi ini pasti tidak akan sesekali muncul di kaca televisyen Malaysia. Terima kasih pada internet, kita boleh menikmati seni dan kritikan sosial yang dibawa kumpulan ini. Bukan senang menari, lagi-lagi dengan kasut tumit tinggi bukan? Mereka menari dengan penuh karisma, berlari tanpa arah tujuan dalam mengejar antara seks, fesyen, kemasyhuran dan cinta. Muzik video ini bertemakan persoalan cinta dan sengaja menekankan budaya hedonisme yang membelenggu rata-rata golongan LGBTQ.

Mine – Beyonce Knowles feat Drake (2013)
Video muzik ratu lebah Hollywood ini diarahkan oleh pengarah muda Belgium, Pierre Debusschere. Dengan tema lirik yang bermaksud ‘Cinta & Pengasingan’, Pierre mengangkat karya agung Michelangelo, ‘Pietà’ (1499) dan lukisan René Magritte, ‘The Lovers’  (1928) bagi menggambarkan Beyonce sebagai seorang biarawati yang penyayang. ‘The Lovers’ pula diolah sama seperti lukisan, sepasang kekasih bercumbuan dengan kepala masing-masing dibaluti fabrik putih yang membawa maksud cinta yang tak mengenal rupa, cukup dengan kasih dan sayang.

Falling – Yuna (2013)
Video muzik Malaysian Sweetheart yang berkelana di Hollywood ini juga tidak kurang nilai artistiknya. Menampilkan dua penari, tradisional dan kontemporari, yang asyik menari dalam alunan runut bunyi gamelan yang halus dimadukan bersama muzik orkestra. Ia seolah-olah menggambarkan jiwa Yuna yang moden namun masih berpegang teguh pada nilai-nilai tradisi ketimuran. Sopan dan gemalai seperti penari balet, kuat dan teguh seperti penari silat untuk Yuna tidak jatuh cinta lagi.

Ugly Boys – Die Antwoord (2014)
Kumpulan duo yang berasal dari Afrika Selatan ini memang terkenal dengan lagu-lagu yang berat dan aneh. Dianggotai oleh Yolandia dan Ninja, yang juga sepasang kekasih, mereka mula dikenali di media arus perdana menerusi lakonan dan lagu mereka di dalam filem Amir Khan, Chappie. Lirik dan muzik video ini dikarang sendiri oleh Ninja, bagi melahirkan rasa cintanya pada Yolandia si kekasih hati. Dengan tema Victorian Gothic, muzik video ini juga turut menampilkan bintang Hollywood seperti Cara Delevingne, Marilyn Manson, Dita Von Teese dan Aphex Twin.

Runnin’ – Naughty Boy feat Beyonce & Arrow Benjamin (2015)
Single terbaru Naughty Boy bersama Beyonce dan Arrow Benjamin ini hadir dengan konsep yang sangat indah dan kompleks. Sesuai lirik yang dinyanyikan, ia mengisahkan sepasang kekasih yang berlari tanpa arah tujuan dalam sesak air laut. Akhirnya mereka bertemu kembali setelah masing-masing menerima kekurangan pada diri sendiri. Penggambaran klip dilakukan di bawah aras laut bagi merakam imej bawah laut yang luar biasa dan melahirkan sebuah muzik video kreatif yang lari dari kebiasaan. Runnin’ juga mendapat pengiktiran di majlis seni, foto dan muzik dengan berjaya memenangi tiga anugerah emas di England, New Zealand dan Itali.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE