SEARCH

Belangsukawa: Perginya Pahlawan Muzik Asli & Tradisional Melayu, Allahyarham Tan Sri SM Salim Dalam Kenangan

Belangsukawa: Perginya Pahlawan Muzik Asli & Tradisional Melayu, Allahyarham Tan Sri SM Salim Dalam Kenangan

Biduan Negara, Tan Sri SM Salim menghembuskan nafas terakhir tanggal 27 Disember, jam 5.44 petang (Khamis) di kediamannya di Ukay Perdana dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur selepas solat Jumaat.

Semasa hayatnya, tokoh seni dengan nama penuh Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Marhos ini mula menceburkan diri dalam bidang muzik dan suara, seawal sebelum negara kita mencapai kemerdekaan lagi, tepatnya pada 1949.

Pada tahun 50-an, Allahyarham menyertai Kugiran Irama Melayu Tradisional pimpinan Awalaudin, sebelum menyertai Orkestra Puspati yang dikepalai mediang Alfonso Soliano. Tahun 1957 pula, bermulanya karier Allahyarham bersama Radio Malaya (kini Radio Televisyen Malaysia – RTM).

Membawa muzik tradisional Melayu sebagai paksi perjuangan, Allahyarham sangat banyak berjasa pada negara. Dia pernah bertugas untuk membuat persembahan di pentas rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kongo, Afrika pada 1960.

Semasa Konfrontasi bersama Indonesia ketika era 1960-an, Allahyarham juga berperanan besar dalam memperbaiki hubungan dua negara serumpun yang bersengketa ini melalui lunak suara dan gemersik alunan muzik tradisionalnya. Benarlah kata orang, muzik menyatukan dunia.

Paling istimewa, Allahyarham Tan Sri SM Salim adalah seniman kedua yang bergelar ‘Tan Sri’ selepas Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Dia juga menerima pelbagai anugerah kerana jasa dan baktinya pada negara serta sumbangan besar Allahyarham dalam memperjuangkan lagu-lagu asli dan tradisional Melayu.

Antaranya – ‘Anugerah Biduan Negara’, ‘Ahli Mangku Negara’ (AMN), ‘Darjah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah’ (DSSA), ‘Datuk Paduka Mahkota Terengganu Yang Kehormat’ (DPMT) dan ‘Pingat Darjah Setia Mahkota’ oleh Yang di-Pertuan Agong ke-11, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 2 Jun 2001 yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Aishah Abdul Ghani bersama tujuh anak iaitu Siti Nuraishah (60), Sheikh Samsuddin (68), Siti Nur Huda (56), Siti Maheran (54), Siti Huzayah (53), Sheikh Shamsul (51) dan Siti Zubaidah (35).

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE