SEARCH

10 Soalan Bersama Bil Musa Membawa Muzik Santai & Segar

10 Soalan Bersama Bil Musa Membawa Muzik Santai & Segar

Pertama kali mendengar lagu Bil Musa yang bertajuk ‘Adakah Ini’, saya sudah menebak yang dia bakal dikenali tak lama lagi. Muziknya berunsur segar dan bernafas baru. Tidak hairan dan tidak keterlaluan jika saya bilang dia berpotensi untuk terbang melebarkan sayap ke persada muzik antarabangsa dengan kualiti muzik yang dibawanya.

Senang saya melihat kehadiran artis-artis baru yang berbakat seperti Bil Musa. Alang-alang menghadiri Good Vibes Festival 2018 yang lalu, saya mengambil kesempatan menemuramah gadis berusia 25 tahun dengan nama sebenar Nabila Musa ini, berbicara tentang muzik segar dan santai serta halatuju muziknya, seperti dibawah:

Bil Musa di Good Vibes Festival 2018 oleh STAIL.MY 1

1 – Pertama, bagaimana kamu mengetahui kamu meminati muzik? Pernah terlintas di fikiran akan bergelar seorang artis?

Sejujurnya tidak pernah. Sedari kecil, Bil bermain piano, bermain muzik tetapi tidak pernah terfikir untuk menjadikannya karier pabila dewasa kelak. Bil lahir dalam keluarga yang mementingkan akademik dan kurang mendapat pendedahan dalam bidang seni. Tambah pula, saya seorang yang sangat pemalu, tidak pernah terfikir langsung untuk bergelar artis seperti sekarang. Bil masih Bil Musa yang dahulu (ketawa).

2 – Lalu, bagaimana kamu mula menyanyi?

Dari umur 6 tahun Bil sudah mula bermain muzik. Bil suka menulis. Bil luahkan isi hati dalam penulisan. Misalnya, jika ada ahli keluarga atau orang yang tersayang jatuh sakit, Bil akan menulis lagu untuk mereka. Namun, tidak pernah memperlihatkannya.

Semasa berusia 17 tahun, kawan-kawan menghadiahi saya ukulele. Jadi, Bil mula bermain alat muzik tersebut sambil menyanyikan tulisan-tulisan itu tadi. Kawan-kawan jadi kagum dan memberi saranan agar Bil memuat-naik lagu-lagu ciptaan tersebut ke atas talian.

3 – Insiden yang tidak dapat dilupakan semenjak bergelar artis?

Masih ingat sejurus Bil habis menyanyi di sebuah majlis perkahwinan sahabat baik, seorang pengurus muzik dari @yunaroomrecords mendekati Bil dan menawarkan kontrak sebagai artis di bawah naungan mereka. Selepas dua minggu, setelah berfikir masak-masak, barulah Bil sedia menjadi seorang artis.

4 – Muzik kamu lebih berentak segar, terangkan sedikit sebanyak tentangnya.

Muzik yang sangat santai tetapi sangat bermakna. Bil menulis lagu yang punya kaitan dengan kehidupan orang. Pengalaman dan memori hidup yang ditempuhi setiap insan. Bil tidak membikin lagu untuk tujuan komersial. Bukan untuk popular. Bil akan tulis sahaja apa yang Bil rasa. My music is real for me.

5 – Penerimaan sebagai penyanyi berbahasa Inggeris di Malaysia. Adakah mendapat sambutan baik?

Sambutan baik tetapi masih di dalam skop yang kecil. Pendengar lagu bahasa Inggeris di Malaysia tidaklah sebesar mana. Melainkan untuk hip hop, penerimaan terhadap genre itu lebih mendapat perhatian. Maka sebagai artis harus menghasilkan lagu-lagu berbahasa Melayu sebagai sokongan. Album Bil juga menyelit beberapa lagu Melayu seperti “Adakah Ini” dan “Sejarah”.

6 – Jika kamu boleh berkolaborasi bersama artis lain (sama ada yang masih hidup atau pun sudah tiada), siapa? Dan kenapa?

Sebagai artis tempatan, sudah tentu Bil akan sokong industri muzik Malaysia. Untuk lagu berbahasa Inggeris, saya mahu berkolaborasi bersama Airliftz kerana muziknya bertaraf antarabangsa tetapi masih kedengaran Malaysian. Kalau lagu berbahasa Melayu pula, Noh Saleh kerana saya sangat menyukai hasil nukilan dia. Zaman remaja membesar dengan lagu-lagu Hujan.

7 – Jika kamu bukan artis, pekerjaan apa yang akan kamu lakukan sekarang?

Saya adalah lepasan jurusan kewartawanan penyiaran. Mungkin wartawan penyiaran. Pekerjaan yang melibatkan kamera dan belakang tabir. Bil sangat suka menulis. Saya mahu menulis fakta dan menyebarkan kebaikan dan kesedaran kepada umum.

Bil Musa di Good Vibes Festival 2018 oleh STAIL.MY 2
8 – Perancangan masa hadapan. 5 tahun mendatang?

Sejujurnya Bil sudah putus asa dengan muzik arus perdana. Bil mahu terus terbang ke peringkat antarabangsa seperti Yuna. Bil rasa ia lebih bagus kerana dapat mengekspresikan diri dengan bebas. It’s more real. Perancangan saya untuk lima tahun akan datang supaya Bil dapat bermain muzik di festival-festival muzik di serata dunia.

9 – Gembira bagi seorang Bil Musa.

Kegembiraan itu hadir ketika Bil menulis lagu. Lagi-lagi apabila lagu itu mendapat sambutan yang baik. Pendengar-pendengar akan berkata mereka merasa terbantu dengan lagu-lagu saya. Itu definisi gembira bagi Bil Musa.

10 – Bagaimana muzik membantu kamu untuk mencapai kehidupan indah yang bahagia dan sempurna?

Muzik adalah salah satu cara bagi saya mengekspresi diri. Selalunya bila marah atau sedih, perkara pertama yang Bil akan lakukan adalah menulis. Bagi Bil, pabila Bil dapat menukar sesuatu emosi itu kepada perkataan yang boleh pula dibaca orang, itu sudah memadai. Ia satu cara terbaik untuk Bil menyentuh sanubari dan memberi inspirasi kepada pendengar dengan hanya melalui penulisan.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE