SEARCH

#STAILMYEksklusif 15 Soalan Bersama Darius Shu – Anak Malaysia Yang Berjaya ke Tribeca & Harapan Filem LGBT di Malaysia

#STAILMYEksklusif 15 Soalan Bersama Darius Shu – Anak Malaysia Yang Berjaya ke Tribeca & Harapan Filem LGBT di Malaysia

Darius Shu – pengarah muda asal Kuala Lumpur ini baru sahaja berusia 24 tahun ketika dia mengarahkan filem senyap pertamanya yang berjudul HIS HANDS (2018).

‘HIS HANDS’ adalah arahan bersama rakan pengarah dan pelakon, Arron Blake. berkisarkan tentang kisah pertemuan aneh antara dua lelaki berbeza usia.

Dengan hanya bermodalkan RM2000, ‘HIS HANDS’ terpilih untuk ditayangkan di Tribeca Film Festival 2019 di New York, US. Filem ini adalah satu daripada 65 filem pendek yang terpilih (lebih 5000 penyertaan filem pendek yang lain) dan menerima kritikan positif daripada pengkritik-pengkritik filem di UK dan US. Tribeca Film Festival diasaskan oleh pelakon, penerbit dan pengarah Hollywood terkenal, Robert De Niro (The Godfather Part II).

Saya berkesempatan untuk menemuramah Darius Shu sendiri, bertanyakan dia tentang karyanya – ‘HIS HANDS’, Tribeca Filem Festival dan pandangannya tentang filem bertema LGBTQ di Malaysia, seperti yang tertera:

 

1 – Bagaimana kamu bermula dalam industri perfileman?

Saya meminati fotografi dan obsesi menangkapi potret seseorang. Saya masih lagi meminatinya sekarang. Kemudian saya menyedari sinematografi itu hanya lah seperti ‘lanjutan’ fotografi dan mula punyai perasaan ingin bercerita melalui imej yang bergerak yakni filem.

 

 

2 – Idea untuk sesebuah filem?

Banyak perkara yang memberi inspirasi. Dari segala macam yang berlegar di sekitar kita. Filem yang pernah kita tontoni, insan-insan yang pernah kita jumpai, itu semua mempengaruhi unsur-unsur kreativiti.

Semasa saya bertemu Arron Blake untuk membikin filem ini bersama, kami mahu mencabar diri kami untuk mencipta sesuatu yang provokatif dan perkara yang membuat penonton berfikir. Sudah terlalu banyak ‘filem senyap’ (silent film) dihasilkan di luar sana, tetapi kami mahu mencipta sesuatu yang baru, berlainan dan bernafas segar.

Kami mahu mencabar kemampuan kami membikin filem dengan hanya bermodalkan £400 (RM2000) dan membuktikan sekiranya kamu memiliki visi kreatif, kamu mampu melakukan. Mampu menghasilkan karya yang cantik dan indah belaka. Kami merakam dengan hanya satu kamera, tiga krew (kami sendiri) dan 95% pencahayaan semula jadi.

 

3 – Apakah kamu dipengaruhi sesuatu di masa lampau kamu?

Kami menggabungkan kesemua pengalaman kami untuk filem ini. Arron memberitahu semasa dia muda, dia selalu ke rumah warga emas. Satu perkara yang selalu diterimanya, mereka selalu mengadu yang makin mereka menua, makin kurang sentuhan fizikal yang diterima. Saya percaya perhubungan manusia adalah teras utama yang membuatkan kita sebagai manusia; ‘hidup’ dan gembira. Tanpanya kehidupan terasa kemurungan.

 

Darius Shu Bersama sidang redaksi STAIL.MY untuk kempen STAIL.MY X Air Asia

 

4 – Stail filem kamu?

‘His Hand’ adalah filem paling ‘gelap’ pernah saya hasilkan. Saya percaya membikin filem adalah berdasarkan jalan cerita dan saya terapkan mengikut mood yang sesuai dengan skrip. Saya suka filem yang berunsurkan seni. Filem-filem yang bercerita kisah menarik dan memberi mesej yang tersendiri. Saya selalu berusaha untuk memberi makna di setiap rangka filem dan saya tinggalkan untuk interpretasi seni dan tafsiran minda penonton sendiri.

 

5 – Filem yang paling memberi kamu inspirasi?

Saya sangat menyukai ‘Blade Runner 2049’ (2017) dan ‘Interstellar’ (2014). Sebenarnya terlalu banyak filem di luar sana yang memberi saya inspirasi… jika saya senaraikan, mungkin tak cukup ruang (ketawa).

 

 

6 –  Pengarah yang paling mempengaruhi gaya arahan kamu?

Tentunya Denis Villeneuve dan Christopher Nolan. Love them!

 

7 – Namakan satu naskah buku yang ingin kamu arahkan sebagai sebuah filem, suatu hari nanti?

Wow… this is a deep question.

Pada saya, terlalu banyak buku-buku yang bagus di luar sana yang boleh diolah menjadi filem. Namun buku terakhir yang saya baca adalah buku sains fiksyen yang bertajuk ‘Eye of Minds’ nukilan James Dashner… Saya rasa ia boleh menjadi sebuah filem yang bagus!

 

 

8 – Jika kamu berkesempatan membikin semula karya-karya P. Ramlee, yang mana satu pilihan kamu? Dan kenapa?

(Ketawa) Saya akan mengarahkan semula ‘Laksamana Do Re Mi’ (1972) kerana saya berpendapat ia filem arahan Allahyarham yang paling lucu. Saya masih ingat saya menonton filem ini bersama ibubapa dan tidak berhenti ketawa setiap kali menontonnya. Watak-watak dan personaliti dalam filem klasik ini sangat khusus dan unik. Tidak dilupa jalan cerita yang bernas.

 

9 – Pendapat kamu tentang industri perfileman Malaysia? Apa yang harus dan tak perlu? Formula yang patut diguna pakai oleh penggiat seni tempatan bagi menaik taraf mutu filem Malaysia sehingga setaraf peringkat global dan setanding di persada antarabangsa seperti filem arahan kamu?

Saya percaya industri filem tempatan masih banyak ruang untuk berkembang. Tiada formula rahsia. Kita cuma harus mula bercerita tentang sudut yang lain dan terbuka untuk stail filem yang baru. Tema-tema dan isu yang masih belum disentuh sebelum ini.

 

 

10 – Pada hemat kamu, apakah Malaysia sudah bersedia untuk filem bertema LGBTQ seperti ‘HIS HANDS’?

Saya sangat berharap. Susah untuk dituturkan tetapi saya berharap suatu hari nanti, negara ini akan menerima untuk menghasil dan menayangkan filem-filem bertema LGBTQ di panggung wayang tempatan.

Adalah sangat penting untuk semua jenis suara dan cerita didengarkan dan disertakan di dalam masyarakat kerana kita berada di saat paling penting dalam generasi ini. Menjadi Malaysia yang berbagai budaya dan bangsa, seharusnya tidak ada lagi sebarang bentuk diskriminasi.

Saya melihat generasi kini lebih terbuka dan menerima keberagaman. Ia sesuatu yang menakjubkan yang sedang berlaku di dalam masyarakat kita dan saya merasa tidak perlu lagi ada tembok pemisah yang mencegah kamu untuk berkarya dan mengekspresi diri, terutama di industri kreatif ini.

 

11 – Selain LGBTQ, apa lagi konsep/mesej yang ingin kamu sampaikan kepada penonton? Apakah makna di sebalik tajuk: HIS HANDS?

Kami mahu menyentuh soal ‘sepi’, ‘seksualiti’, ‘identiti’ dan ‘penerimaan’. Juga ‘penuaan’, faktor keinginan untuk kasih sayang. Sayang sekali melihat golongan emas dilupakan. Apa yang mereka mahu hanyalah peneman. Dan mereka sanggup melakukan apa sahaja, walau merasa aman yang salah.

Tajuk filem ini membawa maksud, kuasa di tangan kamu dan kamulah yang mengawal kehidupan dan keinginan. Kami tidak menjelaskan apa hubungan kedua-dua watak lelaki di dalam filem ini. Sahabat yang peduli? Musuh dalam selimut? Niat siapa yang murni? Siapa yang jahat? Apakah hubungan mereka serasi atau tidak? Gerah atau tidak dapat dipertahankan? Keputusan di tangan kamu.

 

Darius Shu bersama Robert De Niro & Arron Blake
Darius Shu bersama Robert De Niro & Arron Blake

 

12 – Momen paling diingati dalam karier kamu sebagai pengarah?

Tribeca dan bertemu dengan Robert De Niro adalah momen yang terbesar setakat ini. Saya masih merancang impian yang lebih besar, jadi saya anggap ini sebagai permulaan.

 

13 – Pencapaian kamu setakat ini?

HIS HANDS ditayangkan di Tribeca Film Festival 2019 dan disenarai-pendek untuk ‘Best Narrative’ di festival tersebut. Diundang ke tayangan perdana salah satu festival filem terbesar di Amerika Utara ini tentulah satu penghargaan buat saya. Saya sangat berterima kasih dan bersyukur kepada Tribeca kerana percayakan kami. Semasa saya dan Arron mengarahkan filem ini tahun lalu (filem pertama kami sebagai pengarah bersama), kami tidak pernah menyangka ia akan pergi sejauh ini.

 

14 – Nasihat untuk pengarah muda seperti kamu di luar sana?

Saya tahu ia akan kedengaran klise, namun kamu harus bekerja keras serta menanam impian yang tinggi dan tidak mudah mengalah untuk mencapai impian kamu itu tadi. Sedari usia 12 tahun, saya menghendaki dan bercita-cita untuk berada dan bekerja di lapangan seni. Sama ada menyanyi atau menari atau apa-apa sahaja yang melibatkan seni. It has been a long journey.

 

15 – Harapan kamu terhadap industri perfileman Malaysia.

Harapan saya untuk industri perfileman Malaysia supaya mereka lebih terbuka untuk menerima perubahan dan menaruh percaya akan pengarah dari kalangan generasi muda.

 

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE