SEARCH

#Review Dendam Pontianak, Dendam Yang Sedih & Duka

#Review Dendam Pontianak, Dendam Yang Sedih & Duka

DENDAM PONTIANAK ialah filem seram rawan yang diarah dan ditulis oleh Glen Goei dan Gavin Yap, mengenai kehidupan sepasang suami isteri yang baru sahaja berkahwin, namun dibelenggu dengan pelbagai kejadian mistik, yang memaksa mereka terjerumus ke lembah pengkhianatan dan pembunuhan.

‘Pontianak’ dalam mitos Nusantara merujuk kepada roh atau hantu wanita mengandung yang meninggal dunia ketika sedang melahirkan anak. Kematian ini dipenuhi dengan dendam kesumat. Ia kisah hantu rakyat yang terkenal di Asia Tenggara dan paling digeruni, tetapi pada hakikatnya kisah Pontianak ialah sebuah kisah tragis tentang cinta dan kehilangan.

‘Dendam Pontianak’ dirangka pada era 1950-60an, sebelum dan selepas Kemerdekaan Malaya. Bermula dengan babak perkahwinan antara Khalid (Remy Ishak) dan Siti (Shenty Feliziana) di sebuah perkampungan yang terpencil. Di sinilah ‘tetamu’ yang tak diundang – sosok perempuan berkebaya merah tak bersepatu – datang membuat kemunculan.

Dia datang membawa Dendam Pontianak yang membara

Jalan cerita berjalan agak perlahan. Namun, sinematografi filem ini sangat cantik dan mengagumkan. Reka bentuk kostum dan produksi boleh diberi pujian. Susunan muzik dan pencahayaan wajar diberi tepukan.

Intipati filem adalah tentang cinta dan apakah akibatnya jika cinta sejati itu dikhianati. Segala penceritaan dan tragedi, sama ada baik atau buruk yang menimpa watak-watak di dalam filem ini sememangnya bermula dari cinta. Bagusnya, filem ini lebih memberi fokus pada watak pontianak itu sendiri dan tentang kisah peribadinya.


Siapakah dia dan apakah yang terjadi sebelum dia menjadi pontianak?


Filem ini juga meneroka kebarangkalian sifat rakus dan jahat yang wujud dalam diri manusia. Jika diuji tahap kesabarannya, tidakkah manusia itu sendiri juga akan berubah dan memberontak?

Namun ada beberapa cela dalam filem ini yang kelihatan sangat ketara. Pertama, entah mengapa lakonan mereka kelihatan janggal? Padahal nama-nama yang membintangi filem seram ini tidak kalah hebatnya. Namron dan Wan Hanafi Su. Watak Namron sebagai Su’ut Din, bomoh atau ustaz (saya pun tak pasti) terlihat tergesa-gesa. Wan Hanafi Su diberikan watak sebagai ketua kampung yang tiada banyak peranan.

Mungkinkah kerana faktor arahan pengarah? Jalan cerita agak mendatar dan boleh dibaca. Paling menghairankan, babak orang kampung mengejar dan berlawan dengan pontianak (yang turut berlari dan berjalan). Bayangkan melawan pontianak dengan hanya kayu dan obor? Kamu fikir nak tangkap musang? Babak ini sangat tidak relevan. Asal kamu tahu, pontianak boleh terbang, ya anak-anak.

Selain itu, saya kaget dengan cara pembunuhan pontianak yang disarankan oleh Su’ut Din. “Bukankah memaku paku di leher pontianak itu sendiri akan membuatnya berubah menjadi wanita yang jelita? Sejak bila cara ini digunakan untuk membunuhnya?” getus saya di kepala.

Akhirnya, babak penutuplah yang menyelamatkan keadaan. Di babak ini saya benar-benar tersentuh dengan pengorbanan yang dilakukan Mina (Fazura) selaku pontianak. Lakonan Fazura pun ‘strong’. Babak ini membuat semua yang menonton pada hari tayangan perdana itu, mengalirkan air mata.

Sebenarnya, filem ini ingin menyampaikan cinta sebenar Mina hanyalah kepada anaknya. Itu mesej utama yang ingin dibawa. Kasih ibu membawa ke syurga walaupun dalam bentuk bukan manusia.

DENDAM PONTIANAK mula mengilai di pawagam Malaysia mulai 12 September 2019 (12/9/19).

LIHAT #FIRSTLOOK DENDAM PONTIANAK: FAZURA JADI PONTIANAK CANTIK & HODOH

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE