SEARCH

#DoraemonKembali 3 Episod Terakhir Doraemon Yang Ramai Tidak Tahu

#DoraemonKembali 3 Episod Terakhir Doraemon Yang Ramai Tidak Tahu

Populariti Doraemon yang mendunia, menjadikan ia sebagai salah satu manga (komik Jepun) terkenal dan terlaris di seantero benua. Siapalah yang tidak mengenali watak robot kucing berwarna biru tanpa telinga dengan kocek ajaib ini? Namun saya pasti tidak ramai yang mengetahui pengakhiran atau kesudahan episod terakhir Doraemon ini, bukan?

Memang episod terakhir mangga yang diterbitkan buat kali pertama pada 1969 ini masih menjadi perdebatan sehingga sekarang kerana Fujiko F. Fujio selaku sang pencipta Doraemon sudah meninggal dunia. Sebelum dia menuliskan naskah terakhir Doraemon, terdapat beberapa jalan cerita yang mengisahkan tentang berakhirnya siri manga dengan tingkat imaginasi yang tinggi ini.

Episod Terakhir Doraemon
Komik Doraemon keluaran Gempak Starz ini hanya boleh didapati di Popular Bookstore dengan harga RM10. Foto oleh Khairul Nazmi
Baiklah, sempena penjualan cetakan semula komik Doraemon oleh syarikat penerbit komik tempatan, Gempak Starz – saya rangkumkan 3 versi episod terakhir Doraemon yang ramai tidak tahu – seperti berikut:

 

Episod Terakhir Doraemon 1

1 – Hanya Mimpi Nobita

Ia adalah salah satu pengakhiran yang kontroversi. Setelah sekian lama menyaksikan siri filem dan membaca rantaian komik Doraemon, ternyata Nobita adalah kanak-kanak yang menghidapi Autisme.

Dia hanya terbaring sakit tidak berdaya dan hanya berhalusinasi memiliki robot masa hadapan yang secanggih Doraemon. Dari situlah Nobita mulai berimaginasi bagaimana jika dia memiliki robot ajaib yang dapat mengabulkan segala permintaannya. Jadi ia hanyalah khayalan Nobita semata-mata.

Pengakhiran ini sempat mengundang protes sehingga peminat-peminat Doraemon di Jepun mengadakan demonstrasi di hadapan syarikat penerbitan, Shogakukan bagi menunjukkan tanda tidak setuju mereka.

 

Episod Terakhir Doraemon 2

2 – Stand by Me (Tetaplah di Sisiku)

Diarahkan oleh Ryuichi Yagi dan Takashi Yamazaki, ‘Stand by Me’ adalah animasi 3D yang diterbitkan pada 2014. Ia filem Doraemon paling tinggi kutipan kerana mengisahkan tentang saat pertama perjumpaan Doraemon dengan Nobita sehinggalah babak terakhir perpisahan mereka. Terdapat banyak babak suka dan duka yang dilalui dua sahabat baik ini sepanjang filem animasi tersebut berlangsung.

‘Stand by Me’ adalah versi episod terakhir Doraemon yang positif kerana akhirnya Doraemon mendapat izin dari masa hadapan untuk kembali bersama di samping Nobita.

 

Episod Terakhir Doraemon 3

3 – Bateri Doraemon Tidak Lagi Berfungsi

Menurut saya, ia adalah versi episod terakhir Doraemon yang paling mengharukan. Ia bukan sekadar sedih, namun meruntun perasaan.

Seperti biasa, Nobita pulang ke rumah menangis teresak-esak kerana baru sahaja diganggu Giant di sekolah. Namun, entah kenapa Doraemon tidak memberi tindak balas dan hanya terduduk diam di sudut bilik. Akhirnya Nobita memutuskan untuk memanggil Dorami (adik Doraemon) untuk mendapat jawapan.

Dorami menjelaskan abangnya, Doraemon kehabisan bateri dan jika bateri Doraemon diganti, segala ingatannya tentang Nobita akan terhapus kerana Doraemon adalah robot kucing versi lama yang tidak hadir dengan memori sokongan.

Setelah pemergian mengejut Doraemon, Nobita menjadi pendiam. Dia nekad belajar bersungguh-sungguh sehingga dia berjaya memasuki universiti dan bergelar seorang profesor robot yang terkenal di masa hadapan. Akhirnya Nobita mampu membaiki Doraemon semula tanpa menghilangkan sedikit pun memori zaman dia membesar bersama sahabat robot biru kesayangannya itu.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE