SEARCH

Drama Nur 2 Kembali Cipta Fenomena

Drama Nur 2 Kembali Cipta Fenomena

Drama fenomena yang dinobatkan Drama Rantaian Terbaik Anugerah Skrin 2018, Nur kembali dengan Nur 2 mulai 2 April ini. Drama lakonan Syafiq Kyle dan Amyra Rosli yang juga pemenang Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik Drama Rantaian ASK 2018 ini akan disiarkan di slot Samarinda pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.

Drama fenomena Nur arahan Shahrulezad Mohameddin ini pasti tidak lengkap tanpa barisan pelakon-pelakon hebat yang turut menjayakan siri drama ini seperti Dato’ Jalaludin Hassan, Fatimah Abu Bakar, Noorkhiriah, Azhan Rani dan Raja Atiq, Azar Azmi, Eyra Hazali dan ramai lagi.

Pasti ramai yang sudah tidak sabar untuk mengetahui sambungan kisah Ustaz Adam lakonan Syafiq Kyle dan juga Nur lakonan Amyra Rosli.

Imbas kembali, siri pertama drama Nur mengisahkan mengenai Nur, pelacur yang mahu keluar dari kehiduapn kotornya. Pertemuan dengan Ustaz Adam memberi sinar buat Nur. Namun, dalam mencari redha ilahi dan cinta sejati manusia, Nur bergelut dengan penerimaan masyarakat lebih-lebih lagi keluarga Adam yang sangat dihormati.

Menerusi beberapa video yang dimuat naik di Instagram, debaran kian terasa apabila kehadiran pelacur bernama Juwita lakonan Azar Azmi menguji kesetiaan Ustaz Adam pada isterinya. Mampukah Ustaz Adam menahan godaan Juita?

Nur 2 pula adalah kesinambungan mengenai Nur dan Adam yang meneruskan kehidupan mereka di rumah peninggalan arwah Cik Mona. Selain mengajar kanak-kanak mengaji di rumah mereka. Adam masih meneruskan aktiviti memberi dakwah di lorong-lorong yang turut mendapat sokongan Nur. Pendekatan Adam yang berdakwah secara halus dengan mendekati komuniti di lorong pelacuran tanpa menghakimi sesiapa itu membuatkan dirinya disenangi ramai. Dalam diam Adam diperhatikan oleh Juita, pelacur popular dan juga rakan Nur di lorong itu. Juita juga mengimpikan untuk menjadi seperti Nur. Dia mahu Adam menjadi miliknya dan perlahan-lahan mencari peluang untuk mendampingi Adam.

Ujian demi ujian telah datang kepada Adam dan Nur dalam menempuhi hidup mereka sebagai suami isteri. Setelah berkahwin Adam dan Nur mengajar kanak-kanak mengaji di rumah lama milik Nur. Pada mulanya niat baik mereka itu tidak menghadapi masalah sehinggalah ada penduduk tidak berpuas hati.

Jiran mereka terganggu dengan kelas mengaji yang semakin mendapat sambutan, Adam dan Nur perlu mencari tempat baharu tetapi mereka kekurangan dana.

Apa lagi kejahatan yang bakal dilakukan Hamadi? Kekalkah kebahagian rumah tangga Nur dan Adam? Pastikan anda ikuti drama 15 episod terbitan Radius One Sdn Bhd ini untuk mengetahui kesudahannya.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE