SEARCH

10 Soalan Bersama Faisal & Faizal: Perihal Hijauan Mini, ‘Nature Room’ & Ficus and Jars

10 Soalan Bersama Faisal & Faizal: Perihal Hijauan Mini, ‘Nature Room’ & Ficus and Jars

Saya amat tertarik ketika pertama kali melihat ‘Nature Room’ oleh Ficus and Jars di #10STAILISHROOM. Instalasi pohon-pohon menghijau yang dipadankan pula bersama lampu neon biru dan merah jambu amat menarik perhatian.

Tertulis satu mutiara kata “PLANT YOUR DREAMS” atau “TANAM IMPIAN KAMU” yang pasti membekas pada sekalian mata-mata yang melintas. Unik dan cantik sekali.

Demikian saya mengambil kesempatan ini untuk menemuramah artisan yang bertanggungjawab membina dan mencipta bilik semula jadi yang serba stailish ini.

Baca 10 soalan bersama Faisal Hashim dan Faizal Mahmud, pengasas bersama Ficus & Jar’s, seperti di bawah:

 

#10stailishrooms Nature room Ficus and Jars STAIL.MY 1

1 – Pertama-tama, terangkan makna di sebalik “Ficus & Jar’s”? Dan boleh kamu jelaskan konsep “The Terrarium Project” yang dibawa oleh syarikat kamu?

Idea utama penubuhan Ficus & Jar’s (F&J) adalah untuk mempromosi gaya hidup yang bersih dan sihat. Asasnya, Ficus & Jar’s adalah kombinasi dua kata ini, Ficus (belukar) dan Jars (balang). Terutamanya zaman sekarang, manusia hidup dalam dunia yang semakin maju dan kian sesak, kamu harus menjaga persekitaran kamu dengan sebaik-baiknya.

Kita panggil gubahan pohon-pohon renek di dalam balang kaca kecil ini sebagai ‘Terarium’. Ia adalah nama bagi bekas lutsinar yang digunakan untuk memelihara tumbuh-tumbahan kecil atau haiwan darat yang kecil. Terarium mewujudkan persekitaran sehampir mungkin dengan persekitaran atau habitat semula jadi.

Terarium-terarium ini memberi kebaikan seperti menghilangkan stres. Ia boleh dijadikan sebagai terapi dan bersifat terapeutik. Kunci utama ‘hutan mini’ ini bagi menghadirkan daya sentuhan/bauan yang memberi ketenangan untuk persekitaran yang tenang dan selamat. F&J juga yakin terrarium ini dapat mencipta unsur bahagia dan gembira dalam balang untuk kebaikan semua.

2 – Atmosfera dan budaya kerja di Ficus & Jar’s?

Seni berkebun dan peduli tumbuhan hijau, sememangnya terbukti memberi kesan yang amat menenangkan. Kami merasa tenang dan tenteraman semasa proses seni dalam mereka-cipta dan menyusun atur terarium-terarium tersebut. Itulah budaya kerja kami.

3 – Ceritakan pada pembaca, tentang projek kalian bersama STAIL.MY untuk acara #10STAILISHROOMS baru-baru ini?

Ia satu instalasi seni yang berunsur eco-art, dibikin khusus untuk memberi pengalaman interaktif antara pengunjung dengan alam semula jadi sebagai faktor penting dalam kehidupan seharian mereka.

Dengan menghias pelbagai pohon-pohon yang sesuai untuk ditanam di dalam rumah dan sesuai dengan ekosistem manusia, ‘Nature Call’ ialah panggilan atau hebahan seni pokok yang perlu diambil tahu oleh penduduk urban Malaysia. Supaya kehidupan, persekitaran dan kediaman mereka selepas ini jauh lebih hijau dan sihat hendaknya.

Projek hijauan ini memberi tumpuan pada ruang tamu. Untuk mencipta ‘taman mini’ di dalam ruang kediaman, contoh ruang yang paling mudah diakses dan dimanfaatkan semua. Instalasi istimewa ini mengandungi pelbagai pohon malar hijau, pohon-pohon kebun dalam rumah dan pohon-pohon renek yang bergentayangan.

A post shared by FAIZAL MAHMUD (@faizalmahmud) on

4 – Idea dan inspirasi?

Persekitaran kami. Alam semula jadi menjadi pengaruh utama kepada kehidupan kami. Terarium itu lebih daripada hanya sekadar dekorasi. Ia kecil namun sebenarnya ia idea yang besar, yang lahir dari buah fikiran kami. Satu simbol cinta, keamanan dan kesejahteraan. As long as your plants don’t die (ketawa).

5 – Percutian terakhir kamu? Kongsikan momen-momen inspirasi daripada kembara itu tadi?

Percutian terakhir kami di Jaipur, India. Berada di India, membuatkan kami lebih menghargai budaya kita sendiri di Malaysia. Kami juga mempelajari adat dan budaya kaum Hindu di sana. Kami sangat terkesan dengan senibina dan perhiasan-perhiasan yang mereka ada. Mungkin kami akan mengambilnya untuk idea rekaan terarium kami akan datang.

6 – Momen yang tak terlupakan sebagai seorang artisan?

Momen yang tidak boleh kami lupakan adalah ketika dijemput ke program temubual sebagai tetamu undangan di salah satu stesen televisyen tempatan. Program tersebut memberi kami ruang untuk membahas dan berkongsi idea tentang konsep hijau.

7 – Terangkan stail kamu? Adakah ia akan berkembang di masa mendatang?

F&J berkonsepkan keringkasan. Kebanyakan rekaan kami dipengaruhi oleh struktur-struktur skandinavian dengan tambahan corak geometri yang seimbang. Bagi kita sebagai manusia, kita perlukan perkara asas ini dalam kehidupan. #artofslowliving

A post shared by FICUS & JARS (@ficusandjars) on

8 – Ketika kamu mengerjakan sesuatu projek, apakah kamu tertakluk pada kehendak pasaran atau lebih kepada kebebasan berkarya?

Jujurnya, ia pengaruh daripada persekitaran kami. Bagaimana kami melihat atau merasa tentang sesuatu perkara, boleh memberi inspirasi untuk mengerjakan sebarang kreativiti. Namun kami harus melihat juga aspek kehendak pasaran (kerana mereka ini yang kita mahu biasakan dengan konsep terarium), tetapi kami tambahkan lagi dengan sentuhan peribadi dan idea kami sendiri, supaya nilai komersial dan kreativiti itu seimbang.

9 – Media seni kegemaran kamu? Dan apakah ia akan berevolusi di masa hadapan?

Sebagai artis botani, kami selalu punya idea untuk menggabungkan alam semula jadi dengan teknologi. Kini, segalanya berubah kepada empat dimensi dan kami perlu mengejar perkembangan seni yang pantas ini. Contoh terbaik, kami pernah mencipta terarium yang mengaplikasikan tenaga kinetik bersama instalasi hijauan.

10 – Selain seni, apa lagi yang kamu suka? Dan kenapa?

Berkumpul bersama rakan-rakan dan keluarga. Kami percaya dengan makan semeja bersama, dapat memberi kebaikan kepada mental dan fizikal.

 

‘Nature Room’ oleh Ficus and Jars tajaan BONIA adalah salah satu bilik stailish yang dipamerkan sempena acara #10STAILISHROOMS yang berlangsung di Pavilion KL sepanjang 4 hingga 13 Mei 2018, yang lalu.

 

#10stailishrooms Nature room Ficus and Jars STAIL.MY 2

#10stailishrooms Nature room Ficus and Jars STAIL.MY 3

#10stailishrooms Nature room Ficus and Jars STAIL.MY 4

#10stailishrooms Nature room Ficus and Jars STAIL.MY 5

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE