SEARCH

#AlbumReview Happiness Begins – Bermulanya Bahagia The Jonas Brothers

#AlbumReview Happiness Begins – Bermulanya Bahagia The Jonas Brothers

Happiness Begins. Menghayati judulnya yang ceria, kembalinya boyband bersaudara yang popular ini mengembalikan nostalgia betapa popularnya lagu-lagu Jonas Brothers di awal 2000-an.

Dikeluarkan seiring dengan dokumentari bertajuk ‘Chasing Happiness’ – tentang kisah persaudaraan dan emosi – ada banyak hal yang dapat dipelajari daripada kata ‘kebahagiaan’. Juga dari album terbaharu mereka yang hadir setelah 10 tahun ini.

‘Happiness Begins’ adalah album kelima mereka dan album pertama yang menyatukan semula adik-beradik Jonas ini. ‘Happiness Begins’ membuktikan Kevin, Joe dan Nick tidak pernah kehilangan ‘family vibe’ yang harmoni dan intuitif.

Album ini menyentuh pendengar sama seperti Jonas Brothers menyanyi di hari-hari kegemilangan ‘Camp Rock’ dan ‘Year 3000’. Jonas Brothers bertambah baik dan lebih matang di dalam ‘Happiness Begins’.

Kamu boleh mendengar lagu-lagu baharu mereka yang lebih harmoni, lebih kaya dengan muzik, vokal yang lebih tajam dan penularan epik sebagai senjata asasnya. Segala apa yang menjadikan trio Jonas ini lebih unik dalam album terbaharu mereka ini.

Album ini bernada gembira. Melodi yang kurang rumit dan sejajar dengan visi mereka melihat kehidupan dalam kacamata positif.

‘Happiness Begins’ memberi santai-santai kepada pendengarnya. Menyerahkan sebulat-bulatnya pada R&B yang diredam dengan kapas elektro sambil tidak melupakan DNA Pop mereka yang kental.

Menyebut ‘Happiness Begins’ sebagai album mereka yang paling ‘hidup’ mungkin tidak terlalu keterlaluan. Saya suka mendengar lagu yang berjudul “I Believe” – satu catatan cinta Nick terhadap sang isteri, Priyanka Chopra Jonas yang sangat manis dan membekas.

Setiap lapis lagu dalam ‘Happiness Begins’ bercorak ‘bahagia’. “Every Single Time” dan “Sucker” juga menjadi pilihan saya. Lagu-lagu ini terus melekat bermain di kepala setelah pertama kali kamu mendengarnya. Begitu juga dengan lagu yang berjudul “Cool” yang diprovokasi dengan auto-tune yang tidak saya sangka akan saya suka.

Happiness Begins bukanlah sebuah album yang berat, namun tidak lah terlalu mendatar dengan pancingan nilai komersial yang menebal untuk album ini.

Dan bagi setiap trek yang terdapat di dalam album ini, menceritakan secara langsung kisah tragis dan romantis, mengingatkan kita agar selalu menjadi keluarga bahagia.

Akhirnya keluarga lah antara perkara yang paling penting di dunia.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE