SEARCH

‘Haram’ Kalahkan ‘Sampai Bila’, AJL33 Dikritik Hebat Kerana ‘Bunga’

‘Haram’ Kalahkan ‘Sampai Bila’, AJL33 Dikritik Hebat Kerana ‘Bunga’

AJL33 menobatkan lagu ‘Haram’, ciptaan sepenuhnya Hael Husaini bersama Ezra Kong dan dinyanyikan oleh juara #AJL31, Dayang Nurfaizah bersama juara #AJL32, Hael Husaini sendiri, sebagai Juara #AJL33, berlangsung penuh prestij di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Paling mengejutkan ramai adalah lagu ‘Bunga’ nyanyian Ara Johari yang berjaya bergelar naib juara, sementara lagu ‘Sampai Bila’ nyanyian Misha Omar berada di tempat ketiga. Ya percaya atau tidak, Ara Johari berjaya menewaskan Misha Omar. Antara keajaiban yang terjadi malam #AJL33 tersebut.

Di ajaiban lain tetapi positif, Sufian Suhaimi berjaya menggegar stadium dengan konsep persembahan “Pelamin Anganku Musnah”, sekaligus berjaya membuatkan dia merangkul trofi Persembahan Terbaik. Misha Omar pula berjaya meraih satu lagi trofi iaitu Vokal Terbaik berkat mutu nyanyiannya, tidak seperti Ara Johari yang begitu ramai kaget ketika dia diumumkan sebagai naib juara

Kita sedia maklum yang Anugerah Juara Lagu (#AJL) ini diadili bukan sekadar atas dasar penyanyi semata-mata. Aspek lain seperti lirik, notasi, melodi, vokal dan lain-lain turut menyumbang kepada markah keseluruhan #AJL. Namun yang menjadi persoalan di benak ramai orang (termasuk wartawan-wartawan yang kebingungan termasuk saya semasa menghadiri sidang media selepas konsert) adalah kemenangan ‘Bunga’ sebagai naib juara.

Azmeer selaku ketua juri menjelaskan keputusan juara, naib juara dan tempat ketiga #AJL33 mungkin berubah jika artis yang bertanding membawa lagu dengan teknik yang betul.

“Kita bercakap tentang beza markah yang tipis antara ketiga-tiga pemenang ini. Berdasarkan penjurian awal dan mutu persembahan, ia mungkin berbeza jika penyanyi tersebut tidak membuat sebarang kesalahan ketika pertandingan,” tegas Azmeer.

Paling menghairankan ketika ditanya mengapa Misha Omar, yang juga memenangi Vokal Terbaik, kalah di tempat ketiga berbanding Ara Johari yang berjaya dengan lagu ‘Bunga’ sebagai Naib Juara? Kalau dibanding atas dasar vokal, tentu sahaja Ara Johari kalah teruk dengan Misha Omar.

Kalau diikutkan dari segi lirik pula, lagu ‘Bunga’ nyanyian Ara Johari itu jauh ketinggalan berbanding satu lagi lagu yang bertajuk ‘Bunga’ ciptaan Omar K dan John Jeevasingam dan Altimet sebagai penulis lirik. Bukanlah hendak mengatakan yang lagu ‘Bunga’ ciptaan Hang Nadim, Laq dan Kadok ini tidak bagus, tetapi bagi saya ia biasa-biasa sahaja seperti lagu cinta klise yang berlambak-lambak di luar sana. Tiada yang istimewa tentang lagu ini.

Apabila diasak dengan soalan-soalan panas tentang kontroversi ini, Azmeer hanya mampu menjawab,

Jangan lah kita menidakkan rezeki orang” – Azmeer, ketua juri #AJL33

Jawapan yang diberikan mengunci mulut semua yang berada di dalam bilik media malam itu. Ia jawapan mati. Jawapan yang langsung tidak masuk akal, sehingga membuat semua yang berada di situ mengerut-ngerut dahi termasuk saya. Apa guna barisan penjurian? Baik bagi sahaja sesiapa sahaja menang. Bagi sahaja penonton yang sing along sebagai pemenang. Tidak begitu? ‘Rezeki’, bukan?

Azmeer seterusnya memilih untuk tidak mendedahkan markah keseluruhan yang diperolehi pemenang dan peserta-peserta finalis #ajl33 yang lain dan berkata dia tidak punyai kuasa untuk memberitahu markah keseluruhan yang berjaya dikutip tersebut atas alasan sulit.

Walaubagaimana pun, penjelasan Azmeer tentang lagu ‘Haram’ yang dinobat sebagai juara #AJL33, boleh diterima akal sihat. Azmeer menjelaskan pemilihan ‘Haram’ sebagai juara menepati syarat-syarat, selain menyifatkan ia adalah karya yang mempunyai inovasi dan pembaharuan dari segi melodi dan susunan.

“Tekstur ‘Haram’ dan bunyi lagu itu segar berbanding lagu-lagu lain yang masih terperangkap dengan melodi era 1990an,” akhiri Azmeer.

KEPUTUSAN PENUH AJL33

JUARA

HAEL HUSAINI & DAYANG NURFAIZAH
Haram

Komposer
Hael Husaini & Ezra Kong

Penulis Lirik
Hael Husaini & Ezra Kong

 

NAIB JUARA

ARA JOHARI
Bunga

Komposer
Hang Nadim, Laq & Kadoq

Penulis Lirik
Hang Nadim, Laq & Kadoq

 

KETIGA & VOKAL TERBAIK

MISHA OMAR
Sampai Bila

Komposer
Sharon Paul

Penulis Lirik
Fedtri Yahya & Shah Shamshiri

 

PERSEMBAHAN TERBAIK

SUFIAN SUHAIMI
Di Matamu

Komposer
Sirkhan & Rinkarnaen

Penulis Lirik
Sirkhan & Rinkarnaen

FOTO OLEH @TV3

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE