SEARCH

Hari Ini Dalam Sejarah: Kembara Hafiz Suip Sebagai Bapa & Orang Baru Dalam Industri

Hari Ini Dalam Sejarah: Kembara Hafiz Suip Sebagai Bapa & Orang Baru Dalam Industri

Hari Ini Dalam Sejarah – single terbaru Hafiz Suip yang dilancarkan seiring dengan sesi media istimewa bersama RocketFuel Entertainment, baru-baru ini.

Fokus utama majlis ini adalah untuk memperkenalkan 7 muzik video karaoke 7 artis di bawah naungan rumah produksi ini di setiap cawangan Red Box, seluruh Malaysia.

Saya sempat bertemu Hafiz Suip di belakang pentas. Bertanyakan tentang perkembangan karier, evolusi muzik dan pengalaman bergelar sang bapa baru di industri hiburan Malaysia.

Seperti lagunya yang berjudul Hari Ini Dalam Sejarah, ikuti temuramah eksklusif saya bersama Hafiz Suip, seperti yang tertera:

 

1 – PERKEMBANGAN KARIER seorang HAFIZ SUIP?

Saya berterima kasih kepada peminat-peminat saya yang dari dulu tidak pernah jemu memberi sokongan terhadap karier saya sebagai seorang anak seni. Alhamdullilah.

Memang tidak dinafikan, muzik-muzik terbaru saya sedikit berlainan genre daripada balada. Dengan hadirnya artis-artis baru di industri, saya harus berlapang dada menerima persaingan yang sihat ini.

Dengan adanya perubahan seperti itu, peminat-peminat akan mula bercakap. Dari sanalah strategi saya untuk membuat comeback. 

2 – CERITAKAN SEDIKIT SEBANYAK TENTANG ‘HARI INI DALAM SEJARAH’.

‘Hari Ini Dalam Sejarah’ bagai satu permulaan yang baik bagi 2018. Ia menceritakan tentang sesuatu yang bersejarah atau mempunyai makna tertentu yang berlaku pada hari-hari dalam kehidupan saya, seperti hari kelahiran anak saya, tarikh perkahwinan saya dengan isteri dan sebagainya.

Pelbagai peristiwa yang telah atau bakal berlaku dalam hidup kita sehari-hari. Kadangkala ia membawa maksud istimewa dan layak diingati sampai bila-bila. Sepanjang bergelar anak seni, bermacam-macam yang telah saya lalui dan tempuhi. Setiap momen itu saya anggap berharga kerana tanpa pengalaman lalu, saya tidak akan berdiri di sini pada hari ini.

3 – apakah kerana terdapat persaingan artis baru, misalnya haqiem rusli, memaksa hafiz berubah genre?

Saya baik-baik sahaja. Jujurnya, saya boleh menyanyikan semua jenis genre. Oleh kerana perkembangan muzik dan pasaran masakini, Hafiz harus pandai main strategi. Peminat-peminat akan jemu juga jika saya terus-terusan menyanyikan lagu-lagu berentak balada. Seperti bermain tarik tali. Yang penting, suara saya tidak berubah (ketawa).

4 – AKAN KEMBALI MENYANYIKAN LAGU BALADA?

Hafiz sentiasa meletakkan diri Hafiz, seperti orang baru di industri. Industri hiburan kita sentiasa berubah-ubah, peminat pun makin pandai dan mempunyai citarasa yang selalu berkembang.

Hidup ini umpama roda. Saya kira saya cuba untuk kembali ke industri hiburan dengan penampilan baru, dengan lagu-lagu yang lebih bernafas segar. Dengan kehendak Allah, suatu hari nanti mungkin saya akan kembali kepada lagu-lagu berentak balada, seperti yang kamu kenali Hafiz selama ini.

5- pendapat kamu tentang industri muzik malaysia hari ini?

Saya harus akui, kita harus bermula dari bawah semula. Tiada yang bermula dengan sendirinya dalam kehidupan ini. Walaupun sudah punya nama, namun Hafiz harus bertungkus-lumus untuk mengejar pasaran muzik sekarang. Industri hiburan dahulu, sudah jauh berbeza dengan sekarang.

6 – justeru APAKAH PERBEZAAN ANTARA INDUSTRI MUZIK DAHULU DAN SEKARANG itu? terangkan.

Zaman sekarang kita harus mempunyai strategi pemasaran yang kukuh. Jika dahulu keluar sahaja album baharu, peminat-peminat akan mula beratur di kedai-kedai muzik berdekatan untuk membeli dan mendapatkan album baharu artis kesayangan mereka.

Zaman sekarang sudah berubah. Peminat-peminat tidak hairan sedikit pun dengan keluaran album. Sekarang kita ada macam-macam aplikasi atas talian seperti Spotify, Youtube atau iTunes, misalnya. Bagi saya, kita harus mengikut peredaran zaman agar tidak ketinggalan.

 7 – PESANAN BUAT PEMINAT-PEMINAT YANG MUNGKIN TIDAK DAPAT MENERIMA HAFIZ BERTUKAR GENRE?

Ya, ada juga yang tidak boleh menerima saya menukar konsep lagu. Mereka kata saya sudah berubah. Terus terang saya katakan, itulah yang saya mahu mereka katakan. Supaya mereka terus bercakap. Mereka tidak akan endah dengan perkara-perkara normal. Jika terdapat sedikit kelainan, orang akan mula berkata. Saya mahu membuat sedikit kelainan dan kejutan untuk peminat-peminat saya.

A post shared by STAIL.MY (@stail.my) on

8 – KONGSIKAN pula PENGALAMAN BERGELAR SEORANG BAPA?

Syukur ke hadrat Ilahi kerana dikurniakan cahaya mata, putera sulung saya, sihat tubuh badan pada tanggal 31 Disember 2017 yang saya beri nama sebagai Muhammad Riyadh Zafri bin Mohd Hafiz.

Perubahan ketara sejak bergelar bapa, saya boleh katakan saya lebih fokus kepada Riyadh Zafri berbanding diri saya sendiri. Dengan kehadiran orang baru dalam kehidupan saya ini, saya harus berjuang demi dia. Tanggungjawab saya bertambah besar.

9 – PENGALAMAN yang TAK TERLUPAKAN SEPANJANG MENGASUH RIYADH zafri?

Pada awalnya, perkara yang paling sukar bagi saya adalah memandikan Riyadh Zafri. Itu perkara yang saya paling kekok dan risau. Lama-kelamaan saya sudah terbiasa dan sekarang saya sudah pandai menukar lampin (ketawa).

10 – MELIHAT PERKEMBANGAN DUNIA ARTIS SEKARANG, membuka laman instagram untuk anak sendiri seperti satu trend. pendapat hafiz?

Kita tak boleh nafikan dunia sekarang penuh dengan penjenayah siber yang boleh membuat sewenang-wenangnya dengan gambar atas talian anak kita. Perkara-perkara negatif seperti ini lah saya dan isteri harus waspada sewaktu memuat-naik gambar anak kami di @riyadh.zafri nanti.

Kebaikannya pula, dari segi pemasaran dan masa hadapan. Ia salah satu cabang rezeki untuk anak bila mereka besar kelak. Apa-apa pun, Hafiz harus lebih prihatin dan berjaga-jaga. Jangan pernah leka.

11 – TIDAK TAKUTKAH jika ADA CAKAP-CAKAP JAHAT YANG BERKATA HAFIZ SEPERTI MENJUAL ANAK SENDIRI DI LAMAN MEDIA SOSIAL?

Saya tidak boleh komen banyak. Bagi saya ia rezeki anak. Artis lain pun buat perkara yang sama. Ia tidak mendatangkan musibah pada sesiapa. Ya saya faham, akan ada sahaja netizen yang kecam dan mengata, tetapi itu lah realiti dunia industri sekarang.

Saya kena hadap, orang-orang akan tetap mengata dan mencela tanpa hujung pangkal dan usul periksa. Bagi saya, saya pandang dari sudut positif, ‘kecaman’ itulah yang membuatkan industri lebih berwarna dan menjana publisiti. Cakaplah selagi boleh bercakap (ketawa).

12 – BAIKLAH, SEBELUM MENUTUP TINTA, SEBAGAI BAPA MUDA, APA PENDAPAT KAMU TENTANG kontroversi PENGAMBILAN SUPLEMEN UNTUK BAYI, SEPERTI YANG TULAR BARU-BARU INI?

Saya kira saya belum pakar lagi untuk berkata soal ini. Sedikit sebanyak yang saya belajar sebagai bapa baru, sebenarnya suplemen atau ubat-ubat sampingan yang diambil oleh ibu juga perlu dipantau dan diprihatinkan. Tidak boleh mengambil dengan suka hati. Yang paling penting untuk bayi hanyalah susu ibu. Nasihat saya, dapatkan saranan doktor yang lebih arif.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE