SEARCH

#Review Hello Love Goodbye – Antara Cinta atau Keluarga?

#Review Hello Love Goodbye – Antara Cinta atau Keluarga?

Hello Love Goodbye sebuah filem cinta yang bersifat menyeluruh tentang natijah pilihan. Ia satu pendekatan tentang kekeliruan di sebalik keputusan yang akhirnya akan membentuk masa hadapan individu yang terjerat dalam dunia realiti masing-masing.

Diterbitkan oleh ABS-CBN Fillms dan mendapat arahan pengarah, Cathy Garcia-Molina, ‘Hello, Love, Goodbye’ buat masa ini dinobatkan sebagai salah satu filem Filipina dengan kutipan tertinggi tahun ini, menikmati kejayaan pecah panggung tempatan dan antarabangsa.

#Review Hello Love Goodbye – Antara Cinta atau Keluarga? 1

Filem romantis ini dibintangi oleh dua pelakon Filipina yang cukup terkenal, setiap seorang mempunyai kebolehan dan bakat berlakon yang mengagumkan, baik untuk filem kesukaan ramai mahupun drama dengan kedudukan rating tertinggi. Mereka tak lain dan tak bukan, Kathryn Bernardo dan Alden Richards.

Kathryn melakonkan watak Joy, sememangnya seorang penyanyi dan pelakon wanita berbakat di persada perfileman Filipina. Sejak penampilan lakonan sulungnya pada 2014, dia telah membintangi pelbagai filem dan telefilem terkenal. Kathryn dikagumi atas kebolehan dia menguasai intipati watak-watak dengan mendalam, mengaburi kemampuan usia mudanya.

Memainkan watak Ethan pula ialah Alden Richards, seorang selebriti terkenal pelbagai bakat di Filipina (pelakon/penyanyi/peragawan/pengacara). Dia bukan sahaja terkenal di kaca televisyen, malah di pentas muzik dan media sosial. Alden pernah meraih status platinum sebagai artis rakaman dengan tiga album di bawah namanya.

#Review Hello Love Goodbye – Antara Cinta atau Keluarga? 2

‘Hello, Love, Goodbye’ mengikuti naratif tentang kekasih muda warga Filipina yang merantau di Hong Kong. Masing-masing mencari nafkah dalam kepayahan, kecekalan hati dan kegetiran dunia kosmopolitan Hong Kong yang tidak pernah berhenti.

Joy adalah seorang pembantu rumah yang menanam semangat untuk menjadikan Hong Kong sebagai hanya perhentian sementara sebelum dia melebarkan sayap ke destinasi pilihan untuk berjaya dan memulakan kehidupan baru buat keluarga tercinta.

Sementara Ethan adalah seorang pelayan bar yang berkarisma tetapi malangnya suka berfoya-foya dan tidak memandang serius akan masa hadapan. Ethan bercita-cita untuk membina kehidupan tetap di bandar pelabuhan canggih yang tidak pernah tidur ini.

#Review Hello Love Goodbye – Antara Cinta atau Keluarga? 3

Satu pertemuan yang tidak sengaja antara mereka berdua, berputik menjadi hubungan cinta. Namun cinta tak datang dengan mudah.

Dalam perhubungan mereka ada pasang-surutnya. Ada pula pahit-manisnya. Tepis semua, Joy dan Ethan menemui ketenangan kala bersama, sewaktu mereka menempuhi cabaran hidup sebagai pekerja asing di ranah perantauan.

‘Hello, Love, Goodbye’ bukan sebuah kisah cinta biasa. Ia kisah menarik dan mendalam yang memberi tumpuan pada pengalaman dan realiti yang dikongsi antara warga Filipina di dunia sebenar. Tentang kisah pengorbanan dan sejauh mana yang mampu dilalui oleh individu demi keluarga mereka.

Pada akhirnya, filem ini menimbulkan persoalan. Dalam aturan hal yang lebih besar, perlukah usaha mengejar cinta diutamakan melebihi impian peribadi dan aspirasi keluarga? Memilih cinta atau keluarga? Satu persoalan yang hanya sanubari terdalam kamu mampu menjawabnya.

#Review Hello Love Goodbye – Antara Cinta atau Keluarga? 4

HELLO LOVE GOODBYE TRAILER

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE