SEARCH

Jangan Terlepas Menonton Pementasan Terakhir ‘MUD: The Story Of Kuala Lumpur’ April Ini

Jangan Terlepas Menonton Pementasan Terakhir ‘MUD: The Story Of Kuala Lumpur’ April Ini

Ia bermula pada 1857 sehingga lewat 1880, silauan timah yang berkedipan di tanah pertemuan dua sungai antara Sungai Lumpur (MUD) dengan Sungai Kelang, menarik perhatian ramai.

Termasuk tiga sahabat berlainan bangsa. Mamat, Meng dan Muthiah sama-sama beradu nasib, merebut apa sahaja peluang untuk memulakan kehidupan baru di lembah timah yang kaya ini. Bersama mereka menulis naskhah citra, mengukir mosaik budaya dan erti perpaduan pada kota raya Kuala Lumpur moden yang sekarang kita kenali.

Itu sedikit gambaran yang boleh saya titipkan buat pengetahuan sekalian kamu yang mungkin belum lagi menonton ‘MUD: The Story Of Kuala Lumpur’ yang berlangsung setiap hari di dalam bangunan Panggung Bandaraya yang mencecah usia 113 tahun ini.

MUD

‘MUD: The Story of Kuala Lumpur’ (MUD KL) ialah persembahan teater muzikal terpanjang di Malaysia, dengan lebih 1500 persembahan dijalankan dan masih lagi berterusan. Pemain-pemain teater sangat majmuk dan datang dari pelbagai latar belakang bangsa. Demografi ini benar-benar menangkap esen Kuala Lumpur sebagai pusat pertembungan dan peleburan budaya dari seluruh bahagian dunia.

Dengan kolaborasi muzik bersama Dewan Bandaraya Kuala lumpur (DBKL), MUD KL menyampaikan persembahan yang penuh warna. Berceritakan tentang kisah-kisah Kuala Lumpur lama serta kisah zaman permulaan bapa-bapa negara yang bersusah payah dan berdarah keringat dengan tangan-tangan mereka sendiri dalam membina ibu negara Malaysia pada hari ini.

Ia membuka lembaran tentang budaya dan asal-usul Kuala Lumpur yang mungkin kita tidak ketahui. MUD KL direncana bagi memberi persembahan muzikal yang dapat menyentuh hati dan memeluk sanubari, baik pada pelancong, mahupun pengunjung. Gubahan muziknya pula menyantun irama Malaysia yang punyai elemen-elemen muzik tradisi Melayu, intsrumen-instrumen bertali Cina dan melodi klasikal India.

MUD

Namun simpan dalam hati, setiap yang bermula pasti ada pengakhiran. Persembahan teater muzikal yang sudah masuk tahun ketiga ini membawa perkhabaran kurang enak untuk didengari.

Menurut penganjur MUD KL merangkap pengerusi Enfiniti Group, Datin Tiara Jacquelina berkata,

“Kami bersyukur atas sokongan yang diberikan kepada ‘MUD: The Story of Kuala Lumpur’. Dari rakan niaga DBKL, rakan-rakan seni dari KL Performing Arts dan rakan produksi di Panggung Bandaraya.

Ia perjalanan seni selama tiga tahun yang sangat bermakna buat kami di Enfiti Group. Dalam usaha penjenamaan semula, MUD KL akan membuat persembahan di tujuh lokasi “Negaraku”, bersempena kempen sambutan Hari Merdeka yang ke-60.

Saya sangat teruja untuk menyaksikan bagaimana kami boleh tingkatkan lagi MUD KL ke peringkat seterusnya dan tidak sabar rasanya untuk melihat perkembangannya,” ujar Tiara teruja.

Sebelum menutup tinta, terima kasih pada inisiatif Enfiniti Group selama ini, pelancong asing serta pengunjung tempatan dapat merasai peluang belajar sambil berhibur tentang sejarah Kuala Lumpur dengan begitu santai, informatif dan artistik sekali.

MUD

Jangan lepaskan peluang menonton persembahan-persembahan terakhir ‘MUD: The Story of Kuala Lumpur’ yang masih berlangsung sehingga 30 April 2017 ini. Sepanjang bulan April juga pengunjung bakal menerima cenderahati edisi terhad MUD yang istimewa. Tiket masuk boleh didapati di kaunter Panggung Bandaraya (waktu operasi: 10am – 9pm) atau melalui laman web rasmi  www.mudkl.com

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE