SEARCH

Setelah 6 tahun, Johan & Zizan Kembali Untuk JOZAN

Setelah 6 tahun, Johan & Zizan Kembali Untuk JOZAN

Pelawak, pelakon serta pengacara yang tidak asing lagi di pentas lawak negara, Johan dan Zizan Razak diberi penghormatan untuk membuka tirai slot ‘Lawak Live’ menerusi program JOZAN.

Slot ‘Lawak Live’ ini bakal menyajikan program-program variety yang akan bersiaran secara langsung dan menyaksikan dua figura ini berganding bahu selaku pengacara program. Slot khas ini diterbitkan bersempena sambutan hebat yang diterima oleh rancangan-rancangan siaran langsung lain di saluran Astro Warna seperti “Super Spontan” dan “Maharaja Lawak Mega”.

JOZAN by STAIL.MY 1

JOZAN adalah program variasi untuk hiburan seisi keluarga kendalian Johan dan Zizak Razak yang mengetengahkan isu-isu terkini dan tular menerusi pelbagai bentuk aktiviti hiburan yang berteraskan komedi seperti permainan, sketsa, debat santai, persembahan muzikal, parodi dan temu bual. JOZAN juga akan dimeriahkan dengan kehadiran selebriti-selebriti popular tanah air pada setiap minggu.

Berdurasi selama satu jam, JOZAN dibahagikan kepada lima segmen di mana setiap segmen mengandungi pelbagai pengisian aktiviti hiburan yang berbeza. Secara keseluruhannya, terdapat 22 bentuk aktiviti hiburan yang bakal mengisi JOZAN. Antaranya adalah ‘Perang Jantina’, ‘Bakat Ke Laut’, ‘Kita Ke Mahkamah’, ‘Lip Sync Battle’, ‘Horror Latah’, ‘Bual Bicara’, ‘Hos vs Hos challenge’ dan pelbagai lagi.

Menariknya, aktiviti hiburan bagi setiap segmen tidak tetap dan akan bertukar silih berganti pada setiap minggu bagi mencetuskan keterujaan dalam kalangan penonton dan memastikan kandungan program JOZAN akan sentiasa segar dengan kelainan yang ditampilkan untuk setiap episod. Kepelbagaian aktiviti hiburan dalam JOZAN, disesuaikan mengikut topik perbincangan pada minggu-minggu berlainan tersebut.

JOZAN juga bakal menyaksikan penglibatan secara langsung daripada penonton di mana terdapat segmen khas untuk penonton menonjolkan bakat mereka dan penonton juga berpeluang untuk menentukan cabaran yang harus dilakukan oleh Johan dan Zizan serta melontarkan idea-idea bernas berkaitan program dengan memberi maklum balas di media rasmi JOZAN untuk perhatian pihak penerbitan.

Antara lain yang menarik perhatian adalah ia program pertama menampilkan Johan dan Zizan Razak sebagai JOZAN selepas enam tahun. Penampilan akhir gandingan mereka berdua sebagai JOZAN di kaca TV ialah menerusi program ‘Maharaja Lawak Mega 2012’ yang menyaksikan mereka menjulang trofi juara.

Bakal ke udara selama 40 minggu, JOZAN akan bersiaran secara langsung selama satu jam dari Studio 1, Astro pada setiap hari Selasa bermula 24 Julai 2018, jam 10 malam. Ia akan dipancarkan terus di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE