SEARCH

#BingeWatch 5 K-Drama Pilihan Kami Harus Kamu Tonton di Netflix

#BingeWatch 5 K-Drama Pilihan Kami Harus Kamu Tonton di Netflix

Saya kadang ditegur juga teman-teman sekerja, dalam tidak minat K-pop, mereka ini sebenarnya dalam diam layan juga drama-drama dari Korea. Mereka tanya, “Eh Amira, dah tengok belum drama sekian sekian di Netflix…?” Jawab saya, “Eh, belum. Drama apa tu?” Mereka lebih advance daripada saya yang sememangnya gila Korea ini. Itu yang membuatkan saya mula ingin menonton sebanyak K-Drama yang boleh.

Jikalau kamu semua sudah tidak tahu lagi hendak layan cerita apa selepas siri Money Heist, Stranger Things dan sebagainya di Netflix, apa kata kamu cuba layan drama-drama dari Korea ini. Tidak semestinya K-Drama semuanya drama bercintan-cintun dan geli-geliman, ada juga drama-drama berasaskan era zaman dahulu, aksi dan sebagainya. Yang seronoknya drama Korea ini, mereka hanya punya paling banyak 16 episod untuk satu-satu siri itu. Taklah seperti sinetron atau drama Melayu. Kalau hendak tahu, mari saya senaraikan 5 K-drama pilihan kami yang harus kamu tonton di Netflix hari ini!

Kingdom (2019)

Kisah berdasarkan kehidupan masyarakat Korea di era zaman pemerintahan dinasti Joseon di mana ketika itu telah tersebarnya suatu penyakit misteri yang menakutkan penduduk kampung di beberapa daerah negara tersebut. Yang mati dihidupkan kembali, dalam erti kata lain, makhluk ini digelar zombie. Bayangkan bagaimana manusia di zaman dahulu kala melawan makhluk buas ini di samping menyelesaikan pelbagai konflik politik yang melanda istana ketika itu. Siri ini mendapat sambutan yang cukup hangat kerana jalan ceritanya yang menarik selain daripada barisan pelakonnya yang hebat-hebat belaka seperti Ju Ji-hoon, Doona Bae dan Kim Sang Ho. Dengar khabar, musim keduanya bakal ditayangkan tahun hadapan. Tak sabar!

Something in The Rain (2018)

Cerita cinta yang cukup romantis ini adalah antara siri yang menjadi hit dan turut dinobat sebagai antara drama terhebat dibikin dalam sejarah drama Korea tahun lalu. Antara sebab mengapa drama ini menjadi pilihan ramai adalah kerana jalan ceritanya yang cukup berbeza daripada drama-drama cinta Korea yang lain. Penonton juga seolah-olah dapat ‘merasa’ hubungan romantis di antara dua insan yang dipamerkan dalam siri ini. Hubungan cinta di antara wanita berusia dalam lingkungan 30-an bersama jejaka muda (yang juga teman baik adiknya). Bagaimanakah kesudahannya? Kamu harus tonton. Ada teman sekerja saya yang sudah tonton cerita ini lebih daripada tiga kali! Bayangkan betapa hebatnya cerita ini.

Romance is a Bonus Book (2019)

Ini antara cerita pilihan saya yang harus kamu tonton! Cerita mengisahkan kehidupan seorang wanita yang sudah lama tidak bekerja dan kembali ingin mencari kerja. Tidak mudah ya jika di Korea. Dengan budaya diskriminasi yang melampau membantutkan usaha wanita ini untuk meneruskan kehidupan menyara keluarga. Namun, apa yang saya suka tentang cerita ini ialah apabila ia menyelitkan kata-kata motivasi buat penonton. Bukan itu sahaja, kisah ini juga mengisarkan sekumpulan editor majalah yang bekerja di syarikat penerbitan. Kita boleh melihat kehidupan mereka di sebalik kerja glamor sebagai penulis dan penerbit buku. Seronok!

Prison Playbook (2017)

Sebuah lagi drama menarik yang berkongsi cerita banduan-banduan menjalani kehidupan seharian mereka. Dan yang lebih menarik di dalam drama ini ialah watak utamanya ialah atlet sukan baseball yang cukup popular. Oleh kerana dia didapati bersalah kerana membunuh penjahat yang cuba melakukan serangan seksual terhadap adik perempuannya, dia dipenjarakan dan ditempatkan di dalam satu kandang bersama penjenayah-penjenayah daripada pelbagai latar. Lihat cara dia menjalani kehidupan seharian dan dalam pada masa yang sama diberi layanan 5 bintang oleh pihak penjara kerana dia atlet sukan popular dan menjadi kebanggaan negaranya. Satu lagi sebab mengapa kamu harus menonton drama ini, ialah kerana barisan pelakonnya. Menampilkan pelakon senior yang hebat seperti Sung Dong-il, Choi Moo-sung, Jung Woong-in dan ramai lagi.

Love Alarm (2019)

Drama terbaru yang kini ditayangkan di Netflix. Jika kamu peminat dan berminat dengan aplikasi dating, tontonlah drama ini. Konsepnya ada sedikit seperti siri Black Mirror, menampilkan drama yang berkonsep futuristik. Kisah yang memaparkan bagaimana berbezanya perilaku pelajar sekolah tinggi di Korea ini baik di dalam media sosial dan secara realiti. Lihat bagaimana dunia internet mengubah personaliti seseorang itu.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE