SEARCH

#Review Konsert Dayang Dua Dekad: Bukti Dayang Nurfaizah Kekal Relevan

#Review Konsert Dayang Dua Dekad: Bukti Dayang Nurfaizah Kekal Relevan

STAIL.MY antara teman media yang diundang untuk menyaksikan Konsert Dayang Dua Dekad anjuran Shiraz Projects yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Konsert Dayang Dua Dekad: Bukti Dayang Nurfaizah Kekal Relevan 1

Diam tak diam, sudah lebih dua puluh tahun penyanyi dari Bumi Kenyalang ini berada dalam dunia hiburan tanah air. Sebut saja nama Dayang Nurfaizah, pastinya lagu – lagu balada nya sering membuatkan peminat serta pendengar terkesan sehingga menusuk kalbu.

Bagi meraikan perjalanan kerjayanya selama dua dekad sebagai penghibur, Dayang menjayakan sebuah konsert istimewa, Dayang Dua Dekad pada hari Ahad lalu, cukup membuatkan peminat-peminatnya teruja kerana buat pertama kalinya Dayang menerajui sebuah konsert secara solo.

Konsert dimulakan dengan lagu Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu 30, “Tak Pernah Menyerah” diikuti dengan lagu yang melonjakkan namanya di persada seni, “Seandainya Masih Ada Cinta”, membuatkan penonton tidak henti untuk ‘sing-along’ bersama Dayang yang anggun memakai busana berona gelap rekaan Rizalman Ibrahim.

Setelah mendendangkan beberapa lagu popularnya yang lain, Dayang sempat meluahkan rasa syukurnya kepada penonton kerana masih mampu menghiburkan peminat pada zaman ini yang dipenuhi dengan ramai penyanyi baru.

Syukur alhamdulillah, sudah lebih 20 tahun pun saya masih relevan dalam industri dan tak sangka boleh lagi menyanyi untuk peminat yang tidak jemu-jemu menyokong saya dari awal kemunculan hinggalah sekarang.”

“Terima kasih juga kepada rakan-rakan media, rakan seperjuangan dan pada semua yang membantu dan bersama Dayang selama ini,” ujarnya.

Dayang turut berkongsi tentang pengalaman awal kemunculannya yang diselang-selikan dengan nyanyian. Boleh dikatakan Dayang seorang yang kelakar dan cukup mesra bersama penonton.

Paling mencuit hati apabila sedang dia sibuk bercerita tentang lagu pertama yang dirakamkannya, “Kembalilah Sayang”, seorang penonton sempat mencelah memecah suasana penonton yang khusyuk mendengar celoteh Dayang.

Penonton itu bersuara tentang fesyen dan gaya rambut nya ketika persembahan lagu itu di Anugerah Industri Muzik (AIM) suatu ketika dahulu lalu dibalas Dayang,

“Gaya rambut pada zaman tu sangat special bagi saya dan takkan diulangi lagi,” celoteh Dayang.

Konsert Dayang Dua Dekad: Bukti Dayang Nurfaizah Kekal Relevan 2

Setelah hampir lapan buah lagu termasuk dua medley, Dayang hilang seketika untuk menyalin kepada persalinan serba merah bagi segmen seterusnya.

Peminat menjadi lebih teruja apabila rakan duet Dayang, Hael Husaini muncul memberi kejutan dengan mendendangkan lagu juara Anugerah Juara Lagu ke-33, “Haram” yang menjadi antara momen-momen menarik pada malam itu.

Konsert diteruskan dengan dendangan suara merdu Dayang membawa penonton kembali ke era nostalgia 50-an dan 60-an dengan menyanyikan beberapa lagu klasik kegemarannya oleh biduanita Saloma, Sanisah Huri dan Latifah Omar dalam busana kilat ‘lip-lap’, cukup cocok untuk segmen medley tersebut.

Konsert Dayang Dua Dekad: Bukti Dayang Nurfaizah Kekal Relevan 3

Beberapa selebriti terkenal turut menghadiri konsert pada malam itu seperti Datuk Syafinaz, Ziana Zain, Fauziah Latiff dan Misha Omar. Datuk Rizalman Ibrahim (mereka kesemua empat busana anggun Dayang pada malam itu) turut dilihat hadir ke konsert ditemani Neelofa.

Dayang sempat bergurau bahawa Datuk Rizalman adalah insan yang bertanggungjawab ‘memaksa’ nya bertukar kepada beberapa helaian busana untuk konsert tersebut. Sejujurnya, kami merasakan masa yang diperuntukkan agak lama setiap kali Dayang keluar pentas untuk menyalin pakaian.

Biarpun konsert itu dipenuhi dengan lagu-lagu balada, Dayang juga tidak lupa menyanyikan lagu-lagu berentak pop miliknya seperti “Ingin Kumiliki” serta single terbarunya, “Sebentar” yang baru dilancarkan Jun lalu.

Namun, kami berasa jika ada beberapa penari latar mengiringi Dayang ketika mendendangkan lagu-lagu rancak ini, mungkin boleh lebih menggamatkan lagi suasana konsert dayang dua dekad bersama penonton pada malam itu.

Dayang yang menyambut hari jadinya yang ke-38 pada 20 Julai yang lalu, mengakhiri konsertnya dengan lagu-lagu ‘berhantu’nya iaitu “Di Pintu Syurga”, “Lelaki Teragung” dan “Dayang Sayang Kamu” sebelum diberi kejutan sambutan hari jadi di atas pentas bersama peminat-peminatnya.

Bagi yang meminati Dayang sejak awal pembabitannya hingga sekarang, sememangnya Konsert Dayang Dua Dekad ini satu hadiah yang cukup istimewa buat peminat-peminat setianya. Sekaligus pencapaian ini membuktikan bahawa dia masih kekal relevan dan mampu menarik pelbagai lapisan umur peminat untuk datang menonton persembahannya.

Konsert Dayang Dua Dekad: Bukti Dayang Nurfaizah Kekal Relevan 4

Kredit Foto: Shiraz Projects & Echolaliapictures

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE