SEARCH

Konsert Gegaran DCODE Dunia Juara Menutup Tirai 2017 Dengan Bergaya

Konsert Gegaran DCODE Dunia Juara Menutup Tirai 2017 Dengan Bergaya

Konsert Gegaran DCODE Dunia Juara 2017 menggabungkan lima kugiran rock terkemuka dari lima generasi berbeza di atas satu pentas yang sama.

Konsert dibuka dengan persembahan bertenaga dari kumpulan Oh Chentaku dan Bunckface. Dua kugiran generasi baru ini nampaknya berjaya meletak mood rock dan memulakan tenaga yang luar biasa. Tak sudah-sudah anak muda berpusing-pusing di tengah Bulatan Bazarena, Stadium Shah Alam sambil moshing dari jam 5 petang.

Masuk jam lapan malam, kugiran senior Hujan meneruskan persembahan dengan seleksi lagu yang mengimbau kenangan. Lagu-lagu seperti “Pagi Yang Gelap”, “Lonely Soldier Boy” serta “Aku Skandal” yang dinyanyikan spontan bersama Nabila Huda sempena menyambut hari jadi pelakon wanita genit itu.

Yang paling saya suka lagu “Kotak Hati” yang jarang sekali dimainkan Noh pada konsert-konsert sebelum ini. Hujan pandai mengatur lagu agar pentas tidak canggung. Sesekali dia menyelit beberapa lagu baru.

Persembahan kumpulan rock alternatif dari seberang, Nidji juga tidak kurang hebatnya. Coldplay versi Indonesia ini menghiburkan peminat dengan lagu-lagu terbaik mereka seperti “Shadow”, “Sang Mantan”, “Biarlah”, “Laskar Pelangi” dan “Hapus Aku”.

Biarpun suara Giring (vokalis) agak rewan malam itu, persembahan mereka sangat menghiburkan. Nidji lah kumpulan yang paling banyak berinteraksi bersama penonton.

“Kamu semua sangat hebat. Doa kami kepada semua yang ada pada hari ini supaya (kalian) dikurniakan kesihatan baik, kerja bagus, keluarga bahagia dan kepada yang masih jomblo (solo), semoga cepat bertemu jodoh!” ucap Giring dalam nada bercanda.

Malam itu malam “konsert terakhir” mereka. Bukan mengucapkan kata-kata perpisahan. Pasalnya selepas ini, Giring akan menyambung kuliah selama dua tahun lagi dan berehat dari arena seni dan persembahan. Padanlah dia girang dan teruja semacam. Sempat dia berteriak yang malam konsert ini adalah malam terbaik selama 10 tahun mereka bertarung dalam dunia seni suara.

Konsert Gegaran DCODE Dunia Juara BY STAIL.MY 2

Yang paling utama, tentulah SEARCH – kumpulan rock legenda negara yang menutup tirai 2017 dengan sempurna. Ini kali pertama mereka menyanyikan secara langsung beberapa lagu dari album terbaru mereka yang berjudul “Katharsis” (2017).

Memang semua orang agak kebingungan pada awalnya. Malahan otai-otai juga kelihatan mengerut-ngerut dahi ketika Search menyampaikan lagu-lagu baru yang baharu sahaja dilancarkan 22 November lalu seperti “Henjut”, “Gagalista”, “Nama Yang Kau Lupa”, “Sidang Kanggaro”, “Bebas Liar” dan “Embun”.

Namun itu tidak memutuskan asa peminat-peminat rock yang hadir malam itu. Sebaik sahaja Amy (Search) mendendangkan “Isabella” (1989), semua orang kembali segar setelah berdiri selama hampir enam jam. Seterusnya, lagu-lagu berhantu mereka seperti “Pawana”, “Pelesit Kota” dan “Fantasia Bulan Madu” merasuk semula peminat-peminat yang kepenatan itu tadi kembali segar membunga.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE