SEARCH

#Review Hanya Cinta di Udara Konsert Siti Nurhaliza On Tour

#Review Hanya Cinta di Udara Konsert Siti Nurhaliza On Tour

Malam itu Axiata Arena gamat dengan sorakan lebih 10,000 sitizoners di Konsert Siti Nurhaliza On Tour 2019. Saya memasuki perkarangan stadium kira-kira jam 7:30 malam. Media diberikan kerusi istimewa, ruangan media diletak sebelah tepi stadium belah bawah, betul-betul bersebelahan area kerusi diamond yang saya rasa mencecah ribuan ringgit.

Begitu Dato’ Sri Siti menghargai pihak media. Kerusi disusun rapi dari hadapan sehingga ke belakang sekali. Saya rasa lebih 100 penonton hadir dari kalangan wakil media sahaja kerana kerusi-kerusi khas media yang begitu banyak tersedia. Tak kira media tempatan atau luar negara, konsert ini menempa kelas yang tersendiri.

Saya hadir awal kerana faktor free seating, konsepnya siapa datang dulu, dia duduk di barisan hadapan. Dan syukur saya antara yang terawal duduk di hadapan. Tujuannya mendapat pemandangan yang jelas dan lebih dekat dengan pentas. Lucu juga bila teringat semula kerana saya tidak pernah ‘beria’ seperti ini di konsert-konsert yang pernah saya hadiri sebelum ini.

Umpama sirih pulang ke ganggang, penyanyi wanita tersohor yang terkenal dengan lagu ‘Cindai’ ini sekali lagi kembali menggegarkan Axiata Arena yang dahulunya dikenali sebagai Stadium Putra Bukit Jalil. Kali pertama dia beraksi di pentas yang sama semasa Konsert Live Siti Nurhaliza kira-kira 20 tahun yang lalu.

Akhirnya, perasaan beria itu ternyata berbaloi. Begitu prestij, pentas ditutup sepenuhnya dengan tirai putih sebelum konsert benar-benar bermula. Kami dikhayalkan dengan pancaran animasi wayang kulit. Bunyi-bunyian alatan muzik tradisional memecah suasana.

Malaysia!!!” – teriak satu suara keramat di belakang tabir konsert Siti Nurhaliza On Tour. Stadium pun tak tinggal diam lalu bergempita dengan sorakan ribuan penonton di seluruh stadium sebaik mendengar jeritan tersebut.

Menyarung busana tradisional Puteri Perak berona emas diRaja yang ditata oleh Rizman Ruzaini, panggung dimulakan dengan segmen etnik kreatif dan tradisional. Bagaikan sakti, Siti membuka pentas dengan lagu medley “Badarsila”, “Joget Kasih Tak Sudah” dan “Joget Berhibur”. Segmen irama Malaysia diteruskan dengan tribut buat Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah Suhaimi menerusi lagu-lagu Siti yang mendunia seperti ‘Nirmala’, ‘Balqis’, ‘Hati Kama’ dan ‘Cindai’.

Malam itu, Siti mengidungkan lebih 30 buah lagu hits. Siti sempat berseloroh jika dia mendendangkan semua lagu-lagunya, konsert mungkin tamat keesokan harinya. Seluruh stadium menjerit “tak pa” (tidak mengapa) sampai mengukir senyuman sipu di pipi penyanyi nombor satu kesayangan negara ini. Malam itu juga, Siti membuat kejutan apabila memberi peluang kepada penonton memilih dua buah lagu untuk didendangkannya secara spontan dan langsung tanpa muzik.

Rantaian lagu yang dipersembahkan malam itu tidak hanya mengusik nostalgia malah menceritakan perjalanan seni Dato’ Sri Siti dari awal bermula sehingga sekarang.

Saya tidak menyangka saya menghafal kesemua lagunya, ikut merinai separa sedar sambil merakam beberapa buah lagu untuk dimuatnaik ke Instagram.

Gaun merah rekaan Fizi Woo menyala-nyala di tengah pentas, membuat semua terkesima dengan rantaian lagu-lagu ‘berhantu’ miliknya seperti ‘Biarlah Rahsia’, ‘Cuba Untuk Mengerti’, ‘Intrig Cinta’, ‘Pastikan’ dan ‘Seindah Biasa’.

Paling istimewa, lagu ‘Seindah Biasa’ disambut oleh penyanyi lelaki dengan suara lunak basah dari Indonesia, TULUS. Suka saya melihat chemistry yang dipamerkan kedua-dua penyayi versatil ini. Siapa lagi yang mampu menyanyi dan menarik vokal tanpa terjejas sambil berswafoto dan memegang telefon bimbit? Ya hanya Dato’ Sri Siti!

Segmen ketiga, Siti disimbahi dengan ribuan kristal yang menyinar bak bintang di busana berona biru-hitam hasil ciptaan Hatta Dolmat. Segmen ini adalah segmen akustik. Highlight segmen ini tentunya lagu ‘Anta Permana’, ‘Comel Pipi Merah’ dan ‘Jaga Dia Untukku’.

Dia hampir menitiskan air mata ketika meluahkan perasaan tentang insiden kemalangan yang menimpa suaminya, Datuk Khalid Mohd Jiwa atau senang disapa dengan panggilan Datuk K beberapa tahun lalu di New Zealand. Ujarnya, dia berehat selama empat bulan dari arena nyanyian kerana ingin memberi perhatian sepenuhnya merawat suami yang tercinta. Lagu ‘Jaga Dia Untukku’, dedikasi buat Datuk K.

“Takku di sini sebagai aku,

Kalau bukan keranamu,

Takku kecapi limpah kurniaan,

Semata upayaku,

Terima kasihku ucap,

Dari lubuk hati terdalam.

 

Setiap irama lagu serta baris bait,

Moga jadi azimat,

Setiap liuk jejari,

Setiap gemalai tarianku persembahkan

Semuanya bersandar kepada Cinta”

Bersandar Cinta, SimetriSiti (2017)

Cinta. Alasan kukuh untuk insan seni yang bernama Siti Nurhaliza Tarudin ini masih bertakhta sebagai penyanyi nombor satu Nusantara. Cinta pada yang Esa, suami dan keluarga, tidak lupa pada peminat dan media. Bersandar cinta, dia lah Siti Nurhaliza.

“Terima kasih ku ucap. Dari lubuk hati terdalam,” senandung Dato’ Sri Siti menutup tirai konsert #SitiNurhalizaOnTour.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE