Saat melangkah masuk ke Pameran Seni Leonardo da Vinci: Opera Omnia, saya disapa oleh satu lukisan yang sangat besar – ‘The Last Supper’ (1495) lukisan pelukis dan pencipta legenda, Leonardo da Vinci di dada pintu masuk Balai Seni Negara.
Leonardo, anak kepada seorang notari dan bangsawan di kota Florance, Itali, pada asasnya seniman yang belajar sendiri. Seninya berdasarkan keupayaan hebatnya meneliti alam semulajadi, keingin-tahuannya yang sentiasa membuak-buak, dipupuk pula serta dibajai oleh imaginasi yang meluap-luap.
Melalui kecemerlangan kajian santifik dan kehandalan daya cipta seninya, dia adalah tokoh besar yang lahir pada Zaman Pembaharuan Eropah atau Renaissance. Bakat kreatifnya yang pelbagai ragam mengejutkan masyarakat di zamannya dan juga zaman-zaman mendatang apabila kemasyhuran Leonardo menebar ke seluruh pelusuk dunia.

Leonardo da Vinci: Opera Omnia memaparkan kehidupan dan kepintaran luar biasa tokoh seniman agung ini menerusi karya-karya lukisannya yang mendunia.
Tujuh belas buah lukisan salinan merenteti perjalanan seni pelukis ini – dibuat dengan menggunakan kaedah-kaedah digital yang canggih – hampir-hampir membuatkan pengunjung seolah-olah berada di hadapan karya-karya aslinya. Lukisan-lukisan agung antaranya Mona Lisa (1503) dihasilkan semula mengikut ukuran asal.
Kesan daripada pencahayaan yang dilaraskan dengan begitu bijak, lukisan-lukisan salinan ini berjaya menimbulkan pelbagai macam perasaan. Seperti kamu menelitinya di muzium-muzim seni terkemuka di seluruh Eropah sana. Tak perlu khuatir kerana terdapat keterangan ringkas tersediakan di setiap penjuru bagi setiap lukisan untuk kamu memahami lanjut tentang satu-satu lukisan yang dipaparkan.
Keseluruhan pengalaman menghayati karya-karya di Pameran Seni Leonardo da Vinci: Opera Omnia ini menyajikan satu perspektif luar biasa untuk memahami pelbagai kepintaran seni dan minda kreativiti seorang Leonardo da Vinci.
Leonardo da Vinci: Opera Omnia Balai Seni Negara Sehingga 15 Ogos 2019 Kemasukan adalah PERCUMA







Leave a Reply