SEARCH

Selepas ‘Bunga’, Ara Johari Berikan ‘Paku’ Kepada Peminat

Selepas ‘Bunga’,  Ara Johari Berikan ‘Paku’ Kepada Peminat

Biarpun muncul di arena seni muzik tempatan pada usia yang agak muda, pemilik nama Nurfarrah Izzatie Johari atau lebih mesra dipanggil Ara Johari di kalangan peminatnya tidak pernah mengenal erti penat dan lelah dalam memberikan yang terbaik. Bekas peserta AF Megastar dan finalis Akademi Fantasia 2016 ini kembali memeriahkan industri muzik tanah air dengan sebuah lagi lagu terbaru berjudul Paku.

Istimewanya kali ini, Ara sendiri menyumbangkan lirik untuk lagu ketiganya ini selepas “Warkah Untukku” dan “Bunga” yang sempat bermain di bibir peminat seluruh Malaysia. “Paku” dicipta oleh Kadok dan Tukang Musik manakala liriknya pula nukilan Ara bersama Shasha K.

Lagu ‘Paku’ ini mengisahkan tentang perasaan cinta terpendam seorang lelaki terhadap pasangannya. Si lelaki tersebut sanggup menunggu bertahun lamanya dan tetap berusaha untuk menambat hati sang wanita. Berkat doa dan kesabaran, akhirnya mereka bersatu dan membina mahligai bersama.

paku - ara johari by stail.my 1

Simboliknya adalah lelaki sebagai ‘tukul’, wanita sebagai ‘paku’. ‘Paku’ memerlukan ‘tukul’ untuk mengukuhkan ikatan cinta mereka. Jika ditakdirkan tidak bersama, ‘tukul’ tetap digunakan untuk meleraikan ‘paku’ itu” – Ara Johari

Menurut Feros, Ketua Label Muzik, Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd.,

“Ara penyanyi wanita muda yang berbakat besar. Kehebatan vokal dia tidak perlu lagi dipersoalkan. Kita boleh lihat menerusi dua lagunya sebelum ini yang berjaya menaikkan nama Ara Johari. Jadi, saya amat berharap ‘Paku’ juga bakal mengulangi kejayaan yang sama,” ucapnya di sidang bersama media.

Ia diterbitkan sepenuhnya oleh Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd. dan bakal menemui peminat-peminat di corong-corong radio seluruh Malaysia tidak lama lagi.

Paku boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE