SEARCH

3 Jalan Wajib Lalu Di Melaka Heritage Trail Untuk #inSTAILgramworthy2018

3 Jalan Wajib Lalu Di Melaka Heritage Trail Untuk #inSTAILgramworthy2018

Angin sepoi bahasa menyapa pipi dengan panas terik Melaka menyambut kehadiran kami (sidang redaksi STAIL.MY) yang baru sahaja tiba di The Majestic Malacca sempena #inSTAILgramworthy edisi 2018.

Usai urusan check in dan meletak segala macam beg di bilik masing-masing, kami bergegas ke ruang lobi untuk menjalani #MelakaHeritageTrail anjuran hotel mewah yang dibina pada tahun 1929 ini.

Pakej ini lengkap dengan seorang pemandu pelancong yang sedia melayani dan membimbing kami sepanjang sesi jelajah budaya negeri bersejarah ini. Tepat jam 5 petang, kami memanjang langkah sambil dibekalkan dengan payung (takut-takut kalau hujan atau kepanasan) seorang demi seorang.

#instalgramworthy2018 Melaka Heritage Trail by STAIL.MY 1 majectic malacca

Melaka Heritage Trail harus kamu jalani bagi mendalami negeri Melaka dengan lebih dekat

#instalgramworthy2018 Melaka Heritage Trail by STAIL.MY 2 streetart sungai melaka

SUNGAI MELAKA & KAMPUNG MORTEN

Menyelusuri Sungai Melaka yang berlagu tenang petang itu. Kami menyeberangi sungai untuk sampai ke lokasi pertama, Villa Sentosa yang terletak di Kampung Morten, kampung yang dipenuhi dengan aneka rumah-rumah tradisional Melayu Melaka, betul-betul berhadapan dengan The Majestic Malacca.

Kampung Morten dinamakan sempena nama seorang pegawai British yang bertanggungjawab membuka penempatan ini pada era 1920an. Villa Sentosa pula adalah salah satu rumah di dalam Kampung Morten yang dibuka dan diubah menjadi muzium untuk kunjungan orang ramai dan pelancong asing.

Di sini kamu boleh mengamati seni bina Melayu klasik dan barangan-barangan bersejarah sejak dari zaman British lagi seperti Plat Penghargaan King George V serta himpunan barangan antik Melaka lama. Kemasukan adalah percuma tetapi kamu digalakkan untuk menderma sebanyak RM3 untuk satu kepala.

Villa Sentosa #instalgramworthy2018 Melaka Heritage Trail by STAIL.MY

#instalgramworthy2018 Melaka Heritage Trail by STAIL.MY 2 kampung mortenDeretan rumah-kedai lama masih utuh bau seni bina abad ke 18. Seakan-akan wujud satu perasaan berada di zaman purbakala. Seni bina yang memukau dan unik masih terjaga keasliannya. Ditambah dengan seni dinding yang mendominasi pemandangan Sungai Melaka. Rapi dan cantik-cantik belaka.

Selama berabad lamanya, Sungai Melaka menjadi nadi kepada perkembangan dan tamadun awal di Melaka. Suatu masa dahulu sungai ini padat dengan sampan, jong-jong dan kapal besar yang datang berdagang di Pelabuhan Melaka. Sekarang kamu boleh menaiki bot pesiar yang tersedia pada sesi siang dan malam.

Perjalanan melewati sungai ini mengambil masa selama 45 minit dan saya sarankan supaya kamu mengambil bot pada sesi malam kerana pemandangan sungai yang lebih indah, dihiasi neon-neon yang berkerdipan dan lampu bercahaya terang.

Dari sini kami memasuki zon tengah Tapak Bersejarah Dunia UNESCO. Tidak kisah untuk kamu memasuki laluan atau lorong yang mana. Cukup asal kamu sempat menjelajahi tiga lorong utama yakni Jalan Tokong, Jalan Tukang Emas dan Jalan Hang Jebat (Jalan Jonker) serta beberapa lorong kecil antaranya, sudah memadai.

#instalgramworthy2018 Melaka Heritage Trail by STAIL.MY Heesan Kopi

Jalan Tokong & Jalan Tukang Emas

Terdapat beberapa makam bersejarah yang bersemadi di sini, pertama adalah Makam Hang Jebat yang terletak di Jalan Kampung Kuli, lorong kecil yang terkenal kerana terdapat penempatan kuli atau buruh di kawasan ini pada zaman pemerintahan Kesultanan Melaka dan waktu penjajahan British.

Siapalah yang tidak kenal Hang Jebat? Antara lima panglima bersahabat yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan mencurah taat setia yang tak terhingga kepada Sultan Melaka pada zaman dahulu kala.

Namun sejarah meriwayatkan Hang Jebat sebagai penderhaka kerana berang dengan berita kematian sahabat baiknya, Hang Tuah yang diperintah mati oleh Sultan dan dia dituduh melakukan hubungan sulit dengan dayang Istana yang bernama Dang Wangi. Akhirnya, Hang Jebat rebah dipangku Hang Tuah sendiri setelah tiga hari tiga malam mereka bertarung dan beradu tenaga merebut keris Taming Sari.

#instalgramworthy2018 Melaka Heritage Trail by STAIL.MY makan hang jebat
Makam Hang Jebat

 

#instalgramworthy2018 Melaka Heritage Trail by STAIL.MY laman seni street art

Betul-betul di seberang makam Hang Jebat ini pula terdapat Laman Seni yang jarang diketahui ramai. Di lorong ini terdapat banyak lukisan dinding dan seni jalanan yang menangkap perhatian. Tidak hanya di Pulau Pinang, di Melaka juga kamu boleh bergambar dengan hasil-hasil seni secara percuma. Jadi siap sedia untuk spot #inSTAILgramworthy kamu di sini!

#instalgramworthy2018 Melaka Heritage Trail by STAIL.MY Cheng Hoon Teng Temple

Setelah itu kamu akan disambut oleh Cheng Hoon Teng Temple iaitu tokong cina tertua di Malaysia yang dibina pada 1678. Namanya bermaksud “Awan Yang Cerah”, membawa falsafah dan harapan tinggi orang Cina Selat dan Peranakan yang diam ke Tanah Melayu pada zaman itu. Cheng Hoon Teng Temple didedikasikan buat Dewi Kuan Yin, tokong ini turut digunakan untuk penganut aliran Tao, Budha dan Confucius. Jalan Tokong dinamakan sempena tokong-tokong yang berada di lorong ini.

 

#instalgramworthy2018 Melaka Heritage Trail by STAIL.MY masjid kampung kling

Di hujung simpang, kami memasuki pula Jalan Tukang Emas. Seperti Jalan Kampung Kuli, jalan ini dinamakan sempena industri besi dan emas yang terdapat di sini sejak zaman Kesultanan Melaka lagi. Namun kini jalan ini lebih dikenali sebagai Jalan Harmoni kerana keberadaan tiga rumah ibadat agama utama di Malaysia yang selang hanya beberapa meter antara satu satu lain.

Masjid Kampung Kling hanya beberapa meter jauhnya dari Cheng Hoon Teng Temple dan Kuil Sri Poyatha Vinagara Moorthy. Masjid ini memadukan senibina Sumatera, Melayu, Jawa, India, Cina dan sedikit sentuhan barat.

Senibina utama yang sangat istimewa kerana nuansa Hindu/Budha yang dianuti orang Melayu sebelum kedatangan Islam. Ruang dalamannya pula dihiasi dengan seramik Portugis dan lampu gantung era Victoria serta tiang besar Belanda. Minaret atau menara masjid yang dipengaruhi pagoda cina dengan gerbang masuk seperti candi purba.

#instalgramworthy2018 Melaka Heritage Trail by STAIL.MY Cheng Hoon Teng Temple jonker walk

Jalan Hang Jebat / Jalan Jonker

Di lorong yang tidak jauh dari situ, terdapat makam Hang Kasturi yang terletak di Jalan Hang Jebat (jangan keliru kerana makam Hang Jebat tidak berada di jalan Hang Jebat). Hang Kasturi adalah adik kandung kepada Hang Tuah.

Asap colok menari-menari di depan deria. Suasana yang meriah dengan pelbagai keunikan buat halwa semua. Deretan kedai dan hotel butik tersemat indah sepanjang Jalan Hang Jebat atau yang sangat terkenal sebagai Jalan Jonker ini. Tidak lengkap kunjungan kamu ke Melaka jika tidak mengunjungi. Saya sarankan kamu kembali pada malam hari kerana terdapat pasar malam yang meriah dengan aneka jualan dan makanan khas Melaka.

Di lorong ini juga terdapat Muzium Budaya Cheng Ho. Cheng Ho atau Zheng He adalah laksamana Cina Muslim dari Tanah Besar China yang berkelana ke rantau Nusantara membawa pengaruh kerajaan Cina dan bertanggungjawab mengikat jalinan hubungan diplomatik dengan kerajaan-kerajaan Melayu yang tersebar luas di Kepulauan Melayu.

Sifat saling hormat-menghormati dan toleransi serta pertembungan dua budaya dan bangsa besar ini lah yang menjadikan Melaka istimewa, sampai ke hari ini.

#instalgramworthy2018 Melaka Heritage Trail by STAIL.MY Cheng Hoon Teng Temple 1

#instalgramworthy2018 Melaka Heritage Trail by STAIL.MY 3

#instalgramworthy2018 Melaka Heritage Trail by STAIL.MY orang utan house

A post shared by STAIL.MY (@stail.my) on

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE