SEARCH

#REVIEW Maleficent 2 Biasa-Biasa, Hanya Busana Berjaya Selamatkan Mereka

#REVIEW Maleficent 2 Biasa-Biasa, Hanya Busana Berjaya Selamatkan Mereka

Maleficent 2 Meneroka Feminisme Toksik Daripada Kalangan Wanita

Filem: Maleficent: Mistress of Evil (2019)
Sutradara: Joachim Rønning
Pemeran: Angelina Jolie
Verdik: 7/10

Bermula Maleficent (2014), Linda Woolverton selaku penulis lakon layar berani menambah sifat feminisme untuk karakter ahli sihir jahat bertanduk yang sangat terkenal daripada animasi klasik Disney, Sleeping Beauty (1959) ini.

Sejak kebelakangan ini, banyak filem animasi Disney sudah hilang keasliannya. Syukurlah, Maleficent (Angelina Jolie) kembali menyuntik beberapa ‘keaslian’ (baca: sarkastik) yang sangat diperlukan ke dalam rumah produksi tikus legenda ini dalam sekual Maleficent: Mistress of Evil (Maleficent 2).

Walaupun ia menyusuli filem pertama yang secara drastik tidak mengikuti bahan sumber asalnya, ‘Maleficent 2’ tidak memiliki apa-apa hubungan dengan dongeng Sleeping Beauty lagi. Sebaliknya, ‘Maleficent 2’ terasa seperti filem epik fantasi yang baru, yang disesakkan dalam satu filem dan diapit di tengah-tengah kisah dongeng sebagai pelaris. Ia filem anti-perang melodramatik dengan pencitraan ringan. Ia opera camp moden yang menampilkan Angelina Jolie, Michelle Pfeiffer dan Elle Fanning selaku tiga sosok feminis yang kontra dan berbeza.

‘Maleficent 2’ berjalan selepas lima tahun insiden filem pertama, dengan puteri angkat Maleficent, Aurora (seorang manusia) diangkat menjadi Queen of The Moors (Ratu Moors), kerajaan bunian magis yang dihuni oleh golongan pari-pari serta makhluk ajaib seumpamanya. Aurora (Ella Fanning) berharap pernikahannya dengan Putera Phillip (Harris Dickinson) akhirnya dapat menyatukan dunia manusia dengan dunia pari-pari. Walau bagaimanapun, mereka perlu bertemu ibubapa masing-masing sebelum mendapat restu bagi meneruskan majlis perkahwinan bersejarah ini. Di sini lah konflik bermula.

Pertama-tama, Maleficent melakukan yang terbaik untuk tersenyum tanpa terlihat mengancam nyawa manusia (yang sedia takut padanya) di sekitarnya. Dia cuba sedaya upaya demi kebahagiaan kesayangannya, si Aurora. Malefient cuba beralah dengan menguasai seni bahasa manusia untuk menarik perhatian orang tua Phillip, King John (Robert Lindsay) dan Queen Ingrith (Michelle Pfeiffer). Ia adalah satu langkah lucu yang tidak disangka-sangka untuk karakter yang begitu muram, dan Jolie melakukannya dengan baik sekali. Maleficent malah sanggup mengenakan selendang bagi menutup tanduknya tadi.


Ellen Mirojnick selaku pereka kostum menyelamatkan Maleficent : Mistress of Evil dengan busana yang indah dan mewah

Maleficent 2 mengajar kita kerana cinta, nurani boleh sahaja berubah dari baik ke jahat & sebaliknya

Sementara filem pertama menggunakan bekas kekasih Maleficent, King Stefan sebagai watak yang mewakili sifat maskulin toksik (yang dahagakan perang dan kekerasan), ‘Maleficent 2’ mengangkat Queen Ingrith untuk meneroka bentuk manipulasi yang lebih halus yakni feminisme toksik. ‘Maleficent 2’ mengakui watak jahat tidak hanya termaktub untuk golongan lelaki. Kadang-kadang ia adalah wanita berambut perang yang kaya-raya, menyembunyikan sifat prasangka dan niat keji di balik kata-kata sopan dan gaun diraja. Tidak perlu banyak masa untuk Queen Ingrith menusuk-nusuk Maleficent dengan provokasi sehingga Aurora, si polos (boleh dikatakan bengap) berpihak kepadanya.


Seperti filem ‘Avatar’ (2019), ‘Maleficent 2’ menggunakan modal peperangan antara makhluk semula jadi yang baik hati dengan kaum manusia yang punyai hati yang dingin

Sementara filem pertama mengeksplorasi sikap prasangka dan putaran keganasan yang berterusan, ‘Maleficent 2’ memperkembangkan tema itu dalam skala peperangan besar. Terdapat banyak kesalahan dalam babak ini yang saya rasa tidak perlu saya tuliskan. Cukup untuk kamu tahu betapa janggalnya peperangan ini ketika kamu menontonnya nanti. Keseluruhan jalan cerita, entah apa-apa.

Sepertinya pengarah, Joachim Rønning tergopoh-gopoh dalam melangsaikan tema berat ini. Linda dan Joachim membuat keputusan yang sangat liar dan rawak, terus-menerus mengeksploitasi nilai-nilai kekejaman dengan siri pembunuhan beramai-ramai dalam peperangan tanpa henti. Kemudian menyelami kembali nada sitkom seperti tiada apa-apa berlaku untuk menghabisi filem ini dengan unsur happy ending.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE