SEARCH

Retro + Raggae: ‘Ragaman’ Tampil Sisi Muda Faizal Tahir

Retro + Raggae: ‘Ragaman’ Tampil Sisi Muda Faizal Tahir

Penyanyi, komposer dan penerbit Faizal Tahir menampilkan sisi berbeza melalui single terbaru yang bertajuk Ragaman. Kelainan yang ditonjolkan bukan sahaja dari segi gubahan muzik, malah dari segi genre yang mempunyai elemen reggae dalam penyampaiannya.

‘Ragaman’ menceritakan tentang kisah seorang suami yang sabar melayani kerenah isteri yang bermacam-macam ragam. Gandingan trio komposer Faizal Tahir, Mike Chan dan Romeo sentiasa tampil dengan idea segar, sekali lagi memberi sentuhan magis mereka menerusi ‘Ragaman’.

Gubahan muzik yang menggabungkan elemen reggae dan nuansa pop 60an menjadikan lagu ini suatu sajian muzik yang mempunyai tarikan tersendiri, berbanding dengan lagu-lagu pop tipikal yang berada di pasaran muzik masa kini.

Jarang sekali mendengar lagu yang mengandungi lirik kolokial atau ‘bahasa pasar’ dalam sesebuah lagu nyanyian Faizal Tahir. ‘Ragaman’ kedengaran lebih santai dan ceria. Istimewanya, Faizal turut menyelitkan suara anak-anaknya sendiri dalam lagu ‘Ragaman’ ini.

Faizal Tahir Ragaman by STAIL.MY 1

“Lagu ini menawarkan sisi berbeza saya, kalau sebelum ini lagu-lagu ciptaan saya mengangkat tema yang lebih serius dan mendalam tetapi dalam Ragaman, saya menggunakan tema yang lebih santai dan ‘terkait’ dengan pendengar.

Bukan feel dan mood lagu saja yang berbeza malah cara penyampaian pun punya kelainannya apabila Ragaman dinyanyikan dalam gaya teaterikal,” ulas Faizal Tahir di sidang media pelancaran ‘Ragaman’ yang berlangsung di ibu pejabat Warner Music Malaysia di Mutiara Damansara.

Mungkin Faizal Tahir cuba mengeksprimentasi lagu-lagu yang boleh menambat minat dan lebih dekat dengan generasi muda sekarang. Lihat sahaja lagu-lagu nyanyian Altimet yang lebih banyak memainkan isu semasa dengan penggunaan bahasa pasar yang bersahaja.

Dan rentak retro yang kembali mendapat tempat di hati anak muda Malaysia. Misalnya Kugiran Masdo dan Hujan yang banyak memainkan genre ini. Nampaknya, Faizal juga ingin menguji teori. Kita lihat penerimaan pendengar nanti.

Apa-apa pun, ‘Ragaman’ adalah hasil ciptaan Faizal sendiri bersama Mike Chan dan Romeo. Manakala lirik pula nukilan bersama Faizal, Mike Chan, Karim Karam dan Jaare. Lagu ini diterbitkan oleh syarikat rakaman milik Faizal sendiri iaitu Faithful Music dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai pengedar rasmi.

Ragaman boleh didengarkan di semua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music. Dengarkan ‘Ragaman’ di bawah:

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE