SEARCH

15 Soalan Bersama Midnight Fusic – Tentang Muzik, Kembara & Inpirasi Remaja

15 Soalan Bersama Midnight Fusic – Tentang Muzik, Kembara & Inpirasi Remaja

Pertama kali mendengar “Heart of May” di satu stesen radio bebas, saya jadi kagum dengan kugiran yang satu ini. Muzik mereka setaraf antarabangsa dan tidak banyak kugiran tempatan yang bermain genre muzik seperti Midnight Fusic.

Jujurnya, pada mulanya saya menyangka mereka band dari luar negara. Sengaja saya gelintar di Youtube untuk mendengarnya lagi dan apa yang saya temui sangat menarik di hati. Faktanya, mereka masih lagi muda dan di alam persekolahan (semasa itu).

“Wow”, getus hati saya. Saya kira ini penemuan yang membanggakan. Siapa sangka anak muda kita sebenarnya mampu menghasilkan muzik-muzik berkualiti seperti ini. Tahun ini sahaja mereka telah melakukan persembahan sampai ke Jakarta, Indonesia.

Membuatkan saya ingin tahu dengan lebih dekat, siapakah gerangan darah-darah muda yang berbakat ini. Kugiran yang menarik seperti Midnight Fusic ini layak untuk diketengahkan.

1 – Pertama, terangkan makna di sebalik nama ‘Midnight Fusic’?

Nama band kami adalah ‘Midnight Fusic’, hasil pilihan Arif (vokalis) pada 2013. ‘Midnight’ kerana kami berjaga sehingga larut malam, menulis lirik dan menyiapkan lagu-lagu kami. ‘Fusic’ pula gabungan ‘fusion of music’ atau ‘food & music’.

2 – Perkenalkan ahli kumpulan kamu, buat mereka yang belum lagi mengenali.

Kami semua sebaya, semuanya berusia 18 tahun. Penyanyi utama atau vokalis dikemudi oleh Arif Kamarudin, diikuti dengan gitar utama dan suara sokongan oleh Adrian Danial, Firdaus Azmi selaku bassist dan drum dimainkan oleh Muaz Rabbani.

3 – Terangkan pula tentang alatan muzik yang dimainkan kamu?

Kebanyakan alatan muzik kami dari Roland dan Fender. Arif dan Adrian menggunakan Fender Stratocasters kerana ia sangat versatil dan menyedia nota-nota muzik yang jelas.

Firdaus bermain Fender Jazz Bass dan ketiga-tiga kami menggunakan Bose Roland Multi-FX processors. Akhir sekali, Muaz menggunakan genderang jenama Roland jenis SPD-SX kerana ia senang dibawa.

4 – Midnight Music di bawah naungan rumah rakaman?

Sony Music Malaysia. Pada pertengahan 2017, semasa pengurus kami mendekati Arif dan kami semua untuk ujibakat, sejurus selepas demo pertama kami yang bertajuk “Heart of May”.

5 – Berapa lama kamu mengenali sesama sendiri? Bagaimana kamu semua berjumpa?

Sudah dua tahun bersama sebagai Midnight Fusic, tetapi kami mengenali antara satu sama lain lebih lama dari itu. Muaz, Arif dan Adrian berkawan sejak 2013 lagi dan bertemu dengan Firdaus pada 2015 ketika Arif berkerjasama dengan band pertama Firdaus.

6 – Bilakah kamu menubuhkan Midnight Fusic dan apakah inspirasi bermain muzik bersama?

Midnight Fusic bermula secara duo pada 2013, lama-kelamaan kami menambah dua lagi ahli sehingga awal 2016. Melihat kugiran-kugiran kegemaran kami berkembang dan berjaya dari permulaan yang sederhana, amat memberi inspirasi. Kami mahu melakukan kembara muzik dan jelajah dunia, suatu hari nanti.

7 – Nyatakan genre dan pengaruh utama muzik kamu?

Indie/alternative rock. Kami banyak merujuk kepada kugiran-kugiran besar genre ini. Misalnya, ‘The 1975’, ‘Bad Suns’ dan ‘The Kooks’.

8 – Lagu cover yang sering dimainkan?

Kami sering menyanyikan cover seperti “Junk of Heart” oleh The Kooks, “The Way You’d Love Her’ oleh Mac Demarco dan “Pagi Yang Gelap” oleh Hujan.

9 – Siapa yang menulis lirik di kalangan kamu? Apakah tema lagu-lagu itu?

Praktikalnya, kami semua menulis dan mengubah muzik yang bersesuaian dengan alatan muzik yang dimainkan. Namun selalunya Arif dan Adrian yang banyak menulis lirik lagu. Lagu-lagu itu kami tuliskan menurut pengalaman yang dilalui kami dalam kehidupan sehari-hari. Ia berkembang dari hari ke hari.

DARI KIRI: Firdaus, Adrian, Arif & Muaz
10 – Apakah Muzik kamu sudah berevolusi sejak awak penubuhan? Atau masih kekal dan sama lagi?

Sebagai pasukan, kami berharap agar muzik kami semakin hari semakin maju. Kami belajar benda-benda baru dan selalu mencuba untuk menyerapkannya ke dalam muzik dan penulisan lagu.

11 – Apakah cabaran terbesar yang dilalui Midnight Fusic?

Salah satu cabaran terbesar yang dilalui kami ketika persembahan langsung, muzik yang dimainkan tidak kena dengan muzik kebiasaan kami. Selalunya alatan muzik kami tidak selari dengan sambungan yang disediakan penganjur acara.

12 – Arah tuju Midnight Fusic?

Seperti yang diperkatakan sebelumnya, impian kami untuk kembara muzik seluruh dunia. Bermain di festival-festival muzik terkemuka dan bermain muzik sampai bila-bila.

13 – Nasihat kamu untuk anak muda di luar sana yang ingin menubuhkan band?

Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang kamu cinta. Jangan ubah kugiran kamu hanya kerana mengikut selera arus perdana. Selagi kamu melakukan apa yang kamu suka, kamu sudah selangkah ke arah kejayaan. Jadi diri kamu. Jangan biarkan anasir luar mengubah siapa diri kamu yang sebenarnya dan muzik kamu. Just be happy with yourself.

14 – Bagaimana peminat-peminat boleh mendengar muzik kamu? Sebarang album atau penstriman muzik atas talian?

Muzik kami boleh didapatkan di semua platform muzik atas talian, juga laman rasmi Youtube. Dengarkan juga single terbaru kami bertajuk “Lovesick”.

15 – Kata-kata terakhir?

Kami hanya mahu mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat-peminat untuk sokongan padu mereka. Yang hadir pada persembahan kami, yang melayari muzik atas talian kami. Mereka yang berusaha menghantar mesej positif dan kata-kata semangat di Youtube. Kami sangat terharu dengan penerimaan (muzik) yang diberikan mereka. Midnight Fusic tak dapat bertahan tanpa sokongan peminat-peminat.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE