SEARCH

Pada Usia 53, Ogy Ahmad Daud Masih Lagi Aktres Terbaik Yang Kita Miliki

Pada Usia 53, Ogy Ahmad Daud Masih Lagi Aktres Terbaik Yang Kita Miliki
KUALA LUMPUR 21 MAY 2016. Fauziah Datuk Ahmad Daud merangkul trofi Pelakon Wanita Drama TV Terbaik di malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2016 di Auditorium Perdana Angkasapuri. NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Ogy pulang bangga dengan trofi Pelakon Wanita Drama TV Terbaik di majlis Anugerah Seri Angkasa 2016. Gambar: Berita Harian

Masih belum terlambat kiranya untuk mengucap syabas buat primadona, living legend dan karyawan Fauziah Ahmad Daud kerana penganugerahan trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada Anugerah Bintang Popular BH Ke-29 (ABPBH 29) yang berlangsung dua minggu lalu.

Dan sebagai bukti dia masih yang paling hebat, Sabtu malam lalu Ogy sekali lagi diberi penghargaan sebagai Pelakon Wanita Drama TV Terbaik Anugerah Seri Angkasa. Melakonkan watak Cikgu Mahyon dalam drama arahan Rashid Sibir berjudul Harus Terpisah, Ogy mengetepikan calon hebat lain seperti Fauziah Nawi, Vanidah Imran, Siti Shahriza dan Fatimah Abu Bakar.

Dalam satu temu bual bersama akhbar Berita Harian Ogy memberitahu dia begitu teruja dengan kemenangan ini setelah dicalonkan sebanyak tiga kali tanpa kemenangan. “Syukur ke hadrat Ilahi di atas kemenangan ini. Ini adalah kali ketiga saya dicalonkan dan kali ini baru menang. Terima kasih juga kepada pengarah, Rashid Sibir dan ‘hero’ saya, Nasir Bilal Khan yang turut memenangi Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik.” Katanya dalam temu bual serupa.

Memulakan kerjaya lakonan sejak kecil lagi, filem pertamanya sebagai peranan utama adalah menerusi filem Hati Batu (1973). Era kegemilangan primadona ini bermula di awal 80-an dengan senarai filem-filem blockbuster seperti Azura, Ali Setan, Suara Kekasih dan Puteri.

Pada majlis Festival Filem Malaysia yang pertama, Ogy menerima anugerah pertamanya bagi filem Ceritaku Ceritamu untuk kategori Pelakon Harapan Wanita Terbaik. Selepas itu dia dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Ali Setan dan Puteri.

Mengambil petikan ucapan malam ABPBH29 yang lalu, saya fikir apa yang dikatakan primadona ini harus dijadikan bahan fikir untuk semua bakat seni, pelakon-pelakon baru terutamanya.

“Belajar melihat dan menilai seni itu dengan mata hati kerana ada rahsia Allah yang terpatri dalam seni. Bila anda terpilih dan dianugerahkan menjadi seorang insan seni anda punya tanggungjawab memartabatkan seni bukan untuk melacurkan seni”

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE