SEARCH

5 Soalan Bersama Pat Ibrahim Tentang Survival Seni Teater Di Malaysia

5 Soalan Bersama Pat Ibrahim Tentang Survival Seni Teater Di Malaysia

Setelah muncul dengan produksi sulung berjudul Bangsawan: Dendam Laksamana pada November 2017 lalu, kini Pat Ibrahim Project Entertainment (PIPE) maju setapak lagi, membawa acara di bawah Siri Semarak Bangsawan dengan skala yang lebih besar.

Mendapat sokongan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), PIPE akan menganjurkan Jerayawara Pekan Bangsawan Warisan Budaya (JPBWB) yang bermula Jun 2018 ini dan melibatkan lapan buah negeri di Semenanjung Malaysia.

Festival jelajah ini mengandungi empat komponen di dalamnya yang terdiri dari forum, pameran dan jualan, bengkel budaya dan persembahan. Misi JPBWB adalah untuk memelihara santun Melayu, budaya dan warisan terutamanya dalam seni persembahan teater.

Saya sempat menemubual teraju Jerayawara Pekan Bangsawan Warisan Budaya itu sendiri, Pat Ibrahim di sidang media yang berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), baru-baru ini – tentang kemandirian seni di kalangan generasi muda dan survival seni teater di Malaysia, seperti yang tertera:

Pat Ibrahim Jerayawara Pekan Bangsawan Warisan Budaya Dendam Laksamana by STAIL.MY 1

1 – Terangkan Jerayawara Pekan Bangsawan Warisan Budaya ini secara ringkas?

Teater ‘Bangsawan: Dendam Laksamana’ sudah kami pentaskan sejak tahun lalu di bawah program Siri Semarak Bangsawan oleh JKKN. Ia intepretasi baharu tentang kisah Sultan Mahmud Mangkat Di Julang.

Persoalan yang bermain di minda kita semua, bagaimana agaknya sudut pandangan Laksamana Bentan Megat Seri Rama yang memberontak akibat isterinya yang sarat mengandung, Wan Anum yang dihukum bunuh oleh Sultan Mahmud Syah II gara-gara hanya mengidam buah nangka?

Kami pentaskan pementasan ini dari sudut perspektif Laksamana Bentan dan mengikut acuan teater muzikal yang akan kami bawakan jelajah lapan negeri seperti Johor, Melaka, Pahang, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Ia seperti “teater bergerak”.

2 – Memandangkan orang Malaysia lebih mengenali Sultan Mahmud berbanding Laksamana Bentan, tidakkah dengan menukar tajuk bakal membantutkan minat penonton untuk menonton teater ini?

Saya ada terfikirkan tentang hal ini. Namun bagi saya, kisah dan pemikiran baharu ini juga perlukan tajuk dan nama yang baharu. Bila sudah menjadi wadah persembahan, ia bukan lagi hanya sekadar kisah sejarah, tetapi apa yang boleh kita manfaatkan dan pelajari dari kisah legenda Melayu itu sendiri.

Secara peribadinya, saya sebagai penglipur lara ingin menyampaikannya secara liburan. I want to entertain. Kedua, jika usaha dan kerja-kerja seni saya ini dapat memberi pelajaran kepada mereka yang melihatnya. Mereka belajar tentang budaya, seni dan sejarah Melayu kita, saya sudah cukup bersyukur.

Pat Ibrahim Jerayawara Pekan Bangsawan Warisan Budaya Dendam Laksamana by STAIL.MY 2

3 – Pada pendapat kamu, kenapa golongan muda di Malaysia seakan tidak berminat akan seni persembahan teater?

Pendedahan. Jika kamu tidak didedahkan kepada dunia persembahan dan seni lakonan, bagaimana kamu mahu mengenali dan mencintai seni persembahan teater, bukan? Jika mereka, golongan muda, tidak faham, bagaimana mereka akan suka?

Jadi, berbekalkan kesedaran ini, kami mengadakan Jerayawara Pekan Bangsawan Warisan Budaya ini. Cita-cita saya mahu memperkenalkan seni teater ke seluruh Malaysia.

4 – Terangkan cara mengatasi permasalahan ini?

PIPE mahu mewujudkan kesedaran tentang keperluan untuk menyatukan bakat-bakat muda dari pelbagai cabang teater seperti tarian, muzik dan penulisan, yang mencari peluang dalam kerja kreatif dan juga usaha kerajaan untuk membentuk masyarakat patriotisme dan mengenali jati diri secara progresif.

PIPE amat peka terhadap kepentingan menarik perhatian dan minat remaja/milenial untuk menghargai dan memelihara budaya dan warisan kita melalui seni teater.

Selain meraikan kepelbagaian dan warisan kita melalui seni persembahan, PIPE yakin dengan kuasa hiburan untuk mencapai golongan muda. Kami akan singgah di universiti-universiti yang terdapat di negeri-negeri yang akan kami jelajahi. Teater adalah satu pengalaman. Kamu harus merasainya sendiri.

5 – Harapan kamu.

Harapan saya supaya kami, warga teater di Malaysia mendapat pengiktirafan dan penerimaan daripada masyarakat Malaysia, terutamanya generasi muda terhadap dunia persembahan pentas kerana kita miliki budaya dan seni yang lebih besar daripada hanya konsert-konsert dan rancangan-rancangan persembahan yang berunsur barat di televisyen.

PIPE mempunyai pelan misi panjang selama 5 tahun. Dengan gabungan kepakaran dan pengalaman yang ada, kami yakin untuk melakar industri seni persembahan dan meninggalkan legasi teater di negara ini. Kami berharap dan mengimpikan agar misi ini berlangsungan untuk manfaat teater, seni dan budaya Malaysia bagi generasi mendatang.

Pat Ibrahim Jerayawara Pekan Bangsawan Warisan Budaya Dendam Laksamana by STAIL.MY 3

Jerayawara Pekan Bangsawan Warisan Budaya adalah inisiatif Pat Ibrahim Project Entertainment dan program kolaborasi industri terbesar bersama JKKN yang buat julung kalinya diadakan untuk seni persembahan teater di Malaysia. Tiket teater ini boleh dibeli di laman sesawang pipent.peatix.com

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE