SEARCH

Pengalaman Merentas ‘Putrajaya Darul Cahaya’ Yang Mengujakan Berkat AmMetLife ELECTRIC RUN RECHARGED

Pengalaman Merentas ‘Putrajaya Darul Cahaya’ Yang Mengujakan Berkat AmMetLife ELECTRIC RUN RECHARGED

Saya tiba bersama teman di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya tepat jam 6 petang untuk AmMetLife ELECTRIC RUN RECHARGED yang berlangsung tanggal 29 Julai, Sabtu yang lalu.

Pertama saya lihat, Putrajaya seperti bukan bandar pentadbiran negara yang saya kenali. Perasaan seperti berada di festival-festival muzik di luar negara. Dengan peserta-peserta dari pelbagai negara bersidai dan santai di tepi Tasik Putrajaya, berlatarbelakangkan Jambatan Putra dan Masjid Besi nan indah.

Sangat cantik sekali. Tidak sangka acara larian ria ini mampu mengubah Putrajaya menjadi bandar yang lebih ‘happening’. Kali terakhir saya ke Putrajaya untuk satu acara belia yang langsung tidak bercitra belia beberapa tahun lalu. Saya sampai lupa apa nama festival itu kerana terlalu rigid dan bosan.

Namun melihat permandangan yang seperti ini membuat saya jadi kagum. Saya kira tanggapan pertama untuk acara larian ini melepasi jangkaan. Terus saya ke meja pendaftaran untuk media dan mendapat layanan yang bukan kepalang lumayan.

Saya dan rakan dibekalkan dengan kit larian dan sehelai baju rasmi larian yang sangat selesa tika disarungkan dan cantik rekaan. Diberikan juga sebotol minuman jus segar dan nombor pendaftaran yang boleh dilekatkan pada baju rasmi itu tadi.

Seterusnya, saya dinasihatkan oleh pegawai penganjur untuk bersiar-siar terlebih dahulu di sekitar tasik (tempat permulaan acara) kerana permandangannya yang cantik. Sesuai untuk peminat swafoto atau untuk mereka yang hanya mahu duduk-duduk santai sambil melayan muzik festival yang berkumandang.

Ada yang menconteng muka dengan cat neon, ada juga yang berani bermain ‘Slingshot Machine’, sebuah permainan yang “menembak” pemain terbang ke udara. Terdapat juga surau berhampiran untuk mereka yang ingin menunaikan solat.

AmMetLife ELECTRIC RUN RECHARGED pun bermula secara rasmi pada jam 8 malam. Dua jam pertama itu saya dan teman habiskan dengan food truck hopping sambil melayani muzik dan bayu tepi tasik. Semua orang kelihatan sangat gembira. Tersenyum ria sambil bergambar-gambar kenangan.

Muhammad Iqbal (Pengarah TLG), Ramzi Toubassy (CEO AIB) & Tony Nagamaiah (Pegawai MME) merasmikan AmMetLife ELECTRIC RUN RECHARGED

 

Pertama-tama, baiklah kiranya saya menerangkan sedikit sebanyak tentang acara larian ria yang satu ini. AmMetLife ELECTRIC RUN RECHARGED merupakan satu larian ria yang hanya sejangkau 5KM dan bukan bertujuan untuk persaingan melainkan bagi keseronokkan.

Ia pesta larian ria yang terbesar, paling cerah dan paling neon, lengkap beberapa zon hentian (pitstop) berwarna-warni dengan tema-tema muzik yang berbeza. Semua pelari berhak mendapat pingat.

AmMetLife ELECTRIC RUN RECHARGED pada tahun ini dibawakan oleh AmMetLife Insurance Berhad (AIB) dan dianjurkan oleh The Livescape Group (TLG) serta anjuran bersama Rexona dan mendapat sokongan oleh Malaysia Major Events (MME) dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Dengan nama-nama besar yang terlibat seperti di atas, masakan tidak acara larian ria ini menjadi antara acara santai tahunan yang wajib kamu sertai. Tahun ini, seramai 14 ribu pelari menyertai (termasuk saya dan rakan *peace sign). Bayangkan 14 ribu kepala berkumpul untuk berlari? Penuh sesak dan havoc sekali.

Saya dapat merasai pengalaman cahaya dan bunyi merentasi masa yang eksklusif dengan tiap zon-zon hentian mewakili tema unik dan era muzik tertentu.

AmMetLife ELECTRIC RUN RECHARGED melibatkan lapan laluan larian unik yang membawa pelari melalui pengembaraan muzik yang imersif. Antaranya zona hentian bertemakan ‘Hip Hop’, ‘EDM’, ‘Sugar Rush’, ‘Polyphonic’, ‘Stardust’, ‘Disco’, ‘Rainbow Road’ dan ‘Final Stage’.

Siapa sangka di bawah Jambatan Putra boleh diadakan EDM party? Atau ‘Rainbow Road’ yang mengenang muzik Rock kapak yang membangkitkan semangat untuk berlari?

Sejujurnya saya tidak merasa langsung yang saya sedang berlari. Mata sentiasa terpersona dengan lampu-lampu neon yang bergentayangan dan perasaan tak sabar-sabar untuk sampai ke zon-zon hentian muzik seterusnya. Pertengahan larian, peserta-peserta dibekalkan dengan air mineral dan setin Redbull.

Akhir sekali, setelah berpenat lelah berlari sejauh 5KM (yang belum sempat pun saya merasa penat), kamu akan disambut dengan sebuah konsert yang gemilang. Suasana gembira di garisan penamat bertukar pula kepada sebuah keramaian.

SonaOne dan De Fam berkongsi pentas menghiburkan malam. Artis-artis tempatan lain seperti CUURLEY dan Blastique turut menyanyi bersama pelari yang kian ramai tiba di garisan penamat. Belon-belon Rexona dilepaskan melantun-lantun ke khalayak ramai. Akhir sekali tirai malam ditutup dengan persembahan SILENTO, artis hiphop yang diterbangkan khas daripada Amerika Syarikat.

Sesungguhnya, AmMetLife ELECTRIC RUN RECHARGED berjaya menukar bandar taman Putrajaya menjadi bandar taman neon “Putrajaya Darul Cahaya” yang sangat mengujakan.

De Fam

 

SonaOne

 

Silento

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE