SEARCH

Perjalanan Wanna One Kini Berakhir, Peminat Wannables Sukar Ucap Selamat Tinggal

Perjalanan Wanna One Kini Berakhir, Peminat Wannables Sukar Ucap Selamat Tinggal

Konsert yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir pada Ahad yang lalu 27 Januari 2019, kumpulan K-pop dari rancangan realiti Produce 101, Wanna One, akhirnya tibalah saat di mana mereka harus mengucapkan selamat tinggal kepada peminat mereka yang digelar Wannables. Perjalanan Wanna One kini berakhir.

Perjalanan Wanna One Kini Berakhir

Suasana yang cukup sayu menghuni stadium Gocheok Sky Dome di Seoul bukan sahaja pada penontonnya malah pada ahli kumpulan Wanna One sendiri yang tidak mampu mengucapkan selamat tinggal kepada peminat mereka. Perasaan hiba ini turut dikongsi oleh Wannables di seluruh dunia.

Antara selebriti yang hadir di konsert akhir Wanna One ini adalah seperti Jimin daripada kumpulan BTS serta Xiumin daripada kumpulan EXO. Seperti ramai sudah tahu, Jimin adalah teman baik kepada ahli kumpulan Wanna One, Sung-woon. Manakala Xiumin pula teman baik kepada Kang Daniel kerana sebelum ini mereka pernah disatukan di dalam sebuah program televisyen, Dangerous Beyond the Blankets. Ramai peminat dari seluruh pelusuk dunia terharu dengan kehadiran dua selebriti popular ini kerana kesungguhan mereka untuk memberi sokongan kepada teman-teman mereka ini walaupun mereka sedang lagi sibuk dengan jadual aktiviti kumpulan masing-masing.

Perjalanan Wanna One Kini Berakhir

Xiumin, ahli kumpulan EXO

Buat yang masih belum tahu, kumpulan Wanna One adalah kumpulan yang dihasilkan daripada sebuah rancangan realiti popular di Korea, Produce 101. Seramai 101 pelatih daripada ratusan syarikat muzik menyertai rancangan ini dengan harapan berpeluang debut di dalam industri hiburan Korea Selatan. Seramai 11 pelatih dipilih hasil undian penonton sepenuhnya di penghujung program ini lalu membentuk sebuah grup baharu dan kemudian diberi peluang untuk mengikat kontrak lebih kurang setahun bersama sebuah syarikat muzik, CJ E&M. Selepas setahun, kontrak harus ditamatkan dan masing-masing harus pulang ke pangkuan syarikat muzik dan membina haluan hidup baharu.

Perjalanan Wanna One Kini Berakhir

Ahli-ahli Wanna One ini terdiri daripada Kang Daniel, Park Ji-hoon, Lee Dae-whi, Kim Jae-hwan, Ong Seong-wu, Park Woo-jin, Lai Kuan-lin, Yoon Ji-sung (Ketua Kumpulan), Hwang Min-hyun, Bae Jin-young dan Ha Sung-woon. Mereka ini dianggap antara kumpulan idola Korea Selatan paling berjaya dan berpengaruh di Korea Selatan. Mereka juga sering diiktiraf di pelbagai anugerah muzik Korea serta turut pernah dinobatkan sebagai Artis Pop Korea Terbaik untuk 2017.

Bukan itu sahaja, sepanjang tahun 2017, sekali Wanna One membuktikan kejayaan dan kuasa pengaruh mereka begitu kuat apabila mereka dipaparkan di dalam 16 buah iklan dan kempen termasuk kosmetik, fesyen, permainan mudah alih, makanan, minuman dan pelbagai lagi sepanjang tahun itu. Kehebatan kumpulan Wanna One ini menjadikan mereka sebagai satu fenomena luar biasa sehingga disenaraikan sebagai insan kedua paling berpengaruh di dalam senarai Forbes Korea Power Celebrity 2018.

Mari dengar kata-kata terakhir mereka sebagai ahli Wanna One ketika di hari konsert Ahad yang lalu,

“Apabila saya keluar dari pentas ini sebentar lagi, tidak akan ada lagi Wanna One selepas ini, kamu tidak akan dapat melihat sebelas kami di atas pentas. Dan sebagai yang pertama meninggalkan pentas, saya akan memeluk setiap abang-abang saya seorang demi seorang. Wannables! Saya mahu kamu semua senantiasa gembira ya! Terima kasih!” – Lai Kuan-lin

“Kepada semua ahli Wanna One dan Wannables yang telah beri saya kebahagiaan yang tidak terhingga, terima kasih banyak. Saya sayang kamu semua!” – Hwang Min-hyun

“Kepada Wannable dan Wanna One yang abadi di hati saya, saya ikhlas menyayangi kamu semua. Terima kasih!” – Ong Seong-wu

“Saya benar-benar tidak mahu kita berpisah… Saya benar-benar tidak mahu! Saya sangat gembira kerana saya ada kamu semua… Dan saya sangat bersyukur. Dan kini, nama yang tidak lagi mampu saya sebut selepas ini, Wannables, saya sangat-sangat sayangkan kamu!” – Park Woo-jin

“Ini bukanlah yang terakhir namun ini adalah permulaan. Wannables, saya sangat menyayangi kamu semua dan saya amat bersyukur untuk semua ini… Terima kasih!” – Park Ji-hoon

“Kerana kamu telah beri saya segalanya, saya berasa amat bersyukur, bersimpati dan kasih sayang kamu semua ini adalah apa yang pernah saya ada. Bermula esok… um… saya sebenarnya mahu mengucapkan selamat tinggal dengan senyuman namun ternyata ianya tidak mudah… Wannable… Wannable! WANNABLE! Selamat tinggal…” – Kim Jae-hwan

“Terima kasih kerana telah menyayangi kami sepanjang setahun setengah ini. Sehingga kita bertemu lagi, janganlah kamu semua jatuh sakit atau berasa sedih. Saya harapkan kamu semua bahagia dan semoga yang baik-baik sahaja menuju kamu. Kamu semua telah bekerja keras untuk kami. Terima kasih!” – Lee Dae-hwi

“Wannable… Kesemua sebelas kami benar-benar tidak mahu berpisah… Saya sungguh bersyukur dan kami Wanna One benar-benar sayangkan para Wannables… Kamu semua telah bekerja keras, maafkan saya. Dan saya benar-benar sayangkan kamu semua. Selamat tinggal.” – Ha Sung-woon

“Wannable, kamu semua telah bekerja keras, saya sayangkan kamu semua dengan segala apa yang saya ada. Percaya pada kami sehingga ke akhirnya dan tunggu kami. Kami akan kembali. Terima kasih!” – Bae Jin-young

“Ikhlas ingin saya katakan terima kasih pada kamu semua yang telah menyayangi kami selama setahun setengah ini. Wannables, jika kamu tidak lupakan Wanna One, saya percaya satu hari nanti kita akan berpeluang berjumpa sekali lagi. Jangan terlalu bersedih untuk kami. Wannables yang menceriakan hari-hari kami dan saya sangat bersyukur juga apabila kami Wanna One mampu menceriakan hari-hari kamu semua. Terima kasih!” – Yoon Ji-sung

“Saya benar-benar gembira selama bersama kamu semua. Terima kasih kerana membuatkan hari-hari remaja saya begitu indah. Terima kasih… Saya tidak akan sekali-kali melupakan memori ini. Terima kasih.” – Kang Daniel

 

Di bawah saya senaraikan buat kamu antara rencana yang menanti setiap ahli kumpulan Wanna One selepas berpecahnya kumpulan ini:

  • Kang Daniel dan Bae Jin-young telah melancarkan fan cafe rasmi mereka dan bakal debut secara artis solo.
  • Lee Dae-hwi dan Park Woo-jin bakal sertai kumpulan MXM dan bakal debut di bawah nama Brand New Boys.
  • Park Ji-hoon juga telah melancarkan fan cafe, akaun media sosial dan bakal merencanakan fan meeting Asia solonya dalam masa terdekat ini.
  • Yoon Ji-sung bakal sibuk dengan aktiviti teater musikal “The Days” dan kemudian bercadang untuk debut sebagai artis solo sebelum menyertai servis khidmat negara.
  • Lai Kurang-lin pula bakal memegang watak utama di dalam sebuah drama Cina “A Little Thing Called First Love”.
  • Ong Seong-wu juga menjadi sebutan bakal memegang watak utama untuk drama remaja “The Moment of 18” di JTBC.
  • Kim Jae-hwan pula bakal debut sebagai artis solo di bawah naungan Swing Entertainment.
  • Hwang Min-hyun bakal kembali meneruskan kariernya bersama kumpulannya sebelum ini iaitu NUEST.

Walau apa jua rencana mereka selepas ini, kami percaya Wannables tetap akan menyokong mereka. Doakan yang terbaik untuk kesemua mereka!

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE