SEARCH

10 Sebab Kenapa Kamu Harus Ke Rainforest Fringe Festival 2018

10 Sebab Kenapa Kamu Harus Ke Rainforest Fringe Festival 2018

Rainforest Fringe Festival 2018 (RFF2018) kembali lagi!

Berlangsung dari 6 Julai hingga 15 Julai 2018, RFF2018 mempersembahkan segalanya yang terbaik dari Bumi Kenyalang, merangkumi persembahan budaya, muzik, kraf, filem, fotografi dan makanan.

Festival warisan negeri Bujang Senang ini mengajak kamu merasai sendiri pengalaman holistik tentang budaya dan sejarah Sarawak yang kaya raya.

Temasya budaya yang berlangsung selama 10 hari tersebut dipenuhi pameran warna-warni, suara alam semula jadi dan kembara kulinari di tengah-tengah jantung kota Kuching.

Seraya itu, saya senaraikan 10 perkara menarik yang menanti kamu di Rainforest Fringe Festival 2018, seperti di bawah:

 

Rainforest Fringe Festival 2018 by STAIL.MY 1

1 – SARAWAK CULINARY HERITAGE

6 - 8 JULAI 2018
Makanan

Sertai kembara kulinari yang dianjurkan Persatuan Warisan Kulinari & Seni Sarawak di India Street Pedestrian Mall. Kamu boleh merasa aneka makanan khas Sarawak seperti Laksa Sarawak, Mee Kolok, Mee Jawa atau Kacang Mah. Terdapat juga makanan komuniti cina tempatan seperti Orh Chien dan dilengkapi dengan kari India.

 

Rainforest Fringe Festival 2018 by STAIL.MY 2

2 – FORGOTTEN BEAUTY

6 – 15 JULAI 2018
Seni Halus

Pameran lukisan yang memaparkan potret-potret ketua adat yang terdapat di Sarawak. Lukisan-lukisan ini menitik-beratkan tentang perincian busana serta perhiasan kepala yang unik daripada setiap suku bangsa di Sarawak, termasuk jenis cacahan badan, anting-anting dan stail pakaian tradisi mereka.

 

Rainforest Fringe Festival 2018 by STAIL.MY 3

3 – MEN: WOMEN & SYMBOLS

6 – 15 JULAI 2018
Fotografi

Pameran fotografi yang nenampilkan pemain-pemain seni generasi baru Sarawak dan kisah serta makna di sebalik tatu/cacahan badan tradisional. Dalam budaya Dayak, roh dan semangat selalu hadir di persekitaran manusia. Menjadi sesuatu yang penting untuk berhubungan dengan semangat ini melalui tatu. Menurut kepercayaan mereka, kesemua tatu-tatu tradisional ini memberi perlindungan pada si pemakainya.

 

Rainforest Fringe Festival 2018 by STAIL.MY 4

4 – AN INTRODUCTION TO THE WHITE RANEE

6 – 15 JULAI 2018
Pameran

Menjelajahi riwayat hidup Margaret De Windt, tokoh feminisme di sejarah awal Sarawak. Pada usia 19 tahun, dia berkahwin dengan Rajah Putih Sarawak kedua, Charles Brooke dan kemudiannya memegang gelaran sebagai permaisuri untuk kerajaan berbilang kaum ini. Bersifat berani, pintar dan bijaksana, Margerat terkenal kerana kerja-kerja pemerkasaan wanita dan perjuangan pendidikan setara tanpa mengira jantina di Sarawak, sesuatu yang boleh dianggap progresif pada zamannya.

 

Rainforest Fringe Festival 2018 by STAIL.MY 5

5 –  FIRST PEOPLE PARTY

7 JULAI 2018
Konsert

Sedia berdansa dan raikan muzik Orang Asal dengan sedikit pintalan, persembahan muzik tradisional yang dimadukan dengan muzik elektronik dan soul oleh kugiran Electric Fields dari Australia. Ditemani oleh pemuzik-pemuzik tempatan seperti At Adau dan Pete Kallang.

 

Rainforest Fringe Festival 2018 by STAIL.MY 6

6 – BORNEO BENGKEL

7 – 11 JULAI 2018
Seminar & Bengkel

Borneo Bengkel adalah platform yang merungkai identiti pulau Borneo di mata tukang kraf, pemuzik, cendekiawan dan aktivis sosial dari Malaysia dan Indonesia. Seminar ini menyaksikan lebih 40 penglibatan artisan dari Sarawak, Sabah dan Kalimantan. Untuk penganjuran kali ini, Borneo Bengkel mengangkat tema ‘People of the Land’, yang memberi persoalan pada naratif Orang Asal perihal bangsa, tanah air, bentuk muka bumi, identiti serta warisan.

 

Rainforest Fringe Festival 2018 by STAIL.MY 7

7 – Forest Aesthetic Workshops

7 & 8 JULAI 2018
Hijauan mini

Bengkel ini dibawa oleh Moonshop Gallery, rumah perhiasan seni pokok dan botani yang pakar dalam projek hijauan mini. Mereka akan mengumpul beberapa spesis pokok langka dari hutan hujan Sarawak dan menghiasnya dalam balang-balang kecil yang comel. Bengkel ini juga akan mengajar kamu cara menanam dan menjaga hijauan mini tersebut.

 

Rainforest Fringe Festival 2018 by STAIL.MY 8

8 – Cynatype Workshop

8 JULAI 2018
Bengkel DIY

Bengkel fotografi yang unik, berdasarkan kepada proses yang dicipta pada 1842, di mana penggunaan sinar matahari untuk menghasilkan sekeping foto. Kamu akan diajar bagaimana untuk menggunakan cara dan kaedah lama ini, seterusnya menghasilkan sekeping poskad kamu sendiri.

 

Rainforest Fringe Festival 2018 by STAIL.MY 9

9 – YOGA IN THE WILD

9 - 11 JULAI 2018
Kecergasan

Mengetengahkan Sarawak sebagai kawasan lindungan minda dan jasmani yang cerdas, sesuai dengan latar hijau dari hutan hujan yang lebat. Ikuti kembara kerohanian dan kecergasan yang jitu melalui tiga hari kelas Yoga bersama tenaga pengajar yoga selebriti, Denise Keller dan Hendri Take. Dibawakan bersama oleh Under Armour.

 

Rainforest Fringe Festival 2018 by STAIL.MY 10

10 – URANG SARAWAK EXHIBITION

11 & 14 JULAI 2018
Sejarah

Muzium Sarawak mempersembahkan pameran Urang Sarawak, lengkap dengan kurator yang membawa kamu mengenali sejarah dan demografi masyarakat Sarawak dengan lebih dekat dan tepat. Muzium ini dibuka oleh Charles Brooke pada 1860, terima kasih kepada pengaruh seorang pengkaji alam semula jadi terkenal semasa zaman pemerintahan Brooke, Alfred Russel Wallace. Pada 1891, barulah muzium ini dibuka secara rasmi dan beroperasi sehingga ke hari ini.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE